Ikuti Blog ini

Syarat Polis Gugurkan Nama Anwar, Azmin Melampau


SHAH ALAM 17 MEI : Polis Diraja Malaysia (PDRM) kawasan Sepang mensyaratkan agar nama Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali digugurkan dari senarai penceramah sebelum meluluskan permit untuk Pakatan Rakyat menganjurkan ceramah JELAS- Tawan Malaysia.

Tindakan 'lebih sudu dari kuah' itu dipertikai banyak pihak berikutan polis sebelum ini hanya meminta butiran penganjur sahaja sebelum meluluskan sebarang permit.

Namun akhir- akhir ini institusi polis secara jelas diperkuda UMNO BN untuk kepentingan politik mereka, mengekang Anwar dan Azmin untuk turun padang menjelaskan isu semasa kepada rakyat.

Ketua Penerangan KEADILAN Selangor, Shuhaimi Shafie ketika dihubungi TvSelangor berkata, polis bertindak keterlaluan apabila meletakkan syarat sedemikian yang dilihat jauh menyimpang daripada peranan sebenarnya, menjaga keselamatan awam.

"Mulanya dia kata dia bagi permit kalau Datuk Seri Anwar tak ada tapi kemudian dia beritahu lagi, dia akan beri permit kalau Azmin Ali tak ada. Ini apa punya masalah? Permit ini sebenarnya siapa kita nak jemput terpulang kepada penganjur, syaratnya beri nama penuh, nombor kad pengenalan."

Siri ceramah Jelajah Tawan Malaysia yang dijadulakan berlangsung di Dewan Orang ramai Kg Bukit Changgang, Kuala Langat malam tadi pada mulanya mendapat permit.

Namun pada saat- saat akhir, permit itu ditarik balik atas alasan dewan itu kecil dan hanya boleh dihadiri sekitar 400 orang sahaja.

"Di Dewan Kg Bukit Changgang, Banting, polis bertindak menyita dewan, memasang pita rentang dan sebagainya atas alasan dewan itu kecil. Kalau tidak orang ramai yang hadir mesti 400 orang saja.

"Pihak penganjur tidak perlu memohon sebarang permit untuk membuat ceramah didalam dewan," ujarnya lagi.

Beliau menjelaskan pihak pengajur kemudiannya memindahkan lokasi ceramah ke Dewan orang ramai Salak Tinggi, Kuala Langat. Namun usaha itu turut mendapat halangan daripada polis.

"Polis lakukan perkara yang sama juga, menghalang dengan 4 buah kenderaan peronda polis, Kemudian majlis itu dipindah buat kali ketiga ke Kg Taman Delima (Markas PAS).

"Polis memberikan alasan tempat itu sempit memaksa ceramah itu dipindahkan ke Kg Labohan Dagang, Dengkil (Markas PAS). Polis cuba tahan juga tapi setelah diterangkan baru ceramah dapat diteruskan," jelas Shuhaimi.

Program ceramah penerangan siri ke-6 terbabit telah dihadiri kira-kira 1,400 orang malam tadi.

Shuhaimi menjelaskan, tindakan polis itu dipercayai didalangi oleh campur tangan Ahli Parlimen Sepang, Mohamad Zin Mohamed yang cuba mengelakkan rakyat mengetahui kebenaran.

"Kalau UMNO buat program di mana-mana kawasan persendirian tak mohon permit tapi tak ada FRU turun pun, tak ada polis buat sekatan jalan raya, jadi nampak sangat bahawa dalam daerah Kuala Langat cabang Sepang ini Ahli Parlimen dia mendalangi sekatan ceramah ini dan tidak mahu program itu dibuat."

TV Selangor juga difahamkan mengenai kehadiran Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul khalid Ibrahim dalam ceramah tersebut namun beliau terpaksa mengubah fikirannya disebabkan gangguan polis itu.

"Bukan batalkan kehadiran, bila susunan melibatkan MB dan orang-orang penting mereka kadang-kala mempunyai banyak program dalam satu malam, jika program terpaksa dianjakkan masa jadi kami tak mahu ganggu program beliau yang lain," ujarnya.

Sebelum ini, KEADILAN Selangor melancarkan siri jelajah JELAS bagi menyampaikan maklumat dan isu terkini kepada rakyat di seluruh cabang KEADILAN di negeri itu, bermula 7 Mei hingga 5 Julai 2011.

Sehubungan itu, Shuhaimi meminta polis agar memberikan kerjasama terhadap gagasan Pakatan Rakyat selain menumpukan perhatiannya kepada menjaga keselamatan awam.

"Jadi harap program JELAS selepas ini, saya minta dengan baik polis berilah kerjasama sebaik mungkin kerana kita juga parti yang patuh kepada undang-undang," tegasnya.-tvs
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .