Ikuti Blog ini

UMNO Dilanda Perpecahan Hebat, Rafidah Turut Tolak 1Melayu

1Melayu jejaskan 1Malaysia, kata Rafidah Aziz

Gerakan idea "1Melayu, 1Bumi" boleh jejas gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, kata Tan Sri Rafidah Aziz.

Anggota Majlis Tertinggi Umno itu berharap orang Melayu tidak terikut-ikut dengan idea tersebut kerana ia boleh menggugat perpaduan yang semakin kukuh di negara ini.

Beliau berkata 1Malaysia adalah satu gagasan yang cukup jelas dan tidak menjejaskan kepentingan mana-mana kaum di negara ini.

"Ia bukan sekadar satu slogan, tapi realiti yang perlu dicapai bagi memastikan perpaduan dan kestabilan dalam negara dapat diwujudkan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Pergerakan Wanita Umno Bahagian Cheras, Kuala Lumpur hari ini.

Rafidah diminta mengulas saranan bahawa Umno perlu melancarkan gelombang perpaduan bangsa "1Melayu, 1Bumi".

Bekas Ketua Pergerakan Wanita Umno itu berkata 1Malaysia yang membawa gelaran "Melayu Malaysia", "Cina Malaysia" dan "India Malaysia" perlu diteruskan.

Turut hadir pada persidangan itu ialah Ketua Umno Bahagian Cheras Datuk Wira Syed Ali Al Habshee dan Ketua Pergerakan Wanita Umno Bahagian Cheras Datuk Faridah Abu Hassan.

Dalam pada itu, Rafidah berkata Wanita Umno perlu mempersiapkan jentera parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 dengan bertemu pengundi secara bersemuka di kawasan masing-masing agar maklumat mengenai pelan strategi kerajaan dapat disampaikan dengan tepat.

"Kita perlu kekalkan kerajaan sekarang supaya pembangunan ekonomi dan sosial negara dapat diteruskan, jumpa pengundi paling minimum tiga kali sebelum PRU supaya pengundi lebih jelas dan tidak mudah mendengar fitnah pembangkang," katanya.

Beliau berkata walaupun strategi bertemu pengundi secara bersemuka agak ketinggalan, namun sejak dilaksanakan, ia membawa kejayaan kepada parti, oleh itu, strategi tersebut perlu diteruskan.--Bernama

Ahli-ahli UMNO khususnya kini telah terperangkap di antara dua: mahu sokong 1Melayu atau tidak.

Utusan Malaysia, PERKASA, Muhyiddin Yassin, para blogger pencacai UMNO mendokong gagasan berkenaan, manaka Mahathir, Najib dan Rafidah menolaknya. Malah TDM kata ia bakal bawa malapetaka kepada negara.

Hebat perpecahan UMNO kali ini.

Apakah ini bakal merupakan "perpecahan terakhir" untuk membawa UMNO terus ke jurang kehancuran? Sama-sama kita tunggu. -GB
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .