Ikuti Blog ini

Mat Sabu Tawar Diri Tanding Di Bukit Bintang Atau Kawasan Bukan Majoriti Melayu



KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata, beliau sanggup bertanding di kawasan majoriti Cina seperti Bukit Bintang pada pilihan raya umum akan datang sekiranya diberi peluang oleh Pakatan Rakyat (PR).

Beliau berkata, parti itu akan lebih berpengaruh dalam PR sekiranya ia bertanding di lebih banyak kerusi dengan majoriti bukan Melayu.

Mohamad Sabu juga berkata, parti itu kini semakin diterima di kawasan bukan majoriti Melayu.

Bercakap dalam temuramah dengan portal berita MalaysiaKini, Mohamad Sabu bagaimanapun menegaskan, keputusan akhir mengenai pengagihan kerusi akan diputuskan oleh pucuk pimpinan PR.

Katanya, trend sekarang ialah kemenangan mana-mana calon banyak ditentukan oleh ketokohan seseorang.

"Saya sendiri berani bertanding di Bukit Bintang, asalkan (guna) simbol PAS (dan) DAP tak bertanding, dan lawan MCA...boleh menang," katanya sambil ketawa kecil.

Dalam temuramah itu, beliau juga berpandangan bahawa penentuan pengagihan kerusi pada masa hadapan mungkin tidak lagi berasaskan majoriti Melayu, PAS bertanding dan bukan Melayu DAP bertanding.

Sekarang kata Mohamad Sabu, segala-galanya bergantung kepada calon, sama ada diterima atau tidak oleh pengundi.

Kata Mohamad Sabu beliau tidak pasti sama ada formula dahulu iaitu kawasan Melayu PAS bertanding, bukan Melayu DAP dan campuran PKR masih boleh diguna pakai atau tidak kerana keadaan telah berubah.
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .