Petronas catat keuntungan lebih tinggi
KUALA LUMPUR: PETRONAS mencatatkan perolehan dan keuntungan yang lebih tinggi bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2011, didorong kenaikan harga semua produknya dan jumlah dagangan yang lebih tinggi produk utamanya di celah pertumbuhan ekonomi yang lebih kukuh sungguhpun ringgit terus mengukuh berbanding dolar AS.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Shamsul Azhar Abbas, berkata perolehan meningkat 14.4 peratus kepada RM241.2 bilion daripada RM210.8 bilion manakala keuntungan pracukai meningkat 34.5 peratus kepada RM90.496 bilion daripada RM67.3 bilion sebelum ini.
Syarikat minyak negara itu mengumumkan dividen RM30 bilion kepada kerajaan.
Pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) untuk tahun itu termasuk keuntungan bersih RM9.2 bilion hasil tawaran awam awal Petronas Chemicals Group Bhd (PCGB) dan Malaysia Marine dan Heavy Engineering Holdings Bhd (MHB).
"Tidak termasuk keuntungan itu, EBITDA meningkat 18.5 peratus, selaras dengan perolehan yang lebih tinggi," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Pulangan pada hasil bagi tahun itu iaitu 37.5 peratus, sungguhpun kos semakin meningkat, menunjukkan harga yang lebih kukuh dan usaha berterusan kumpulan ke arah keberkesanan operasi. - BERNAMA
Kenaikan harga minyak dunia menyebabkan keuntungan Petronas meningkat. Malangnya rakyat pula menanggung beban apabila harga minyak dinaikkan, tarif elektrik dinaikkan sehingga harga barang keperluan yang menggunakan kedua-dua tenaga tersebut turut meningkat.
Subsidi dipotong sedangkan Petronas terus menjadi gergasi yang menyedut hasil mahsul negara dan royalti minyak Kelantan pula dinafikan.
Gergasi itu akan binasa akhirnya kerana kezaliman mereka mengikut telunjuk kerajaan BN yang zalim pula.
Kita tidak mendoakan keburukan menimpa Petronas seperti anggapan sesetengah pihak, namun kezaliman mereka mengikut telunjuk dan arahan pemimpin UMNO BN yang zalim itulah yang bakal membinasakan mereka. -GB