Ikuti Blog ini

Ustaz Harun bersyukur tidak dilantik semula

KUALA LUMPUR — Datuk Ustaz Harun Taib bersyukur tidak dilantik semula sebagai Pesuruhjaya PAS Terengganu dan menyifatkan keputusan itu sebagai perkara biasa dalam parti.

Beliau yang masih kekal sebagai Ketua Dewan Ulama PAS berkata pengumuman barisan terbaru pesuruhjaya negeri dibuat presidennya Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Ahad lalu “meringankan beban” yang ditanggung beliau selama ini.

Malah kata Ustaz Harun, pengguguran daripada jawatan itu memberi lebih banyak masa kepadanya untuk berehat kerana uzur.

“Saya bersyukur tidak dilantik semula kerana tidak sihat, saya terima dengan keputusan ini... saya langsung tidak kecewa, saya lebih senang hati kerana satu daripada beban yang saya galas ringan sikit.

“Saya kini boleh tumpu kepada Dewan Ulama dan kawasan Hulu Terengganu, saya sedikit pun tidak kecewa,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Justeru beliau berharap Mohd Abdul Wahid Endut yang dilantik menyandang jawatan itu dapat melaksanakan program yang dirancang terutamanya untuk menawan semula Terengganu pada pilihan raya umum ke-13.

“Ini perkara biasa untuk mana-mana jawatan dalam parti, saya juga tidak berapa sihat... jadi biarlah orang lebih muda mengambil alih jawatan ini lagipun Abdul Wahid sebelum ini adalah timbalan saya.

“Saya harap beliau dapat memimpin Terengganu dengan lebih baik dan saya rasa keputusan yang dibuat ini adalah bijak. Saya berharap kepimpinan baru akan meneruskan program yang telah dirancang di Terengganu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pelantikan baru yang menyaksikan beliau dan Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali — pemimpin kalangan ulama — digugurkan daripada jawatan masing-masing.

Wahid merupakan Ahli Parlimen Kuala Terengganu merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Wakaf Mempelam sementara tempat Dr Hasan pula digantikan Adun Meru Dr Abd Rani Osman.

Turut menyaksikan perubahan tampuk kepimpinan negeri adalah Melaka, Sabah dan Negeri Sembilan.

Senarai pelantikan baru diumumkan Hadi sejurus selesai mempengerusikan mesyuarat pertama kepimpinan baru parti itu Ahad lalu.

Ustaz Harun menjadi Pesuruhjaya PAS Terengganu dari 1989 hingga 1997 dan selama dua tahun mulai 2009.

Tambahnya, beliau bersedia memberi sokongan kepada Wahid dalam meneruskan agenda perjuangan di Terengganu.

“Beliau (Mohd Abdul Wahid) adalah rakan saya, wajib saya memberikan sokongan kepada kepimpinan baru,” ujarnya.-TMI

Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .