Pendedahan Situasi Sebenar Perhimpunan Bersih 2.0
BERSIH adalah singkatan daripada Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil. BERSIH bukannya sebuah parti politik yang akan bertanding dalam pilihanraya. BERSIH hanya ingin menuntut proses pilihanraya yang adil.
BERSIH merupakan badan bebas dan tidak mewakili mana-mana parti politik. BERSIH tidak peduli siapa yang menang dalam pilihanraya, asalkan ia dijalankan secara adil, saksama, telus dan menurut lunas perlembagaan. Secara logiknya, orang yang berprinsip sepatutnya menyokong 8 tuntutan tersebut, samada dari pihak parti pemerintah mahupun di pihak parti pembangkang.
Kenapa Ambiga?
Ramai yang mempersoalkan kenapa Datuk Ambiga dipilih sebagai pengerusi Bersih sedangkan dia pernah terlibat dengan isu murtad Lina Joy. Sehingga ada yang mendesak Ambiga dilucutkan kerakyatan.
Nak tanya.. Adakah jika kita menyokong BERSIH, bermakna kita menyokong akidah Ambiga? Iran menentang US. Adakah menyokong Iran bermakna kita menyokong dasar syiah mereka yang sesat? Adakah kita menyokong kelab bola sepak Manchester United bermaksud kita menyokong akidah player MU yang kafir itu?
Kita hanya menyokong Ambiga menuntut pilihanraya adil. Jika orang bukan Islam pun mahukan keadilan, adakah kita sebagai umat Islam hanya mahu jadi tunggul dan rela dipijak serta ditindas pemerintah zalim? Malu la sikit.
Kenapa perlu adakan perhimpunan untuk serah memorandum?
Memang boleh jika mahu terus menyerahkan memorandum kepada Sultan secara individu. Tetapi, pasti akan ada pihak yang mengatakan itu adalah tuntutan bermotifkan peribadi. Jika mengumpulkan rakyat dalam satu perhimpunan dan perarakan menyerah memorandum tersebut, impaknya lebih besar. Kebangkitan rakyat juga dapat dilihat sekaligus memberi tekanan kepada pemerintah untuk melaksanakan tuntutan tersebut. Selain itu dapat memberi amaran kepada orang ramai jika tidak mahu situasi tersebut berulang, haruslah turut sama menyokong tuntutan BERSIH itu agar dilaksanakan segera. Bukannya memaki hamun.
Perhimpunan aman menjadi huru-hara
Pada mulanya, perhimpunan BERSIH berjaya dijalankan dengan aman. Rakyat berarak dengan penuh disiplin tinggi. Tidak ada kerosakan, keganasan dan rusuhan yang berlaku seperti digembar-gembur media. Tidak ada yang membaling objek atau batu, dan tidak ada siapa pun yang mencetuskan provokasi. Akan tetapi, pencetus ketegangan dan huru-hara yang sebenar adalah pihak polis dan FRU, bukannya rakyat. Ramai yang ditangkap walaupun mereka belum berhimpun.
Apabila rakyat berjaya berhimpun secara aman dan hanya melaungkan slogan, mereka ditembak dengan gas pemedih mata dan dimandikan dengan water canon. Sekaligus membuatkan perhimpunan menjadi kucar kacir. Semestinya mereka terpaksa lari mencari perlindungan. Kemudian, mereka dikejar, ditangkap dan dipukul tanpa belas kasihan. Dan paling menyedihkan, ada yang meninggal dunia akibat sesak nafas kerana bom asap. Inilah punca sebenar keadaan menjadi tegang. Sedangkan kalau dibiarkan, rusuhan tidak akan berlaku.
Walaupun Yang di-Pertuan Agong perkenan menerima memorandum tersebut, tapi usaha itu dihalang oleh pihak berkuasa. Siapa yang derhaka pada Sultan sebenarnya? Kasihan polis dan FRU yang terpaksa bertindak mengikut arahan pemerintah zalim. Terima kasih kepada sebahagian polis yang masih berhati perut.
Jalan Sesak / Peniaga Rugi Besar
Semua nak salahkan jalan sesak sebab BERSIH. Yang sebenarnya, jalan sesak sebab polis buat roadblock, tutup jalan-jalan utama. Perjalanan LRT juga dihalang. Sama juga dengan rungutan peniaga yang mengadu mengalami kerugian. Kalau jalan tak ditutup, mesti hasil jualan melambung dek puluhan ribu penyokong BERSIH yang lapar dan dahaga. Adakah semua peserta demonstrasi membawa bekal nasi goreng? Sangat tidak logik mahu mengatakan peniaga rugi besar disebabkan lautan manusia memenuhi ibu kota. Pintu-pintu masjid pula dikunci sebab apa? Hingga orang ramai terpaksa solat di merata-rata. Mujur bumi Allah itu luas. Kewajipan tetap dilaksanakan.
Media Propaganda Putar Belit
Jika dilihat di berita TV3 suku dan akhbar pro-kerajaan, jumlah yang dilaporkan menyertai perhimpunan tersebut hanya sekitar 5 ribu orang sahaja. Tujuannya mahu membuktikan usaha kerajaan menghalang rakyat menyertai perhimpunan tersebut membuahkan hasil. Pujian melambung diberikan kepada pihak polis dan FRU yang kononnya dapat mengawal keadaan dengan penuh etika.
Hakikatnya? Perhimpunan tersebut berjaya mengumpul lebih 50,000 rakyat walaupun pelbagai sekatan, rancangan dan fitnah menggagalkannya dilakukan. Sakitnya hati bila melihat liputan media propaganda dan komen-komen pencacai yang sentiasa memutarbelit dan meracun fikiran rakyat yang tidak mahu ambil tahu hal sebenar dan hanya menyokong membabi buta. Sangat kasihan.
Semangat Juang Rakyat
BERSIH 2.0 berjaya dilaksanakan walaupun dihimpit dengan pelbagai halangan termasuk rampasan baju-baju kuning, ugutan daripada pihak polis dan dolak dalik pemerintah yang sekejap mahu beri permit, sekejap tidak. Provokasi daripada Perkasa, Patriot dan Pertubuhan Silat Lincah juga tidak melunturkan semangat. Sedangkan mereka-mereka itu yang lantang bersuara kononnya mahu duduk di barisan hadapan untuk menentang BERSIH, tapi langsung tidak kelihatan ketika hari perhimpunan. Manakala Patriot pula hanya mampu mengumpul sekitar 300 orang sahaja. Itupun terpaksa berlindung di belakang FRU?