PAS hari ini mendesak Ketua Polis Negara dan timbalannya, Tan Sri Ismail Omar dan Datuk Khalid Abu Bakar supaya meletak jawatan ekoran kekejaman dan keganasan yang dilakukan oleh pihak polis terhadap para peserta Bersih 2.0 kelmarin sehinggakan seorang terkorban dan puluhan lagi tercedera.
“PAS mengecam keras tindakan biadab polis ini sehingga menyebabkan kematian seorang peserta Saudara Baharuddin Ahmad dan puluhan lagi yang cedera semata-mata tindakan ganas mereka. Ratusan yang tercedera kerana dipukul, disepak dan diheret ke dalam trak adalah pandangan jijik anggota keselamatan, yang tidak sepatutnya berlaku.
"PAS mendesak agar Ketua dan Timbalan Ketua Polis meletakkan jawatan dan dihadapkan ke tribunal di atas jenayah yang dilakukan,” kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataannya hari ini.
Tindakan ganas dan melampau polis, kata Tuan Ibrahim langsung tidak mencerminkan slogan mereka Mesra, Cekap dan Betul – jauhlah lagi terpesong dengan piagam pelanggan mereka, Tegas, Adil dan Berhemah.
“Polis sepatutnya menjaga keselamatan rakyat dan bukannya menyebabkan mereka cedera secara sengaja.
"Kebiadaban anggota polis dan FRU dapat dilihat dengan jelas dari beberapa rakaman video rakyat yang dirakamkan oleh pelbagai sumber samada peserta Bersih 2.0 ataupun media antarabangsa telah membuktikan kegagalan mereka dalam menjamin keselamatan rakyat,” tambah beliau.
Perhimpunan aman Bersih 2.0 yang berlangsung 9 Julai yang lalu dicemari oleh tindakan polis yang agresif dengan serangan gas pemedih mata bertubi-tubi dan water cannon barangkali atas arahan kerajaan persekutuan pimpinan Barisan Nasional telah menyebakan seorang mangsa terkorban dan puluhan tercedera.
Mangsa terkorban ialah Allahyarham Baharudin Ahmad, 58. Antara yang cedera termasuk Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad. Di samping itu, polis juga telah menahan 1,667 orang sebelum melepaskan kesemuanya pada jam 9.30 malam hari Sabtu yang lalu.
Bagaikan spring yang melantun akibat ditekan, seramai 50,000 telah menghadiri perhimpunan Bersih 2.0 walaupun bermacam-macam cara yang digunakan kerajaan Barisan Nasional untuk menghalangnya.
Angka tersebut mungkin lebih kerana ada kumpulan-kumpulan yang tidak berjaya bergabung dengan kumpulan utama.
Ironisnya, ia merupakan satu senario yang kerajaan cuba nak elakkan dengan melancarkan pelbagai tangkapan awal dan satu serbuan terhadap segala yang berwarna kuning.
Tuduhan kerajaan dan polis bahawa Bersih 2.0 mungkin cuba membuat huru-hara di sekitar Kuala Lumpur juga dibuktikan palsu apabila ketegangan diwujudkan polis sendiri setelah menjadikan kawasan sekitar Kuala Lumpur bagaikan medan perang sebelum perhimpunan bermula.
“Dalam perhimpunan aman Bersih 2.0, langsung tiada kejadian ganas oleh para peserta sebagaimana yang cuba digembar-gemburkan media arus perdana sebelum ini.
"Oleh itu, kezaliman dan keganasan polis yang menggunakan gas pemedih mata atau tembakan air asid sepatutnya tidak berlaku, kerana tiada langsung sebab untuk mereka menggunakannya,” bidas Tuan Ibrahim yang juga menyertai perhimpunan tersebut kelmarin.
Tuan Ibrahim, yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang turut menyelar kenyataan Ismail yang kononnya mendakwa bahawa polis hanya bertindak ganas sedemikian selepas diprovokasi para peserta Bersih 2.0.
Dengan pelbagai gambar dan video yang terpapar, Tuan Ibrahim berkata kenyataan songsang Ismail and timbalannya sebaliknya hanya dapat berfungsi untuk mendedahkan pembohongan mereka sendiri.
Kepada para peserta Bersih 2.0, beliau mengucapkan syabas bagi pihak PAS dan mengingatkan mereka kuasa menentukan masa depan negara sudah berada di tangan mereka sekarang.
“Andaikan 50,000 dan setiap seorang menyebarkan pengalaman Bersih 2.0 mereka kepada 10 seorang – maka 500,000 rakyat akan terasa – dengan 500,000 setiap seorang berkongsi lagi dengan 5 orang – maka hasilnya 2.5 juta rakyat yang tidak dapat bersama dapat merasai bagaimana kita semua bersatu sebagai rakyat Malaysia pada 9 Julai yang lepas.
"Dengan perkongsian sedemikian, kita akan sedar bahawa permainan politik yang cuba gempar-gemburkan bahawa rakyat Malaysia berpecah hanyalah taktik licik Umno Barisan Nasional untuk mengekalkan kuasa mereka,” terang beliau.
Dalam kenyataannya, Tuan Ibrahim juga mengulangi peringatannya kepada Pakatan Rakyat bahawa sokongan rakyat terhadap Bersih 2.0 bukanlah petanda sokongan mereka kepada pakatan pembangkang negara.
“Rakyat menyokong Bersih 2.0 hanya semata-mata untuk memastikan undi-undi mereka tidak di’offset’kan secara tidak sah oleh pengundi hantu, pengundi pos yang tidak sah dan juga memastikan mereka mendapat maklumat yang tepat sebelum mengambil keputusan untuk mengundi siapa-siapa.
"8 tuntutan Bersih 2.0 adalah untuk memastikan wakil yang dipilih menang nanti di pilihanraya akan datang betul-betul adalah pilihan rakyat dan bukannya pilihan parti pemerintah yang memanipulasi sistem pilihanraya negara untuk kekal berkuasa,” terang beliau.
Pakatan Rakyat, katanya juga tidak harus terlalu yakin bahawa dengan pilihanraya yang lebih bersih, kita bakal dapat menewaskan Umno Barisan Nasional.
“Rakyat yang menyokong Bersih 2.0 tetap tidak akan mengundi kita sekiranya prestasi kita lemah dan tidak dapat memberikan keyakinan kepada mereka untuk menerajui negara,” kata beliau.
PAS juga merakam takziah kepada keluarga Saudara Baharuddin Ahmad, di atas kemalangan yang menimpa beliau.
“Semoga tragedi ini akan menyemarakkan kebangkitan rakyat bagi menukarkan kerajaan yang zalim ini,” tambahnya. -Hrkh