Ikuti Blog ini

Demo Mahasiswa Untuk Mahasiswa Jika UiTM Gantung Mahasiswa

Kenyataan Media
28 Oktober 2011

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Segmentasi Mahasiswa mengutuk sekeras-kerasnya tindakan amaran penggantungan pengajian oleh Universiti Teknologi Mara(UiTM) Shah Alam terhadap saudara Khalid Mohd Ismath berkaitan tulisan beliau dalam blognya yang "menghentam" pentadbiran Universiti Islam Antarabangsa (UIA) berhubung isu penggantungan tugas Prof Dr Abdul Aziz Bari dan terlibat dengan Demonstrasi Aman Kebebasan Akademik di UIAM, jumaat lalu.

Sedangkan pihak pentadbiran UIA sendiri sudah melepaskan Professor Dr Aziz Bari membuktikan tindakkan UIA tidak berlandas kepada peraturan, di manakah silapnya jika mahasiswa mengkritik universiti tersebut secara ilmiah dan terbuka? Kekangan pihak UiTM terhadap mahasiswa yang mempunyai pandangan dari sudut berbeza akan merealisasikan apa yang dipanggil 'pembonsaian minda' terhadap mahasiswa.

SAMM Segmentasi Mahasiswa berpendapat tindakan amaran penggantungan yang dikenakan kepada saudara Khalid Mohd Ismath adalah satu tindakan yang zalim dan tidak relevan kerana ia melanggar hak kebebasan bersuara dan berhimpun seperti yang terkandung dalam perlembagaan perkara 10(1)(B).

Khalid adalah mahasiswa tahun satu Fakulti Undang-undang dan merupakan timbalan presiden Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI). Menurut sumber tertentu melalui tulisan di blognya, Khalid menyifatkan penggantungan tugas pakar perlembagaan itu sebagai tidak patut memandangkan Prof Abdul Aziz digantung sebelum dibicarakan lantas Khalid mengajak semua pihak turun berdemonstrasi membantah keputusan pentadbiran UIA Selasa lalu.

Perkara ini membuktikan, Hak kebebasan bersuara yang termaktub dalam Perlembagaan jelas telah dilacurkan oleh pihak Universiti atas tindakan memanggil Saudara Khalid dan mengarahkan beliau memadamkan tulisan di blognya.

Atas desakan pihak universiti Khalid terpaksa Akur dan memadamkan tulisan yang ditulis diblognya. Jika sebelum ini ada pihak yang cuba membangkitkan bahawa kuasa mahasiswa atau kehebatan mahasiswa tidak sehebat seperti era 70-an, namun sebenarnya yang “membisukan” suara mahasiswa adalah sikap pentadbiran seperti yang ditunjukkan UiTM dan juga Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) yang jelas masih mencengkam suara mahasiswa.

Amaran keras buat pihak pentadbiran UiTM sekiranya mengambil tindakan terhadap saudara Khalid, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Segmentasi Mahasiswa tidak akan teragak-agak untuk melancarkan demonstrasi besar-besaran dan akan bekerjasama dengan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) untuk mendesak keadilan kepada saudara Khalid.


Wan Farel
Penyelaras Segmentasi Mahasiswa SAMM
www.anakmudamalaysia.com
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .