SEREMBAN: Timbalan Ketua Cabang PKR Seremban, Dr Mohamad Rafie Abdul Malek hari ini membidas sebuah blog pro Umno Negeri Sembilan n9kini.net yang menuduh kononnya PKR dan PAS mengoyakkan banner yang terpampang muka Timbalan Perdana Menteri
Muhyiddin Yassin dan Menteri Besar Negeri Sembilan Mohamad Hasan sempena lawatan Muhyiddin ke Seremban Sabtu lepas.
“Dalam banner yang sama kelihatan muka Mohamad Hasan dipangkah dengan “X”. Blog ini menuduh kami (PKR dan PAS) yang mengoyakkan dan menconteng muka Mohamad Hasan. Inilah dia politik murahan amalan Umno dengan menuduh tanpa bukti.
“Persoalannya jika benar kami yang menconteng, kenapa kami hanya menconteng muka Mohamad Hasan sahaja tetapi bukan muka Muhyiddin? Jika diikutkan logik Muhyiddin adalah orang nombor dua berkuasa dalam Umno mahu pun dalam negara. Kalau nak lepas geram pun biar lepas geram pada orang yang lebih berkuasa.
“Tuduhan blogger pro Umno ini memang tidak masuk akal”, kata Mohamad Rafie.
Mohamad Rafie yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat berkata adalah lebih baik Umno Negeri Sembilan mengaku sahaja bahawa memang berlaku pergolakan dalam rumah tangga mereka dan ada pihak dalam Umno sendiri tidak puas hati dengan Mohamad Hasan atas sebab-sebab tertentu.
“Sebab itu mereka menconteng muka Mohamad Hasan dan bukan muka Muhyiddin. Ini jelas menunjukkan di kalangan Umno sendiri tahap krisis semakin serius sampai ada lebih dari tiga kem dalam Umno Negeri Sembilan.
“Malah saya difahamkan berlaku krisis di antara Mohamad Hasan dan Ketua Umno Bahagian Seremban, Ishak Ismail yang bersangkut paut dengan program Muhyiddin di Ampangan dan Sikamat tempoh hari”, jelas Mohamad Rafie.
Mohamad Rafie berkata PKR dan PAS tiada masa untuk membuat kerja-kerja yang tidak mendatangkan faedah seperti itu sebaliknya mereka (PKR dan PAS) lebih menumpukan kepada isu-isu yang membelenggu rakyat seperti kenaikan harga barang, kenaikan tarif elektrik, sistem infrastruktur yang masih teruk, kemiskinan dan gejala sosial yang tiada kesudahannya.
FMT.