KUALA LUMPUR, 2 Dis: Prestasi terburuk Malaysia selama 10 tahun dalam laporan Indeks Persepsi Rasuah 2011 oleh Transparency International (TI) menggariskan kegagalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mencapai matlamat anti-rasuah dalam Program Transformasi Kerajaan (GTP).
“Kegagalan untuk menangani gejala rasuah ini lantas akan membawa kepada kegagalan Program Transformasi Ekonomi (ETP) untuk mentransformasikan ekonomi Malaysia kepada sebuah ekonomi pendapatan tinggi menjelang 2020,” kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.
Menurutnya, Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Malaysia telah menurun untuk tiga tahun berturut-turut, iaitu 4.3 bagi tahun ini berbanding 4.4 pada tahun lepas.
Lebih teruknya, katanya kedudukan Malaysia telah jatuh kepada tangga ke-60 daripada 183 negara, berbanding tangga ke-56 daripada 178 negara pada tahun lepas.
Pada tahun 2003 apabila Tun Abdullah Ahmad Badawi mengambil alih pucuk pimpinan negara sebagai Perdana Menteri kelima, Malaysia berada di tangga ke-37 dalam kaji selidik tersebut yang merangkumi 146 negara.
Kaji selidik TI ke atas 1,000 orang responden juga mendapati bahawa pihak polis dan parti-parti politik dilihat sebagai institusi-institusi yang paling korup dalam negara. Juga dilaporkan bahawa kebanyakan warga Malaysia percaya tahap rasuah tidak akan berubah dalam masa 3 tahun akan datang.
Timbalan Presiden TI, Malaysia Mohammad Ali juga berkata bahawa CPI Malaysia terus merosot kerana “unsur-unsur kerajaan” yang memudahkan “rasuah besar” masih lagi tersebar luas.
“Dakwaan yang begitu berat oleh TI jelas menerangkan serangan ganas Umno terhadap DAP dalam Perhimpunan Agung Umno yang berkisar pada perkauman, seks, fitnah dan bahasa kotor.
“Serangan Umno terhadap sasaran mudah seperti Kristian, Cina, Pengerusi Bersih S. Ambiga, dan DAP sebagai penindas orang Melayu yang kononnya hendak menguasai negara, sampai penyokong DAP dilabel sebagai bangsat, merupakan tindakan terdesak untuk mengalih perhatian daripada kegagalan Umno untuk menangani masalah-masalah seperti rasuah, kronisme dan penyalahgunaan kuasa,” kata Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang.
Tambahnya, tidak pula ada kritikan mengenai Laporan Ketua Audit Negara 2010 yang telah mendedahkan terlebihan belanja sebanyak RM3.7 bilion oleh jabatan-jabatan kerajaan dan tidak pula disebut tentang skandal lembu dan kondo yang melibatkan keluarga seorang Menteri Persekutuan.
Katanya, soalan patut ditanya kenapa pakcik biasa di kampung tidak pernah diberi peluang yang serupa.
“Tidak pula disoal kenapa duit daripada pinjaman RM250 juta boleh diberi dua tahun sebelum perjanjian ditandatangani oleh kedua-dua pihak,” ujarnya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.
Menurutnya, setiap pemimpin Umno hanya ingin menutup skandal di mana duit yang sepatutnya digunakan untuk penternakan lembu telah digunakan untuk membeli bukan sebuah tetapi dua buah kondominium mewah.
Rakyat Malaysia, ujarnya menginginkan integriti dan bukan rasuah, tender terbuka dan bukan rundingan terus, tiada kenaikan tol dan bukan kenaikan tol yang membawa manfaat kepada syarikat-syarikat pengendali tol, kebebasan dan bukan penindasan, serta keluhuran undang-undang dan bukan ketidakadilan.
“Harapan untuk membasmi rasuah tidak akan tercapai selagi kita tidak mengambil langkah untuk menanganinya.
“Rasuah akan menjadi isu utama dalam pilihan raya umum yang akan datang, di mana rakyat boleh memilih sama ada untuk menyokong BN yang telah mencuri masa depan kita selama 54 tahun atau untuk menolak BN untuk mencegah masa depan anak-anak kita daripada dilenyapkan,” katanya. -Hrkh