Ikuti Blog ini

‘Saya lawan Mahathir, nak turut dia macam mana’

KOTA BHARU, 9 Dis: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mendakwa Umno bertindak secara ‘songsang' semasa memimpin orang Melayu di negara ini apabila menolak Islam dari dasar parti.

Ini, katanya menyebabkan Umno gagal memimpin orang Melayu.
Beliau yang juga Menteri Besar menegaskan Islam adalah agama yang syumul dan lengkap, justeru hendaklah dijadikan dasar dalam memimpin parti oleh orang Melayu termasuk Umno.

“Orang Melayu beragama Islam, dan Islam itu sendiri agama yang syumul dan lengkap, namun tiba-tiba ditolak oleh pemimpin Umno menyebabkan orang Melayu enggan mengikutinya.

“Kini Umno melaung Melayu bersat’, tetapi bersatu untuk apa, untuk Melayu atau untuk Islam?
Beliau bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah mingguannya di Medan Ilmu di sini pagi tadi.

Mengulas saranan Mahathir supaya beliau bersara dari politik, Mursyidul Am PAS itu berkata, beliau melawan mantan Presiden Umno itu sejak awal lagi.

“Saya melawan daripada awal sampai ke akhir, nak turut dia macam mana oleh kerana saya melawan dia.
“Siapa suruh dia berhenti, dan sewaktu dia berhenti dahulu, dia bagi tahu dia tidak boleh memimpin orang Melayu, bahkan tidak berjaya memimpin orang Melayu.

“Saya jawab sendiri, saya kata dah mu tarik ‘songsang’ orang Melayu, sedangkan orang Melayu beragama Islam dan Islam itu pula lengkap.

"Islam sempurna, tiba-tiba dia (Mahathir) tolak Islam dari dasar partinya, buat pandai-pandai dia.  Mana boleh orang Melayu nak turut dia,” ujarnya.

Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika menghadiri Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) sempena pembukaan Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) baru-baru ini menasihatkan Tuan Guru Nik Aziz supaya segera bersara daripada arena politik memandangkan Menteri Besar Kelantan itu sudah terlalu lama menyandang jawatan tersebut.

Tuan Guru Nik Aziz menegaskan hasrat untuk terus bertanding pada Pilihan Raya Umum ketiga belas (PRU-13) nanti tidak berubah.

“Dah orang nak kepada saya, nak buat lagu mana, apa saya boleh buat,” jelasnya.
Sementara itu, Ketua Penerangan PAS Negeri Dr Mohd Fadhli  Hassan ketika mengulas isu itu menegaskan Umno tidak berhak langsung mengulas isu itu.

“Bagi kita, apa saja Tok Guru kata, bahkan selagi Tok Guru ada, kita mahukan Tok Guru memimpin kita.
“Ini adalah hak ahli PAS, sesungguhnya selagi mana Tok Guru ada, kita nak Tok Guru yang memimpin PAS,” tegasnya.

Selepas menya,paikan kuliah mingguan pagi tadi, Tuan Guru turut melancarkan risalah Suara PAS Kelantan, Purnama yang diterbitkan Lajnah Penerangan PAS Negeri.-Hrkh
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .