Tengku Muhammad Fakhry Petra Tengku Ismail memfailkan saman RM150 juta terhadap Ketua Polis Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar dan tiga yang lain kerana mendakwa telah ditahan secara salah.
Tengku Fakhry menamakan Ismail, ASP Norazman Ismail, bekas Ketua Polis Kelantan, Datuk Abdul Rahim Hanafi dan Polis Diraja Malaysia sebagai defendan.
Beliau memfailkan saman itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini melalui firma undang-undang AS Dhaliwal and Co.
Bercakap kepada pemberita kemudian, Tengku Fakhry berkata beliau mengambil tindakan itu bukan bermotifkan wang tetapi demi keadilan.
"Saya rasa ini adalah kali pertama seorang anggota keluarga diraja telah menamakan ketua polis negerinya sendiri sebagai defendan," katanya.
Peguam AS Dhaliwal dan Harpal Singh turut hadir semasa saman difailkan.
Pada 4 Mei tahun lalu, Sultan Kelantan ketika itu, Tuanku Ismail Petra, raja perempuan serta Tengku Fakhry telah dihalang oleh Unit Tindakan Khas, kira-kira 50 meter dari pintu pagar istana semasa dalam perjalanan ke lapangan terbang Kota Baru pada jam 7.30 malam.
Mereka mahu menghantar Tuanku Ismail kembali ke Hospital Mount Elizabeth di Singapura untuk rawatan susulan tetapi telah dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Kubang Kerian.
Tengku Fakhry juga ditahan selama kira-kira empat jam manakala Tengku Anis mendakwa terpaksa tidur di atas lantai di HUSM untuk mengelak ditangkap polis. -M'kini
Kejadian penahanan secara salah memang berlaku dan lazimnya rakyat terbanyak tidak melakukan apa-apa tindakan kerana tidak berkemampuan mengupah peguam untuk mendakwa pihak terbabit.
Kini, Tengku Muhammad Fakhry memfailkan samannya terhadap pihak polis kerana telah ditahan oleh polis secara salah selama empat jam dan beliau mendakwa tindakan beliau menyaman polis adalah demi keadilan.
Kita berharap polis tidak dengan sewenang-wenangnya menahan rakyat selepas ini. -GB