KUALA LUMPUR, 1 Jan: PAS mengutuk keras kekejaman polis terhadap mahasiswa pada Himpunan Kebebasan Akademik (BEBAS) di hadapan Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) malam tadi.
Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, polis yang didakawa sebagai profesional tidak wajar menggunakan kekerasan terhadap mahasiswa yang berhimpun secara aman untuk menyuarakan pendirian mereka mengenai kebebasan.
"PAS kecewa, marah dengan tindakan polis yang bertindak kasar, mencederakan pelajar hanya untuk menyuraikan mereka. Sepatutnya mereka yang mempunyai kepakaran menghadapai apa jua situasi tidak perlu menggunakan kekerasan pun.
"Tak perlu suraikan mahasiswa ini pun tak apa sebab mereka akan bersurai dengan sendiri tanpa kekecohan," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.
Insiden malam tadi menyaksikan Presiden Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik Muhammad Safwan Anang patah tulang rusuk, seorang lagi cedera di kepala manakala 20 mahasiswa ditahan.
Difahamkan, setakat ini, Safwan masih terlantar di Hospital Slim River.
Mahfuz berkata, tindakan polis itu tidak akan menjernihkan situasi sebaliknya hanya menambahkan kebencian anak muda terhadap institusi polis dan kerajaan yang bertanggungjawab.
"Tirai tahun 2011 dilabuhkan dengan kekejaman terhadap mahasiswa yang merupkan warisan negara.
"Apa yang dilakukan polis ini sudah tentu menimbulkan kebencian anak muda terhadap polis dan saya yakin tahun 2012 merupakan tahun kebangkitan anak muda di seluruh negara untuk memperjuangkan soal kebebasan akademik," katanya yang dalam perjalanan ke hospital Slim River.
Sehubungan itu, beliau mendesak Menteri Dalam Negeri, datuk Seri Hishammuddin dan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar bertanggungjawab dan melatakkan jawatan kerana gagal mengawal institusi mereka.
"Saya minta KDN dan KPN melatakkan jawatan segera kerana ternyata mereka tidak berupaya mengawal keadaan dan kesejahteraan negara," katanya.
Sementara itu, seorang mahasiswa memaklumkan, kira-kira 200 mahasiswa termasuk orang awam berkumpul di hadapan balai polis tanjung Malim menuntut mahasiswa dibebaskan segera.
Bendahari PAS Perak, Fakhrul Radzi yang turut berada di sana memberitahu, mereka sedang bergiir-gilir menyampaikan ucapan mengecam tindakan zalim polis.
"Kami bersama mahasiswa masih lagi di hadapan balai polis dan kita tuntut mahsiswa yang masih dalam lokap dibebaskan segera," katanya. -Hrkh