Kita tentu pernah lihat orang yang memakai gelang tangan. Kalau yang memakai itu perempuan tak ada sesiapa yang ambil hairan tapi jika yang memakainya itu lelaki dan sudah berumur pula tu dan ditambah lagi memakai kopiah pergi solat berjemaah di masjid, ada sedikit musykil timbul dalam fikiran.
Sebenarnya amalan orang lelaki yang dah agak berumur memakai gelang tangan ini dan menjadi satu perkara biasa di negara kita terutamanya di kawasan bandar. Ramai daripada mereka terutamanya pemain golf suka mengenakan gelang tangan tersebut yang mereka panggil gelang tangan magnetik.
Gelang tangan magnetik itu dikatakan mempunyai khasiat sebagai penawar dan mampu mengubat berbagai penyakit kerana ia membantu melancarkan aliran darah. Ia juga dikatakan mampu melegakan segala penyakit sendi dan lain-lain yang seumpama dengannya.
Walau apapun yang didakwa terhadap kemujaraban gelang magnetik tersebut, tak ada bukti yang diiktiraf lagi secara meluas terhadapnya. Berkemungkinan semuanya adalah kesan daripada psikologi pengguna yang percaya terhadap apa yang didakwa mampu mengubat atau kita namakan placebo effect. Mari kita lihat satu riwayat di bawah untuk renungan.
Satu riwayat daripada Imran bin Hasein menyatakan bahawa ada satu ketika Rasulullah melihat seorang lelaki memakai rantai tembaga pada pergelangan tangannya. Rasulullah lalu menyerunya dengan berkata, 'celakalah pada anda, apakah (yang engkau pakai) ini?, lalu lelaki itu menjawab, ' saya mengalami masalah lemah (al-wahinah - satu penyakit yang menyebabkan kesakitan pada bahu dan tangan dan lelaki itu memakai gelang itu kerana percaya ia mampu mengubat kesakitan yang dialaminya)'
Rasulullah lalu berkata pada lelaki tersebut, 'ia tidak mendatangkan apa-apa pada engkau melainkan kesakitan, buanglah benda itu. Jika kamu mati ketika memakainya, sudah pasti kamu tidak akan selamat'. Rasulullah melihat gelang tersebut seperti tangkai dan ia melarang pemakaiannya. (hadith ini diriwayatkan oleh Imam Ahmad)
Berdasarkan cerita di atas, nampaknya tidak ada bezanya apa yang ramai orang pakai sekarang dengan apa yang lelaki di atas lakukan dan Rasulullah mengarahkan lelaki tersebut mencampakkan benda itu. Adakah kita ada alasan lain lagi untuk memakainya?, terpulanglah kepada penafsiran masing-masing.
Sebenarnya untuk menghasilkan badan yang sihat ada banyak lagi perkara lain yang boleh dilakukan yang lansung tidak dilarang dalam agama. Contohnya adalah seperti mengamalkan puasa setiap hari isnin dan khamis serta sentiasa beriadah dengan berjalan kaki setiap hari sekurangnya 30 minit sekali.
Menjaga makanan yang kita telan masuk ke dalam mulut kita juga penting untuk mendapatkan kesihatan badan. Makanlah bila lapar dan berhentilah sebelum kenyang. Pelbagaikan makanan anda dan banyaklah makan ulam, sayuran serta buahan. Insyallah kita akan mendapat kehidupan yang berkualiti.