ALOR SETAR, 14 Jan: Para pemimpin Pakatan Rakyat berpuas hati dengan perjalanan Konvensyen Pakatan Rakyat Ke-3 dengan menyifatkannya sebagai konvensyen yang menepati matlamat diadakan.
Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, matlamat utama konvensyen itu diadakan antara lain untuk mendengar rintihan rakyat dan matlamat tersebut berjaya dicapai setelah acara mengenainya berlangsung dengan jayanya.
"Daripada maklumat yang diperolehi itu, kami akan mengambil tindakan yang sewajarnya bagi membantu rakyat sehingga membolehkan Pakatan Rakyat ke Putrajaya," katanya pada sidang media yang diadakan bersama dengan kepimpinan tertinggi Pakatan Rakyat di Stadium Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, di sini, hari ini.
Selain itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Marang, Terengganu, turut berpuas hati dengan perjalanan acara perbahasan perwakilan yang ternyata memberikan impuk yang besar bukan sahaja kepada gabungan pakatan itu, tetapi juga kepada rakyat.
Beliau juga berharap agar keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskan dan melepaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari tuduhan liwat pada 9 Januari lalu sebagai titik mula kebebasan kehakiman di negara ini.
"Kita berharap agar titik mula kebebasan kehakiman itu akan disusuli dengan kebebasan media dan kebebasan rakyat untuk bersuara bagi membolehkan rakyat memperolehi haknya untuk bersuara," tegasnya.
Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail berkata, perbahasan perwakilan memberikan input yang penting kepada rakyat untuk membantu Pakatan Rakyat melangkah ke Putrajaya.
"Rakyat amat perlu diberikan impuk yang penting bagi membolehkan Pakatan Rakyat ke Putrajaya bagi membolehkan rakyat menikmati kemerdekaan yang sebenar," tegasnya.
Manakala Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, konvensyen yang diletakkan di bawah Datuk Mahfuz Omar sebagai Pengerusi Induk kali ini bukan sahaja penting kepada Pakatan Rakyat, tetapi juga seluruh rakyat negara ini.
Beliau menjangkakan PRU Ke-13 mungkin akan menjadi pilihanraya paling kotor dalam sejarah pilihanraya di negara ini.
"Jadi tema konvensyen kali ini 'Bersihkan Malaysia' amat bertepatan kerana ia selaras dengan keinginan Pakatan Rakyat untuk ke Putrajaya bagi membolehkan negara ini bebas dari amalan politik kotor BN selama ini," tegasnya.
Turut hadir pada sidang media itu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali; Penasihat DAP, Lim Kit Siang; Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar. -Hrkh