Ikuti Blog ini
Sultan Kedah puji Menteri Besar. Mengapa? Ini sebabnya... ,Isnin, Januari 16, 2012 at 16.1.12,
ANAK BUKIT - Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah memuji pentadbiran negeri diterajui Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak kerana berjaya melaksanakan beberapa pembaharuan dan kemajuan pembangunan dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Baginda bertitah, pelbagai program pembangunan yang sedang giat direncanakan oleh Kerajaan Negeri termasuk memajukan sektor pertanian untuk meningkatkan taraf hidup rakyat kini menampakkan hasil.
“Beta harap aktiviti pembuatan yang kini berkembang pesat dapat terus dimajukan sehingga menjadi tumpuan utama selain menarik pelabur asing dan tempatan untuk melabur dan mendirikan kilang perindustrian di Kulim Hi-tech Park, Sungai Petani, Kuala Ketil, Gurun, Yan dan Bukit Kayu Hitam".
Baginda bertitah pada istiadat menyembah tahniah dan penganugerahan darjah serta bintang kebesaran sempena ulang tahun keputeraannya ke-84, di Balai Penghadapan, Istana Anak Bukit, semalam.
Titah ucapan baginda dibacakan oleh Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tunku Bendahara, Tunku Annuar Sultan Badlishah.
Tuanku Abdul Halim bertitah, kerancakan aktiviti ekonomi ini menyediakan peluang pekerjaan dan perniagaan kepada rakyat selain berharap taraf hidup rakyat dapat terus dipertingkat menerusi kemudahan prasarana yang menjadi asas kepada perkembangan aktiviti komersil seperti perumahan, perkilangan dan perkhidmatan.
“Beta amat sukacita kerana Kedah sentiasa aman dan sejahtera setiap masa. Walaupun terdapat beberapa peristiwa hangat yang berlaku akhir-akhir ini, tetapi ia dapat dikawal hasil kerjasama Kerajaan Negeri dan rakyat,” titah baginda.
Baginda turut melahirkan kesyukuran kerana Kedah terhindar daripada keganasan dan ketegangan antara kaum yang kritikal seperti yang berlaku di beberapa negara lain, selain berpuas hati dengan corak pentadbiran Kerajaan Negeri yang mendokong prinsip keadilan tanpa mengira latar belakang.
“Tidak ada peristiwa yang tidak diingini berlaku dan rakyat yakin dengan kestabilan politik negeri ini. Beta harap semua pihak komited menjalankan tugas, ikhlas, amanah serta telus dalam mengendalikan urusan pentadbiran,” titah baginda.
Tuanku Abdul Halim bertitah, untuk memastikan dasar ini dapat dilaksana, seluruh kepimpinan kerajaan, anggota pentadbiran dan rakyat haruslah bertakwa kepada ALLAH SWT agar mendapat keberkatanNya.
“Jentera pentadbiran dan pengurusan negeri yang cekap amat penting untuk merancang dan melaksana dasar dan program Kerajaan Negeri. Oleh itu, anggota perkhidmatan awam perlu berpegang teguh pada konsep amanah dan kepimpinan berintegriti,” titah baginda.
Tuanku Abdul Halim turut mengingatkan Menteri Besar supaya memastikan keadilan dapat terus dilaksana sebaik mungkin, selain setiap rakyat hendaklah diberi hak masing-masing tanpa mengira perbezaan anutan agama, bangsa mahupun fahaman politik. -SH