Majlis Fatwa diminta respons 'fatwa' Harussani
SHAH ALAM - Datuk Dr Ismail Ibrahim meminta Majlis Fatwa Kebangsaan menyatakan pendiriannya berhubung kenyataan Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria yang berpandangan bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak telah “menggadai akidah” apabila menghadiri sambutan Thaipusam, Selasa lalu.
Bekas Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan ini berkata, jawapan rasmi terhadap "fatwa" dibuat Harussani harus disegerakan kerana ia mungkin mengelirukan umat Islam jika tidak dimuktamadkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan dan seterusnya disahkan Majlis Raja-raja sendiri.
Beliau yang juga bekas Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia berkata, isu seberat ini tidak mungkin dilihat sebagai satu perselisihan pendapat atau perbezaan pandangan sahaja seperti perbezaan pentafsiran dalam hal-hal ranting dalam agama Islam.
"Hal akidah bukan lagi merupakan masalah kecil seperti masalah perbezaan mazhab dalam beberapa hukum cabang yang dikenali sebagai masalah Furu' bukan masalah usul. Hal akidah adalah merupakan hal iman, Islam seseorang," kata beliau dalam entri terbaru blognya.
Menurut laporan media semalam, Harussani melahirkan rasa terkilan dengan keputusan Najib menghadiri sambutan perayaan Thaipusam di Batu Caves. Najib juga pernah hadir samputan Thaipusam sebelum ini.
Tegas Harussani, walaupun sudah ditegur setiap tahun, namun Perdana Menteri seolah-olah tidak memandang berat akan kepentingan agama Islam dan akidah.
“Ini perbuatan syirik, saya tidak tahu mengapa jadi macam ini... sedangkan perayaan kaum lain kita tidak boleh sambut ini pula hadir di rumah ibadat mereka. Bagaimana boleh terlajak macam ini, sepatutnya perdana menteri wakilkan menteri beragama Hindu untuk menggantikan dirinya... sebab umat Islam tidak boleh terlibat dalam sambutan perayaan agama lain,” katanya.
Ismail yang yang juga bekas duta Malaysia ke Arab Saudi berkata, beliau tidak berniat hendak menyokong atau membangkang kenyataan Mufti Perak yang mengatakan bahawa Perdana Menteri telah menggadaikan akidahnya dengan menghadiri perayaan Thaipusam.
Justeru soal beliau, "menggadai akidah adakah bermakna mencemarkan akidah? Menggadaikan akidah adakah bermakna terkeluar dari akidah Islam, dan seterusnya menjadi syirik?"
Katanya, "kalau inilah maksud menggadaikan akidah yang disebutkan oleh Mufti Perak itu, maka hal ini telah menjadi satu fatwa yang amat berat dan serius kepada umat Islam, terutamanya kepada batang tubuh Perdana Menteri sendiri, dan pihak bertanggungjawab tentang agama di negara kita haruslah memberikan perhatian yang serius juga kepada fatwa ini."
Tambah beliau, hal yang berhubung dengan akidah bukan perkara mudah kerana akidah merupakan keimanan kepada agama Islam itu sendiri dan akidah yang tergadai sekiranya dimaksudkan akidah yang telah tercemar atau terkeluar dari akidah Islam, maka orang itu dengan sendirinya menjadi tidak mukmin dan tidak Islam, syirik dan kafir.
"Apakah pengertian ini yang dimaksudkan oleh Mufti Perak dengan ungkapan menggadaikan akidah itu? Juga kenyataannya tentang perbuatan syirik yang dilakukan oleh Perdana Menteri itu," ujar beliau.
Malah katanya, hal itu perlu diperjelaskan supaya umat Islam tidak menjadi keliru dengan fatwa Mufti Perak tentang orang Islam yang menyertai perayaan tersebut.
"Mungkin Jakim, Majlis-majlis Agama Negeri, Majlis Fatwa Kebangsaan, malah Raja-raja Melayu sendiri sebagai Ketua Agama Negeri perlu segera mengambil tindakan bagi membincangkan fatwa Mufti Perak ini dan memberikan keputusan yang muktamad dalam isu ini," katanya lagi. -SH
Teras gesa keluar fatwa Najib hadiri Thaipusam
KUALA LUMPUR, 11 Feb: Teras Pengupayaan Melayu (Teras) amat kesal untuk kesekian kalinya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor tidak mempedulikan nasihat dan teguran Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria mengenai kehadiran dalam ucapara peribadatan Thaipusam baru-baru ini.
"Apakah PM merasa bahawa tidak perlu dipedulikan semada tingkahlakunya bercanggah dengan agama Islam atau tidak?
"Apakah teguran Mufti itu tidak dianggap perlu untuk beliau hormati?" tanya presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid.
Teras, katanya mengambil perhatian berat apabila tahun sebelum ini Najib sekali lagi menunjukkan sikap tidak peduli terhadap ingatan Mufti Perak.
Menurutnya, pada tahun itu disaksikan gambar PM didirikan setinggi patung berhala di Batu Caves.
"Bukan sahaja ini merupakan persoalan yang akan memberi natijah tidak sihat kepada masyarakat Islam, malah di kacamata anak-anak muda juga menunjukkan PM sudah menerima agama boleh digadaikan hanya untuk mendapat sokongan politik.
"Teras menegaskan agar PM tidak mengambil sikap berdegil kepada teguran Mufti kerana ini akan disahkan oleh rakyat sebagai PM yang sudah mengamalkan pemikiran plural-liberal dalam kefahamannya terhadap agama," katanya kepada Harakahdaily.
Menurutnya, menghadhirkan diri dalam upacara khusus keagamaan bukan Islam adalah suatu yang tidak diterima dalam Islam malah diingatkan agar umat Islam menjauhinya kerana ia boleh dilihat sebagai memperakui agama tersebut sama dengan agama Islam.
Padahal, ujarnya Islam sangat jelas dalam hal ini yang dianggap prinsip aqidah yang tidak boleh dikompromi.
"Kami menegaskan agar pihak Majlis Fatwa Kebangsaan segera mengeluarkan fatwa terhadap hal ini agar umat Islam khususnya dan rakyat amnya tidak akan keliru demi menjaga kemuliaan Islam dan aqidah umat," katanya lagi. -HD