Ikuti Blog ini
Lagi Kanak-kanak Hilang, Disyaki Diculik ,Ahad, Mac 11, 2012 at 11.3.12,
Petaling Jaya: Seorang lagi kanak-kanak dilaporkan hilang, kelmarin, 11 hari selepas kehilangan Nurul Nadirah Abdullah, 5, yang disyaki diculik selepas keluar ke kedai berhampiran rumahnya di Johor Bahru masih belum dapat dikesan.
Mangsa terbaru, Wan Hazim Mohd Khaidir, 7, murid tahun satu Sekolah Rendah Islam Pintar Al-Amin, dilaporkan hilang selepas kali terakhir dilihat bermain sendirian di halaman rumahnya di Jalan PJS 10/1, Subang Indah, di sini, petang kelmarin.
Sebelum kejadian, kanak-kanak itu dikatakan menonton televisyen di ruang tamu rumahnya jam 12.30 tengah hari sebelum ibunya, Wan Nor Azma Wan Yusof bersama adik bongsunya keluar untuk ke kedai milik mereka di Shah Alam.
Menurut Wan Nor Azma, 33, yang juga peniaga barangan kemas, ketika keluar rumah, Hazim baru selesai makan tengah hari sebelum menonton televisyen, manakala anak sulungnya yang berusia lapan tahun pula di tingkat atas rumah mereka bersama pembantu rumah.
“Sebelum keluar ke kedai kami, saya menutup rapat pintu rumah tapi tidak menguncinya kerana percaya Hazim tidak akan keluar rumah bersendirian, tambahan pula pembantu rumah juga ada di rumah.
“Menurut pembantu rumah, dia turun ke tingkat bawah jam 1 tengah hari tapi tidak melihat Hazim di ruang tamu, menyebabkan dia beranggapan anak kedua saya mengikut saya ke kedai,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.
Katanya, kehilangan Hazim hanya disedari apabila dia pulang ke rumah pada jam 6.30 petang selepas ditanya pembantu rumahnya.
Wan Nor Azma berkata, terperanjat dengan pertanyaan pembantu rumahnya, dia terus menghubungi suaminya, Mohd Khaidir Hassan sebelum mereka mencari di sekitar kawasan perumahan itu, selain bertanya jiran.
“Mungkin Hazim membuka pintu dan keluar bersendirian selepas menyedari tiada orang di rumah. Saya buntu memikirkan keadaan anak saya dan di mana dia tidur malam tadi (semalam).
“Hazim susah nak bergaul dengan orang dan sebelum ini dia lebih selesa berada di rumah serta jarang bermain di luar. Namun saya yakin dia keluar dari rumah kerana jiran sebelah memberitahu ada melihatnya bermain di halaman rumah sebelum waktu solat Jumaat,” katanya.
Menurutnya, selepas beberapa jam gagal menemui anaknya, dia bersama suami membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.
“Saya harap sesiapa menemui Hazim yang kali terakhir memakai baju-T kelabu dan jeans biru dapat menghubungi kami di talian 012-3400034 atau menyerahkannya ke balai polis berhampiran.
“Hati ibu mana yang tidak bimbang apabila anaknya hilang. Kami hanya mampu berdoa dan meneruskan usaha mencari Hazim selain mengharapkan dia dalam keadaan selamat,” katanya. -HM