Ikuti Blog ini

Pemimpin amanah mesti sedia dihukum rakyat


KUALA LUMPUR, 15 Mac: Pemimpin yang menganggap kerajaan yang diperintahnya sebagai amanah mesti bersedia untuk kalah dan dihukum rakyat, bukan untuk menang semata-mata.

Bagi negara yang mengamalkan demokrasi, kekalahan seseorang pemimpin atau kerajaan diterima dengan terbuka, berbanding pemimpin di negara ini.

Demikian dinyatakan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang ketika membahaskan usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, di Parlimen.

Menurut Abdul Hadi, terdapat tokoh-tokoh pemimpin politik yang berjiwa besar di banyak negara lain yang sanggup menerima hukuman rakyat, dan kalah pada pilihan raya.

"Di Amerika Syarikat pernah dalam tahun 70-an, pihak Suruhanjaya Pilihan Raya Amerika membatalkan kemenangan seorang Presiden yang terlibat dalam skandal Watergate yang terkenal.

"Presidennya sanggup mengundurkan diri dan tidak mengamuk. Tidak melakukan sesuatu di luar undang-undang. Ini moral yang ditunjukkan oleh mereka. Sepatutnya kita menunjukkan sikap yang sedemikian," tegas beliau.

Tambah Ahli Parlimen Marang itu, hal-hal yang seperti ini tidak wujud di negara ini kerana parti memerintah mahu menang dengan apacara sekalipun.

Bahkan, katanya demokrasi wujud dalam parlimen, di mana bukan sahaja kebebasan diberi kepada pembangkang untuk mengkritik kerajaan,tetapi termasuk 'backbencher' kerajaan sendiri dibenarkan untuk mengkritik kerajaan dan membangkang.

Tambah beliau , ada parlimen yang boleh menjatuhkan kerajaan apabila terdapat di kalangan penyokong-penyokong kerajaan sendiri tidak memberi kepercayaan kepada kepimpinan kerajaan.

"Mereka tidak diambil tindakan disiplin, bahkan ketua kerajaan berundur dan dipilih kerajaan baru daripada parti yang sama.  Ini menunjukkan bagaimana jiwa besar seseorang pemimpin patut menjadi contoh pemimpin di negara ini," tegas beliau.

Justeru, katanya jika setiap pemimpin yang memerintah negara berpegang kepada konsep amanah, maka tidak akan berlakulah kecelaruan, khianat dan penyelewengan.

Beliau menambah, pemimpin yang diberi peluang menjadi kerajaan bukan bermakna peluang untuk mendapat apa sahaja dan melakukan apa sahaja, sebaliknya berpegang kepada konsep amanah dalam memimpin. -Hrkh
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .