Ikuti Blog ini

Pilihan raya berasingan selepas bincang dengan MB



(Sidang media Pakatan Rakyat di Parlimen)

KUALA LUMPUR, 13 Mac: Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan, langkah mengadakan pilihan raya berasingan antara negeri dan pusat perlu mendapat persetujuan bersama.

Beliau berkata demikian ketika mengulas keputusan Pakatan Rakyat akan membuat keputusan sama ada melaksanakan PRU-13 berasingan dengan kerajaan persekutuan selepas berbincang dengan semua menteri besar negeri yang ditadbirnya.

Keputusan bersama itu diputuskan dalam mesyuarat Pakatan Rakyat yang berlangsung di Parlimen tengah hari tadi.

Menurut Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng akan menyelaraskan mesyuarat bersama semua menteri besar Pakatan Rakyat untuk mendapatkan kata sepakat.

"Mesyuarat itu akan dihadiri pemimpin negeri Pakatan Rakyat untuk mendapat kata sepakat tentang keputusan sama ada hendak ada pilihan raya berasingan dengan persekutuan," katanya.


Rakyat asing mengundi





(Abdul Hadi berkata sesuatu kepada Anwar dalam sidang media mereka)

Sementara itu, Anwar turut melahirkan kebimbangan apabila rakyat asing diberi hak warganegara dimasukkan dalam senarai pengundi baru kemudian diberikan hak mengundi.

Tambahnya, berdasarkan maklumat terkini selepas Mimos membuat kajian akhirnya menunjukkan kecelaruan tentang ketelusan proses daftar pemilih.

Hasil daripada itu, tegas Anwar sebanyak 106,000 nama pemilih dipotong dan setakat ini seramai 100 nama pengundi diletakkan dalam satu alamat sebanyak 522 kes telah dikesan.

"Kita bimbang perkara ini tidak dibersihkan, maka daftar pemilih akan terus dipertikaikan,"katanya.

Turut sama menghadiri mesyuarat itu termasuklah Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali, Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub serta Ketua Muslimat PAS Pusat Siti Zailah Mohd Yusof dan Timbalannya Dr Siti Mariah Mahmud. -Hrkh
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .