MARANG - Dewan Undangan Negeri (Dun) Alor Limbat khususnya PAS Cawangan Kampung Pak Madah kehilangan seorang tokoh veteran apabila Allahyarham Ali Daud yang juga saksi tertua Tragedi Batu Burok, kembali ke rahmatuLlah akibat komplikasi jantung.
Beliau yang dikenali sebagai ‘Tok Khatib Ali’, 74, meninggal dunia pada jam 10.30 pagi disisi ahli keluarga, isteri dan beberapa orang anak di rumahnya, Selasa 28 Februari.
Sebelum itu, Allahyarham telah dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu akibat serang jantung.
Namun selepas beberapa hari, keadaannya stabil dan pihak hospital membenarkan beliau pulang ke rumah meski pun mengalami sedikit cirit-birit serta sakit dalam perut.
Allahyarham meninggalkan seorang isteri Puan Gayah Fatimah Jusoh, 70, yang sangat bersedih atas pemergian suaminya yang tercinta.
Anak lelakinya Zulfakar Ali, 38, berkata, Allahyarham bapanya merupakan seorang imam kampung Pak Madah dan juga selaku penasihat PAS cawangan berkenaan.
Katanya, Allahyarham juga seorang bapa yang istiqamah dalam perjuangan Islam serta menjadi penggerak terawal PAS khususnya di sekitar Alor Limbat dan Bukit Payong, Marang.
“Dia (bapa) seorang yang tegas dan komited dengan parti (PAS). Ayah saya antara orang terawal yang menggerakkan PAS di kawasan (Pak Madah) ini dan Bukit Payung.
“Semangat jihad dan perjuangan Islam yang didokongi bersama PAS tidak pernah luntur. Itulah juga pesanan allahyarham kepada anak cucunya.
“Sebab itu, dalam kes perbicaraan tragedi berdarah di Batu Burok, Kuala Terengganu pada 8 September 2007. Beliau telah menulis sepucuk surat untuk diserahkan ke mahkamah, jika didapati bersalah dia (ayah) lebih rela di penjarakan dari membayar denda,” jelas Zulfakar.
Allahyarham pernah ditahan dan didakwa atas kejadian Tragedi Berdarah Pantai Batu Burok pada Ceramah Pasca Bersih pada tahun 2007.
Pada peristiwa tersebut dua Pemuda PAS ditembak dengan peluru hidup oleh pihak polis serta 38 orang ditangkap dan didakwa di mahkamah termasuk allahyarham Khatib Ali.
Jenazah allahyarham Khatib Ali disembahyangkan di Masjid Pak Madah serta diimamkan oleh bekas Timbalan Mufti Terengganu, Ustaz Al-Hafiz Zainal Abidin Abdul Kadir jam 9.30 malam bersama 300 orang jamaah. -BO