Ikuti Blog ini

WAJIB BACA menjelang Pilihanraya...

SEMAKIN kuat, hangat dan bersemangat cakap-cakap pilihan raya, semakin panas jugalah persekitaran politik satu Malaysia. Pendek kata, macam kata iklan ikonik Astro tidak lama dulu – “macam-macam ada.”

Antaranya:-

1. Perdana Menteri, Mohd Najib Abdul Razak, dilaporkan oleh akhbar The Sun sebagai berkata, tarikh pilihan raya umum adalah “trademark” (tanda niaga) beliau. Maksud beliau, keputusan bila PRU akan diadakan adalah hak mutlak beliau. Beliau yakin orang India kini menyokong Barisan Nasional dan mahu kelebihan suara dua pertiga dikembalikan.

2. Namun begitu, di sebalik kecanggihan kempen blog, Facebook dan Twitter, aspek-aspek tahayul dalam pemikiran sesetengah orang politik terus kukuh. Maka, ramailah tukang tilik dan burung serinditnya, sami pelbagai agama, bomoh Siam dan Kiai Jawa yang dilawati untuk mendapatkan “petunjuk”.

3. Khabarnya, ada tok sami yang meramalkan bulan Jun ini, bulan, bintang dan matahari akan berbaris harmonis di angkasa raya menandakan masa paling sesuai untuk mempertaruhkan nasib. Agaknya itulah sebab mengapa ada ramalan mengatakan PRU akan diadakan Mei atau Jun.

4. Namun begitu, hanya Mohd Najib akan menentukan sama ada segala ramalan mengenai tarikh PRU itu tepat. Itu tanda niaga yang didaftar atas nama beliau.

5. Selepas pergolakan Pas di Kedah, kini giliran DAP pula. Pengerusi Nasionalnya, Karpal Singh terus bertelingkah dengan Timbalan Setiausaha Agung merangkap Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Dr P Ramasamy. Karpal tidak puas hati dengan keputusan Jawatan Kuasa Disiplin mengenai aduan salah laku terhadap Ramasamy lantas menghalakan serangan kepada pengerusi jawatankuasa itu, Tan Kok Wai, pula. Apa yang sedang berlaku dalam DAP sekarang adalah penerusan perebutan kuasa antara golongan lama dan baru dalam parti itu. Pergolakan dalam Pas dan DAP itu sudah tentunya tidak baik bagi Pakatan Rakyat.

6. Selain isu lembu dan kondo NFCorp yang menghambat Ketua Wanita Umno, Shahrizat Abdul Jalil, keluar daripada Kabinet, Umno kehilangan seorang veteran apabila bekas Menteri Penerangan, Abdul Kadir Sheikh Fadzir, mengumumkan keluar parti selepas 56 tahun berkuat kuasa 19 Mac. Beliau berbuat demikian selepas dicabar oleh Setiausaha Agung Umno, Teuku (Tengku) Adnan Mansor agar keluar kalau tidak puas hati dengan parti.

7. Bukan Abdul Kadir saja keluar parti. Ramai lagi yang telah keluar Umno tapi nama mereka ada lagi dalam daftar kerana cawangan tidak mahu atau tidak berani kemukakan kepada ibu pejabat.

8. Ramai yang keluar parti masih komited kepada Umno, tetapi mereka berbuat demikian kerana tidak yakin lagi dengan kepemimpinan parti, khasnya mengenai mempertahankan hak orang Melayu. Pemimpin atasan Umno dilihat lebih mengutamakan Barisan Nasional daripada Umno.

9. Jawatankuasa Akaun Parlimen (PAC) mengesahkan yang National Feedlot Corporation (NFCorp) milik keluarga Shahrizat tidak membayar balik ansuran hutang mudah kepada Kerajaan pada bulan Januari dan Feb lalu berjumlah RM34 juta.

10. Dr Hassan Ali, bekas Exco Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor, yang baru dipecat daripada Pas kerana bergaduh dengan rakan kongsi DAP, berkata beliau gembira menghadiri sidang DUN sebagai wakil rakyat bebas. Cabaran terhadap Pas ialah membuktikan kepada orang Melayu/Islam yang ia bukan di bawah telunjuk DAP dan PKR.

11. Sebahagian peneroka Felda dan perwakilan mereka masih menentang IPO Felda Global Ventures. Masih banyak soalan mengenai modus operandi cadangan IPO itu yang belum terjawab. Seorang bekas menteri kanan bertanya mengenai “preference shares” yang akan memberikan keutamaan dividen kepada pihak-pihak tertentu dan membelakangkan peneroka.

12. Tidak kira di negeri perintah BN atau PR, keselesaan dan keselamatan harian rakyat jelata semakin terancam. Bandar raya, bandar dan pekan semakin kotor, jalan raya berlopak dan anjing (bertuan dan liar) berkeliaran menjadi ancaman kepada orang ramai. Di Bukit Mertajam, Seberang Prai baru-baru ini, seorang kanak-kanak tujuh tahun, Dhiya Qairina, diserang anjing jirannya ketika berbasikal.

13. Sekarang dalam satu Malaysia (rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan) anjing, sama ada anjing bertuan atau anjing liar, serta babi hutan menjadi masalah besar. Dulu anjing yang tidak ada lesen tergantung di tengkuk akan ditangkap atau ditembak. Tapi sekarang tidak lagi. Tunggu sajalah sampai manusia dijangkiti penyakit anjing gila (rabies) barulah Kerajaan akan riuh-rendah, hiruk-pikuk buat ikrar dan janji.

14. Tidak cukup dengan anjing, babi hutan dan kera, kita juga kena main oleh pendatang (halal dan haram). Kerana para perunding antarabangsa dan diplomatik kita hambar dan half-past-six, maka negara kita kena buli kiri kanan oleh negara-negara jiran. Negara jiran yang sepatutnya jadi kawan sudah jadi lawan.

Wallahualam. Kalau pembahas ada nak tambah, silalah tambah.

http://kadirjasin.blogspot.com
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .