Ikuti Blog ini

Awas cara Terengganu tawan Selangor

KUALA LUMPUR, 17 April: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang memberikan peringatan, taktik Umno merampas Terengganu pada pilihan raya 2004 akan digunakan semula di Selangor dalam pilihan raya akan datang ini.

Beliau memberi peringatan ini dalam wawancara khas dengan Harakahdaily baru-baru ini.

"Di Terengganu, kita kalah dalam pilihan raya 2004 bukan kerana penolakan rakyat tetapi melalui pengundi yang diangkut masuk.

"Mereka akan ulang cara ini di Selangor dalam pilihan raya akan datang ini," kata anggota Parlimen Marang itu memberikan amaran kepada petugas Pakatan Rakyat di Selangor.

PAS telah menang dalam pilihan raya umum 1999 di Terengganu dengan mendapat 27 dari 32 kerusi DUN yang ada namun dalam pilihan raya 2004, kerusi PAS hanya tinggal lima sahaja.

Bagi beliau, pendekatan begini satu penipuan yang kotor lagi najis kalau ia dinilai dari perspektif demokrasi sebenar yang sepatutnya adil dan bersih.

Menurut beliau, dalam postmortem yang dibuat oleh PAS selepas pilihan raya umum 2004, beberapa kawasan di Terengganu didapati berlaku peningkatan sehingga 2 peratus undi kepada PAS.

Berlaku juga di sesetengah kawasan penurunan undi untuk PAS sehingga 2 peratus.

"Tetapi di negeri Kelantan, ada kawasan yang menurun undi PAS sehingga 6 peratus. Tetapi apa yang berlaku, Terengganu kerajaan PAS jatuh tetapi kita bertahan di Kelantan," kata beliau.

Untuk Parlimen Kemaman, kata beliau, berlaku pertambahan undi berlipat kali ganda yang di luar dari kadar kelahiran manusia di kawasan itu.

"Dianggarkan pertambahan pengundi di Kemaman adalah 17,000 pengundi baru (berbanding pilihan raya 1999).

"Kawasan lain pun ada juga fenomena yang sama," kata beliau dalam wawancara khas itu.

Bagi Abdul Hadi, jentera pilihan raya Umno dan Barisan Nasional (BN) bukanlah kuat sangat tetapi mereka telah menggunakan jentera kerajaan.

"Mereka kuat dengan jentera kerajaan. Sepatut tak berlaku macam itu kerana  masa pilihan raya, ia hanya caretaker government (kerajaan sementara)," jelas beliau.

BN juga, katanya, menggunakan 100 peratus media yang ada dan menghalang parti lawan mereka menggunakan media itu yang bukannya milik BN.

"Saya yakin, jika pilihan raya akan datang ini berjalan dengan bersih, kita akan tawan semula Terengganu," beritahu beliau. -Hrkh
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .