KUALA LUMPUR : Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (gambar) menyifatkan tindakan Umno menubuhkan 'task force' untuk mendaftar pengundi warga asing satu tindakan mencabul konsep perlembagaan yang amalkan demokrasi sebenar.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan pegawai kerajaan jangan terpengaruh dengan pemberian duit dan pangkat dari Umno kerana ia hanya menyembelih diri sendiri.
"Jangan jadi umpan untuk pegawai kerajaan dapat duit dan pangkat kerana ia hanya sembelih mereka sendiri.
"Bila bersara nanti, tidak dihormati masyarakat, bila mati akan dikutuk oleh masyarakat, itu nasihat saya lah," kata Abdul Hadi mengulas penubuhan 'task force' khas oleh Umno untuk mendaftar warga asing menjadi pengundi.
Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar baru-baru ini mendedahkan penglibatan beberapa orang termasuk pegawai kerajaan dalam 'task force' untuk mendaftarkan warga asing sebagai pengundi.
Bagi Abdul Hadi, yang lebih malang lagi adalah orang Melayu yang terpengaruh dengan hujah kononnya tindakan ini dibuat untuk menjaga kepentingan politik Melayu.
"Malangnya yang paling tertipu adalah orang Melayu yang beragama Islam kerana mereka percaya dengan alasan inilah cara untuk pertahankan Melayu dan Islam.
"Pertahankan Melayu dan Islam bukan cara tipu, kena guna jati diri Islam. Yang hakis Melayu adalah kerana kerja-kerja penyelewengan yang dibuat Umno sebelum, semasa dan selepas pilihan raya," kata Abdul Hadi dalam wawancara khas dengan Harakahdaily.
Bagi beliau, kerja menipu melalui Mykad dan daftar pemilih bukan saja menghasilkan kemenangan yang rapuh untuk BN tetapi ia bakal menjadi sebab kejatuhan BN
Beliau juga kesal dengan tindakan ini kerana tindakan untuk mempertahankan kuasa, mereka sanggup memanggil sendiri penjajah datang untuk menjajah negara.
"Sangat malang politik negara ditentukan oleh orang luar, orang asing yang kita panggil untuk jajah diri sendiri.
"Ini tindakan yang sangat salah dan sangat silap," kata Abdul Hadi.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan kepada Umno agar belajar dari negara barat.
"Kita kena belajar dengan barat yang kalah pilihan raya dan jatuh belajar dari kesilapan untuk naik balik," kata beliau.
Beliau juga memaklumkan, PAS mempunyai maklumat BN menggunakan duit dan pegawai kerajaan dan pasukan keselamatqn untuk kawal tempat menyediakan Mykad untuk warga asing.
"Ini kita tahu semua," kata beliau kesal. -Hrkh