Ikuti Blog ini

Mengundi Umno-BN Tidak Lulus Islam - Mursyidul Am PAS

KUALA TERENGGANU - Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat meminta rakyat Malaysia khususnya di kalangan masyarakat Islam dan para pengundi beragama Islam agar memilih pemimpin dan parti yang berasaskan Islam pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Beliau membuat seruan tersebut ketika merasmikan Mesyuarat Agung PAS Kawasan Kuala Terengganu Kali Ke-37 di Markaz Tarbiyyah PAS Kuala Terengganu, di Kuala Ibai, dekat sini, pada Sabtu 19 Mei.

Katanya, Allah SWT menjadikan di atas dunia ini dua jenis golongan kepimpinan manusia iaitu yang dinamakan pemimpin biasa dan Nabi-nabi a.s.

Menurutnya, manusia biasa tidak akan mengetahui semua perkara mengenai dunia kecuali golongan Nabi dan Rasul a.s. kerana dilantik oleh Allah Ta’ala.

“Saya minta semua pengundi khasnya pengundi yang beragama Islam mengundi parti yang berasaskan kepada Islam, kerana atas dunia ini ada dua jenis pemimpin.

“Satu yang kita panggil pemimpin dan satu lagi kita panggil Nabi. Allah Ta’ala sengaja buat dunia ini ada manusia biasa dan ada manusia yang bergelar Nabi, kerana manusia biasa ini, dia hanya boleh ‘reti’ (tahu) padan-padan dengan akal manusia sahaja. Tidak ada manusia boleh memahami dunia ini sepenuhnya kecuali golongan Nabi,” ujarnya di hadapan lebih 1000 hadirin.

Kata Tuan Guru Nik Aziz, Islam mengajar manusia menggunakan akal fikiran berasaskan kepada agama.

Menurutnya, golongan Nabi yang memberitahu manusia perkara yang manusia biasa tidak tahu seperti selepas kematian akan dihidupkan kembali.

“Ini (mati hidup balik) tidak ada dalam pengajian demokrasi, nasionalis, komunis dan sebagainya. Sedangkan, hidup balik ini perancangan Allah, bukan perancangan kerajaan, bukan perancangan syarikat. Allah SWT yang akan menghidupkan kita semula untuk dibalas.

“Jadi sebab itulah, saya minta kepada pengundi beragama Islam sama ada Cina muslim, Melayu muslim, orang Asli muslim undi kerajaan yang boleh melaksanakan Islam. Bukan sekadar hendak jaga Melayu, bukan sekadar hendak jaga pembangunan,” jelasnya.

Sementara itu, pada sidang medianya, beliau ditanya bagaimana dengan hak pengundi bukan Islam jika bagi pengundi Islam mesti memilih parti yang berasaskan Islam.

Menurutnya, bagi hak pengundi bukan Islam boleh mengundi mana-mana parti dari Pakatan Rakyat yang telah bersama dengan PAS.
Ini kerana, katanya kerajaan Pakatan Rakyat telah melaksanakan dasar-dasar yang dibuat oleh PAS seperti mengharamkan arak, judi serta menentang rasuah.

“PAS kini bersama Pakatan Rakyat dan dalam pakatan itu ada yang Islam dan bukan Islam. Hak tidak Islam boleh undi pakatan.

“Pakatan Rakyat telah melaksanakan dasar-dasar yang dibuat oleh PAS. Haram arak, tidak boleh judi, rasuah tidak boleh. ‘Benda’ (perkara) ini benda yang memberi manfaat kepada manusia,” ujarnya.

Tuan Guru Nik Aziz menegaskan Umno sebuah parti yang menolak Islam sebagai dasar kerana telah menjadikan ‘kebangsaan’ sebagai dasar partinya.

Katanya, dasar kebangsaan yang diterima pakai oleh parti Umno sejak ditubuhkan bukan termasuk dalam ajaran Nabi Muhamad SAW iaitu Islam.

“Mengundi BN (Umno) tidak lulus Islamlah. Dasar BN, ‘dasar kebangsaan’. Dasar Kebangsaan tidak boleh bawa manusia ke Syurga, kerana dasar ini (kebangsaan) bukan ajaran Nabi Muhamad SAW, ajaran Nabi Muhamad ialah Islam,” tegasnya. -BO




Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .