KUALA LUMPUR:
Majoriti pengunjung laman web Yahoo Malaysia menyalahkan polis sehingga
tercetusnya keganasan dalam perhimpunan Bersih 3.0 Sabtu lepas.
(Keputusan poll yang dibuat oleh Yahoo Malaysia.)
Dalam satu poll yang dibuat oleh laman web
antarabangsa itu, Yahoo bertanya, "Siapa yang patut dipersalahkan ekoran
keganasan dalam Bersih 3.0?".
Jawapannya adalah 59 peratus pengunjung menyalahkan polis sebagai penyebab tercetusnya keganasan itu.
Sehingga berita ini disiarkan, 19,236 pelayar laman web Yahoo Malaysia ini telah mengundi.
Semalam,
sekumpulan pemerhati antarabangsa juga mempersalahkan tindakan polis
sehingga tercetusnya kekecohan dalam perhimpunan ini.
Senator
bebas Australia Nick Xenophon dipetik Malaysiakini sebagai berkata, “Ia
adalah aman (sehingga para pendemo diprovokasi).”
Beliau turut
mengkritik laporan berat sebelah media tradisional terhadap perhimpunan
Bersih 3.0, yang dikatakan lebih mementingkan wajah perdana menteri
Datuk Seri Najib Razak di Sabah daripada perhimpunan terbesar di
Malaysia.
“Media perdana adalah memihak dan tidak adil. Ia
menonjolkan lebih perdana menteri di Sabah pada televisyen daripada
perhimpunan politik terbesar di Malaysia,” kata Xenophon.
Khabar
angin yang disebarkan di kalangan anggota polis yang bertugas kononnya
seorang anggota mereka mati dipukul peserta deminstrasi telah dianggap
sebagai punca keganasan polis dalam perhimpunan ini.
Media
tradisional yang dimiliki Umno dan Barisan Nasional pula membuat laporan
palsu ekoran tindakan balas para peserta perhimpunan.
Misalnya
tindakan peserta terbalikkan sebuah kereta polis kerana menganggap ada
mangsa yang masih tersepit di bawah kereta itu dipaparkan sebagai contoh
aksi keganasan.
Begitu juga aksi seorang 'peserta' menendang
sebuah motosikal polis trafik dipaparkan sebagai aksi keganasan padahal
dikenalpasti kemudiannya sipenendang itulah juga yang menangkap peserta
perhimpunan kemudiannya.
Dalam sidang media Ketua Polis Negara semalam, Tan Sri Ismail Omar
diserang bertalu-talu oleh wartawan kenapa polis bertindak menangkap dan
memukul peserta perhimpunan di luar kawasan yang digezetkan oleh
mahkamah iaitu Dataran Merdeka.
Ismail menjelaskan, ia dibuat selepas sekatan ke situ dipecahkan oleh peserta perhimpunan itu. -Hrkh