Ikuti Blog ini

Mohon maaf bukti Kickdefella hanya fitnah


KOTA BHARU: Permohonan maaf bloger Kickdefella atau Syed Azidi Syed Abdul Aziz, membuktikan kenyataan berupa tuduhan tidak akan ke mana sehingga akhirnya akan menjerat leher sendiri.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri, Datuk Husam Musa berkata, permohonan maaf itu juga turut membuktikan tulisan yang dibuat selama ini bukan sahaja tidak berfakta, sebaliknya berunsur fitnah.

“Permohonan maaf itu juga membuktikan tulisan itu berbaur fitnah serta rasa tidak puas hati berhubung program yang dilakukan oleh kerajaan negeri,”ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada Harakahdaily ketika diminta mengulas bloger mesra Umno itu memohon maaf kepada Perbadanan Kemajuan Ladang Rakyat berhubung buku tulisannya yang bertajuk ‘Ladang Rakyat Ladang Air Mata Rakyat’.

Permohonan maaf tersebut dibuat di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dalam kamar di Mahkamah Tinggi Kota Bharu baru-baru ini.

Husam yang juga Naib Presiden PAS berkata, sekiranya setiap apa yang ditulis mempunyai bukti kukuh sudah tentu permohonan maaf tidak akan dilakukan.

Beliau bagaimanapun menambah dengan permohonan maaf itu sekaligus masyarakat akan membuat pelbagai andaian terhadap diri seseorang.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan sesiapa yang tidak berpuas hati terhadap  program yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri melakukannya secara ‘anak jantan’.

“Sempena bulan Ramadan ini, tegur menegur biar cara yang berlapik, saluran yang betul, ambil pengajaran dari apa yang berlaku,”ujarnya.

Terdahulu beliau menyampaikan sumbangan kepada 800 orang penerima dari golongan armalah, anak yatim dan warga emas di Pondok Beta Hilir sempena menyambut Syawal.

Katanya, sumbangan berkenaan disalurkan oleh kerajaan negeri melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat Kelantan disamping sumbangan zakat individu kepada masyarakat Dun Salor. -Hrkh
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .