
Tetapi itu tidak berlaku kepada Noorliza Mat Isa, isteri kepada Hoslan Hussin – imam kontroversi yang dipenjara setahun kerana menghina mahkamah dengan melempar kasut ke arah panel hakim.
Tidak seperti selalu, Noorliza, 43, kali ini akan beraya di Kuala Lumpur terlebih dahulu untuk melawat suami tercintanya pada raya ketiga esok – tarikh yang ditetapkan penjara Kajang.
Pada hari raya keempat Noorliza berkata, beliau bersama tujuh anak-anaknya yang berusia 6 hingga 16 tahun – akan pulang ke kampung dengan menaiki keretapi ke Sungkai, Perak.
"Ini kali pertama kami beraya tanpa imam (Hoslan). Selalu apa-apa kerja, persiapan memang imam yang buat. Tapi kali ni persiapan saya perlu buat sendiri.

Harapan 'mustahil' sang isteri
Menceritakan persiapan hari raya, Noorliza turut berharap agar suaminya dibebaskan sebelum hari raya walaupun beliau tahu perkara itu mustahil.
"Kita dah buat parol (parole) agar imam boleh dikeluarkan awal daripada tempoh (tahanan) sebenar. Tapi orang dari pihak penjara kata benda ini mungkin makan masa," katanya.
Hoslan sebelum ini mengejutkan pelbagai pihak apabila melempas selipar ke arah panel hakim - tindakan yang menyebabkan Mahkamah Persekutuan pada Mac lalu menjatuhkan hukuman penjara setahun ke atasnya.
Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinuddin ketika menjatuhkan hukuman dilaporkan berkata, tempoh itu adalah hukuman setimpal bagi kes berkenaan.

Sehari sebelum raya, kata Noorliza, apabila kesemua anaknya berada di rumah, barulah mereka akan keluar membeli-belah bersama-sama.
'Syukur sumbangan berterusan'
Bagaimanapun, Norliza lega kerana menurutnya anak-anak faham dan rakan-rakannya pula selalu memberi sokongan dan dorongan.
Hasil perkahwinan Hoslan dan Noorliza, mereka dikurniakan tujuh orang cahaya mata, masing-masing berumur 16, 15, 14, 12, 11, 8 dan 6 tahun.
Hoslan berasal daripada Slim River dan dibesarkan di Kampung Pandan manakala Noorliza dari Sungkai, Perak. Mereka berdua ahli PAS seumur hidup sejak tahun 1998 sehingga kini.

"Alhamdulillah sebab ada juga sumbangan saya dapat dari Muslimat PAS, dari Baitulmal. Ada juga yang beri beras dan barang-barang dapur. Jiran-jiran pun faham apa yang berlaku.
“Mereka kenal sangat imam sebab imam peramah dengan semua orang. Jadi mereka pun ada bantu juga," katanya lagi. -M'kini