Ikuti Blog ini
Kg Baru: 'Sampai bila-bila ia akan kekal di rumah kami' ,Selasa, September 04, 2012 at 4.9.12,
(Kain rentang ini dipasang sejak sekian lama. Apabila lusuh, mereka akan gantikan dengan yang baru)
KUALA LUMPUR: Jika sesiapa pergi ke Kampung Baru, Kuala Lumpur, sudah tentu akan terlihat kain-kain rentang yang digantung di rumah-rumah penduduknya.
Bukan satu atau dua buah rumah berbuat demikian, tetapi banyak rumah yang mempunyai kain-kain rentang ini.
Bahkan, yang lebih menariknya bukan rumah-rumah kecil atau setinggan tetapi di rumah-rumah yang kelihatan moden dan besar di perkampungan Melayu tengah bandar ini.
Mereka terus berbuat demikain meskipun Rang Undang-Undang Perbadanan Pembangunan Kampung Baru 2011 sudah diluluskan di Dewan Negara pada Disember tahun lalu.
Yang pasti mereka tetap konsisten membantah akta tersebut.
Kain rentang ini digantung di hadapan rumah masing-masing yang dilakukan sejak cadangan pindaan akta tersebut mula diutarakan Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar.
(Bukan satu buah rumah yang memasangnya tetapi banyak buah rumah)
Sejak dari itu, penduduk yang membantah akta yang disifatkan membelakangkan pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru mula menggantung kain rentang bagi menzahirkan bantahan mereka.
Jika melalui Jalan Raja Uda, Kampung Baru, dapat dilihat kain rentang bantahan masih lagi tergantung di di rumah-rumah mereka.
Malah, kain rentang yang sudah koyak dan luntur warna tulisannya ditukar dengan kain rentang yang baru. Untuk menurunkannya, tidak sama sekali.
Seorang pewaris tanah Kampung Baru, Yusuf Sukarman, 48, berkata, kain rentang di kediamannya tidak akan sesekali diturunkan selagi akta tersebut tidak ditarik balik.
Beliau yang merupakan antara orang paling awal menggantung kain rentang di hadapan rumah nekad meneruskan tindakan tersebut sehingga kerajaan melupakan hasrat untuk merampas tanah mereka untuk pembangunan.
Katanya, dengan berbuat demikian, orang yang lalu lalang dapat membaca apa yang dibantah mereka.
"Sampai bila-bila kain rentang itu akan kekal di rumah kami. Kalau Pakatan Rakyat menang dalam pilihan raya umum akan datang dan hapuskan akta yang ada sekarang, semua dah selesai, barulah kita turunkan kain rentang itu. Selagi tak selesai, selagi itulah kami tak akan turunkan," kata beliau ketika ditemui Harakahdaily baru-baru ini.
Ditanya sama ada tindakan tersebut ditegur pihak yang pro akta Kampung Baru atau tidak, Yusuf berkata, memang ada pihak yang tidak berpuas hati dengan kain rentang yang mengutuk akta tersebut.
"Memang ada penduduk yang pro kerajaan tegur saya dan kata, 'cantik kain rentang' tapi saya balas balik, 'memanglah cantik dan saya boleh buat lagi cantik dan besar daripada ini'.
"Bila saya cakap macam itu, mereka diamlah dan tak berani tegur lagi sebab mereka tahu saya memang penduduk jati Kampung Baru.
"Tapi kalau mereka tengok orang yang naikkan kain rentang itu jenis yang tak bercampur dengan masyarakat tapi tiba-tiba bantah akta Kampung Baru, mereka lagi beranilah suruh turunkan," katanya yang merupakan ahli jawatankuasa Sekretariat Pembangunan Kampung Baru (SPKB), badan yang giat menghalang usaha kerajaan mengambil tanah penduduk.
Yusuf juga berkata, rata-rata penduduk kampung Baru tidak bersetuju dengan akta tersebut termasuk orang Umno sendiri.
"Saya banyak juga berjumpa dengan penyokong Umno dan mereka pun tak setuju cara kerajaan nak ambil tanah Kampung baru cuma mereka tak berani nak tunjuk bantahan, masih takut-takut," katanya.
Sambil menafikan beliau menolak pembangunan, Yusuf berkata, tidak ada orang yang tidak mahukan pembangunan namun pembangunan yang akan dilakukan tidak harus mengenepikan nasib kaum Melayu.
"Kami bukan tak mahukan pembangunan tapi biarlah pembangunan yang mengekalkan ciri asal Kampung Melayu, tidak menyusahkan penduduk dan dilakukan secara telus," katanya. -Hrkh