Ikuti Blog ini

PBT Diselar, Turunkan Bendera PAS Biarkan Bendera BN



Seremban – Pas sifatkan tindakan pihak berkuasa tempatan (PBT) menurunkan bendera parti itu yang dipasang sempena Majlis Rumah Terbuka Pas Negeri Sembilan, di Dataran Senawang, dekat sini sebagai tidak adil.

Pesuruhjaya Pas negeri, Mohamad Taufek Abd Ghani berkata, sekiranya pemasangan bendera parti di kawasan tersebut merupakan satu kesalahan, tindakan sama juga perlu dilakukan terhadap bendera Barisan Nasional (BN) di situ.

“Jika hari biasa memang kita tidak pasang bendera Pas di kawasan terbuka seperti ini. Tetapi, kita pasang kerana kita anjurkan majlis rumah terbuka.

“Kita tiada masalah jika pihak berkuasa menjalankan tugas, tapi menjadi persoalan mengapa bendera BN dipasang di hampir keseluruhan pokok palma di Dataran Senawang tidak diturunkan,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Mohd Taufek yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paroi berkata, Majlis Perbandaran Seremban (MPS) sewajarnya bertindak secara profesional dalam menjalankan undang-undang berhubung pemasangan bendera parti.

“Saya juga musykil kerana kawasan Dataran Senawang yang dimenangi pakatan pembangkang tidak dibenarkan memasang bendera parti, sedangkan BN diberi ruang sebebasnya di sini. Malah bendera BN juga sudah berbulan-bulan dibiarkan tergantung tanpa tindakan pihak berkuasa,” katanya.

Semalam, kira-kira 40 bendera Pas yang dipasang di sekitar Dataran Senawang sehari sebelum majlis, diturunkan penguat kuasa MPS kira-kira 9.30 pagi. -SH
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .