Imam Hoslan Husin, 46, yang baru sahaja kembali ke pangkuan anak dan isterinya semalam selepas hampir tujuh bulan menjalani hukuman penjara akan meneruskan kehidupan biasa dengan berniaga buku dan kitab-kitab pengajian agama Islam.
Itulah sumber pendapatan beliau selain bekerja makan gaji dengan vendor alam sekitar sebagai 'water monitoring'.
Bagaimanapun, beliau akan merujuk semula dengan majikannya itu kerana difahamkan akan diberi ruang untuknya di sana selepas ini.
Malah katanya, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyokong penuh perjuangannya.
"Saya berterima kasih dengan pegawai Jawi yang sama-sama bertugas di Masjid Ar Rahimah kerana menghulurkan sumbangan kepada keluarga selama saya dipenjara," katanya ketika ditemui.
Hoslan cukup teruja untuk menceritakan pengalaman yang baru sepanjang beliau berada di Penjara Kajang.
Menurut Hoslan yang juga bekas Imam Masjid Ar-Rahimah, Kampung Pandan, sepanjang berada di sana beliau mengambil tugas-tugas sebagai pendakwah di dalam Unit Halaqah.
"Saya cukup sedih, ramai banduan orang Melayu Islam di dalam sana tidak tahu apa itu syahadah apatah lagi mahu mengucap (syahadah).
"Saya juga pernah melakukan sembahyang ghaib untuk salah seorang pegawai penjara yang meninggal dunia. Walaupun ada sedikit pertikaian tetapi saya berjaya menjelaskan sebaiknya," katanya.
Selama berada di sana, beliau cukup gembira apabila berpeluang berdakwah dan memberi kata-kata nasihat kepada banduan-banduan lain.
"Saya diberi kebenaran menyampaikan nasihat oleh pegawai penjara. Antara yang saya tekankan 'jalan kehidupan Allah telah tunjuk, tugas kita hanya ikut sahaja jalan itu'," ujarnya.
Namun, beliau menyifatkan hukuman yang diterimanya sebagai pengajaran dan mengibaratkan penjara itu sebagai madrasah tarbiyah.
Sementara itu, isteri beliau Noorliza Mat Isa, 43, melahirkan kegembiraan yang teramat sangat sehingga tidak terluah dengan kata-kata sebaik sahaja melihat suami yang kini sudah berada di depan mata.
"Tidak tahu nak cakap, saya cukup gembira. Suami dan ayah kepada anak-anak saya akhirnya berada di depan mata kami," katanya dengan linangan air mata.
Jika hari raya Aidilfitri yang lalu, Noorliza berhari raya tanpa suami untuk Hari Raya Aidil Adha yang bakal disambut akhir bulan ini adalah cukup bermakna buat mereka sekeluarga.
"Bersyukur, raya nanti kami gembira sangat, baru ada mood nak raya. Macam Aidilfitri lalu kami tak ada 'mood' nak raya. Anak-anaklah yang paling gembira dan mungkin mereka tidak sabar untuk berbaju raya sedondong," katanya ketika ditemui. -Hrkh