Ikuti Blog ini

Pastor Kristian Bantu Berkempen Untuk Calon PAS!




Kota Kinabalu: Pernahkah anda terfikir, kempen calon PAS bakal digerakkan sepenuhnya oleh orang Kristian dan dia bukan penganut biasa tetapi pastor? Tetapi inilah yang berlaku di Sabah sekarang. Bakal calon PAS di DUN Pitas, Kudat digerakkan sepenuhnya oleh pendokong Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP).

Ia diketuai oleh Otou @ Francis Singoron, seorang pemimpin agama Kristian bertaraf pastor.

Beliau dibantu oleh dua orang kuatnya yang bekerja siang malam untuk memenangkan bakal calon PAS di situ.

Ondon Mangajil, 58, dan Rakilin Mahuda @ Melvin adalah dua penggerak DHPP Pitas yang membantu Francis.

Kedua-dua mereka juga beragama Kristian.

Francis mengaku, beliau menyertai DHPP kerana sikap yang diambil oleh PAS yang tidak mengenepikan orang bukan Islam dan sanggup bekerjasama.

Beliau yakin, bersama dengan PAS, tidak akan berlaku persengketaan antara agama dan dapat berjalan dengan baik.

Di DUN Pitas, 60 peratus penduduknya adalah beragama Islam manakala 40 peratus lagi penduduk Kadazan, Dusun dan Murut beragama Kristian.

Rakilin Mahuda @ Melvin sebelum ini tinggal di Kelana Jaya, Selangor. Namun untuk mempastikan PAS menang di Pitas, beliau telah pulang ke Pitas, tempat lahir dan tinggal beliau sebelum ini.

"Saya akan terus bekerja sehingga pilihan raya akan datang bagi memenangkan calon," kata Melvin yang sebelum ini pernah aktif dalam PKR di Kelana Jaya.

Antara isu penting yang dijadikan isu oleh lawan PAS di sini adalah hukum Hudud dan penggerak DHPP inilah yang menerangkan kedudukan sebenarnya.

"Saya sangat senang bekerja dalam PAS kerana di sini saya lihat tolak ansur, keseimbangan dan kebaikan hati pemimpinnya di semua peringkat.

"Rakan-rakan saya dalam PAS dari bawah hingga ke atas melayan saya dengan sama. Bila pilihan raya hampir, sebagai orang Pitas, saya pulang dan bekerja untuk memenangkan PAS," kata Melvin yang sudah 22 tahun tinggal di Selangor.

Ondon pula dilihat paling faham tentang pilihan raya antara mereka.

"Pitas ini dari segi saisnya lebih besar dari Perlis. Ini menyusahkan kita," kata Ondon kepada Harakahdaily.

Ondon juga menyifatkan isu tanah adalah isu utama di sini dan bakal menyatukan penduduk Pitas untuk menyokong PAS.

Ondon sangat memuji peranan yang dimainkan oleh Mursyidul Am dan Presiden PAS terutama dalam isu nama Allah sehingga berjaya meredakan salah tanggap orang Kristian.

Calon PAS?

Francis, Melvin dan Ondon bergerak membantu seorang aktivis PAS Pitas iaitu Puan Dausieh Queck yang disebut-sebut bakal menjadi calon Pakatan di sini.

Dausieh adalah penggerak Persatuan Persaudaraan Muslimah Malaysia (Salimah) yang banyak memperjuangkan isu wanita Islam di Malaysia khasnya di Sabah.

Beliau mula mendekati politik sejak tahun 2006 lagi dengan mengikuti aktiviti PKR di Kota Belud.

Namun pada tahun 2011, Dausieh menyertai PAS dan disebut-sebut bakal menjadi calon PAS di sini.

Beliau mula mengenali Ondon sejak tahun 2006 lagi namun mula mengenali Francis pada tahun 2008 apabila beliau turut membantu kempen PKR di Pitas.

"Saya mengenali Melvin agak lama namun apabila PAS diputuskan bertanding di Pitas, saya meminta dia balik ke sini sejak tahun lalu lagi bagi membantu kami," beritahu Dausieh.

Dengan empat tenaga utama Pitas inilah PAS bergerak hampir setiap masa menemui pengundi sehingga ke peringkat mereka yakin akan menang.

"Saya lihat peluangnya amat besar untuk menang dengan bantuan Allah ekoran dari pergerakan kita dan masyarakat yang ada," beritahu Dausieh.

Ini kerana, jentera yang komited di samping kejayaan mereka membentuk suasana penyatuan dari semua pihak samada di kalangan parti-parti dalam Pakatan dan juga hubungan antara agama.

Namun, halangan utama mereka kini adalah kewangan. Ini kerana, apabila masa ditumpukan sepenuhnya untuk menang, mereka terpaksa tinggalkan pelerjaan untuk mendapat wang hatta untuk kehidupan mereka sendiri.

Cabaran mendekati pengundi dikawasan pendalaman merupakan kekangan utama kerana hanya pendekatan TURUN TERUS KEPADA PENGUNDI sahaja merupakan pendekatan yang terbaik.

Maka halangan masuk kependalaman memerlukan kos yang tinggi, tetapi membawa keluar pengundi lebih tinggi lagi kosnya.

Dana PAS Kawasan yang amat terhad juga menjadi kekangan untuk melaksanakan gerak kerja dengan jayanya.

Program bantuan kebajikan kepada rakyat amat sukar dilaksanakan.

Keperluan pengangkutan menjadi keutamaam kerana kebanyakkan jalanraya yang ada hanya boleh dilalui pacuan 4 roda sahaja.

Sehubungan itu, kepada mana-mana pihak yang sudi membantu PAS di Pitas ini, anda boleh memberikan sumbangan terus ke akaun Parti Islam Semalaysia kawasan Kudat 1690020154073 Ambank Islamic atau terus ke akaun bendahari MTD Pitas, Muhd Ruslan Azahari 162263156276 Maybank.

Sungguh benar firman Allah swt di dalam Al-Quran

"Dan sesungguhnya kamu dapati yang paling dekat persahabatannya dengan orang-orang yang beriman ialah orang-orang yang berkata: "Sesungguhnya kami ini orang Nasrani (Kristian)." Yang demikian itu disebabkan kerana di antara mereka itu (orang-orang Nasrani) terdapat pendeta-pendeta dan rahib-rahib, (juga) kerana sesungguhnya mereka tidak menyombongkan diri."
(Q.S. Al-Ma'idah, 82) -GB
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .