Ikuti Blog ini

Kelantan sokong program 'menjohorkan' PAS di Johor


KOTA BHARU: Dewan Pemuda PAS Kelantan mengalu-alukan rancangan PAS Johor untuk 'menjohorkan' PAS di negeri itu.

Bagi mereka, ianya bersesuaian dengan ‘mood’  pelbagai lapisan masyarakat terhadap perjuangan parti itu yang dilihat semakin hebat.

Ketua Dewan Pemudanya, Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman (gambar), ketika ditemui selepas mesyuarat Dewan Harian dewan berkenaan memberitahu, rakyat akan lebih mudah memahami dasar dan matlamat perjuangan PAS menerusi cara itu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pesuruhjaya PAS Johor, Datuk Dr Mahfodz Mohamad berhubung program baru parti itu yang mahu menjohorkan PAS di negeri itu.

PAS di Kelantan juga mengambil pendekatan yang sama iaitu mendekati rakyat negeri itu melalui program sosiobudaya mereka untuk memenangi hati mereka.

Ia termasuklah menjadikan kesukaan rakyat Kelantan sebagai program PAS termasuklah dikir barat, bola sepak, memperkasakan makanan tradisi Kelantan termasuk budu dan sebagainya.

Dr Mahfodz ketika memberikan ucaptama dalam Konvensyen PAS Johor Ahad lepas menggariskan program 'menjohorkan' PAS di negeri itu.

Pendekatan tujuh perkara itu bertujuan untuk membolehkan PAS dapat masuk ke dalam sosiobudaya rakyat Johor sehingga ke akarnya.

Antara nama penting dalam tradisi Johor adalah majlis yasinan, marhaban, berzanji, merewang, memakai songkok tinggi, nasi embeng, laksa Johor dan sebagainya.

(Peserta konvensyen PAS Johor makan nasi dalam talam antara program 'menjohorkan' PAS di negeri itu)

PAS Johor juga mengkaji untuk mengaitkan PAS dengan tarian tradisional Johor iaitu kuda kepang dan zapin serta muzik ghazal asalkan tidak bertentangan dengan Islam.


Mendapat sambutan



“Lebih membanggakan kita mana-mana program Pakatan Rakyat yang dianjurkan di negeri ini mendapat sambutan rakyat termasuk jualan meja untuk makan malam baru-baru ini.

“Untuk itu PAS perlu memperlengkapkan diri untuk menerima keluarga besar yang bakal menyertai parti itu,”ujar Abdul Latif ketika menyokong cadangan Johor itu.

Pada masa yang sama, Abdul Latif turut mencadangkan program memasyarakatkan PAS di setiap negeri termasuk di Kelantan perlu digerakkan dengan lebih agresif.

“PAS dilihat bukan hanya sebuah wadah perjuangan Islam, sebaliknya membawa masyarakat ke arah keharmonian dan kasih sayang,”ujarnya. -Hrkh
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .