Ikuti Blog ini
Saham FGVH Jatuh Bawah Harga Senarai, Isa Samad Didesak Letak Jawatan ,Selasa, November 13, 2012 at 13.11.12,
SSaham Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGVH) merosot ke paras paling rendah sejak disenaraikan pada 28 Jun lalu.
Saham itu didagangkan pada harga penutup RM4.60 pada 9 November, hanya 5 sen lebih tinggi daripada harga tawaran awam permulaan (IPO) RM4.55 sesaham.
Pagi ini, saham FGVH terus merosot ketika diniagakan pada pukul 10.46 di paras terendah RM4.53 sebelum kembali naik pada sesi penutup tengah hari.
Setiausaha Biro Masyarakat Felda dan Orang Asal KEADILAN, Rebim Birham mendakwa kejatuhan saham FGVH telah dijangka sejak awal berdasarkan penyenaraian yang tidak telus serta menggunakan secara ‘paksa’ tanah-tanah peneroka sebagai modal.
“Pihak pelabur melihat penyenaraian FGVH ini lebih kepada tindakan politik dan bertujuan meraih untung jangka pendek untuk individu atau golongan tertentu. Pihak yang berkepentingan menjual saham sebaik sahaja harga naik.
“Oleh itu, pelabur jangka panjang enggan terus melabur atau menambah pelaburan. Pelabur antarabangsa yang dijangka akan masuk pula tidak berminat apabila mendapati senario politik tidak lagi menyebelahi BN.
“Bagi menyekat kejatuhan berterusan ini, kita desak Pengerusi Felda Isa Samad yang bertanggungjawab ke atas penyenaraian meletak jawatan segera agar tempatnya boleh diisi oleh orang lain yang lebih berkelayakan,” kata Rebin ketika dihubungi.
Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman pula berkata kepada Harakah Daily, kejatuhan berterusan saham FGVH menambah penderitaan peneroka yang sebelum itu telah diperdaya membeli saham tersebut.
“Jika harga saham RM4.78 pun dikira peneroka sudah rugi setelah ditolak interest dan bayaran kepada bank. Kalau harga hari ini RM4.61 bermakna ia sudah jauh jatuh, sudah negatif,” katanya.
Tambahnya, apabila rugi pemegang saham tidak dapat menjual saham, akhirnya mereka bukan menikmati durian runtuh tetapi menghadapi malapetaka.