Tidak sukar untuk mengagak bila Umno akan mengadakan ceramah iaitu bergantung kepada lokasi di mana Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan pidato, kata Pengerusi KEADILAN Kedah, Datuk Wan Salleh Wan Isa.
“Umno tak ada kerja lain. Sentiasa ekori Anwar ke mana saja. Kita buat ceramah di sini, mereka pun teringin sangat buat di tempat sama.
“Mereka boleh buat hari lain. Kenapa buat hari dan lokasi sama? Ini bukti Umno makin gelisah dengan kehadiran Anwar,” katanya mengulas perbuatan Umno Bahagian Langkawi mengadakan ceramah kira-kira 300 meter dari lokasi ceramah Anwar, malam tadi.
Ceramah itu dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuah, Datuk Nawawi Ahmad dan Ketua Penerangan Perkasa, Datuk Roslan Kassim tetapi ‘bungkus awal’ berikutan tiada sambutan dan dihadiri 300 orang sahaja.
Ia berbeza dengan ceramah menampil Ketua Umum KEADILAN di Pekan Kuah, Langkawi dan dihadiri hampir 5,000 rakyat yang hanya berakhir tengah malam 15 Februari lalu.