Dalam satu lagi kejadian keganasan politik, sekurang-kurangnya seorang penyokong Pakatan Rakyat cedera di satu majlis ceramah di Bukit Katil, Melaka malam tadi, selepas ia diganggu samseng yang dikatakan dari Umno.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata dalam kejadian pada kira-kira jam 9 malam itu, batu dan objek lain dilemparkan pada bas kempen 'Jelajah Merdeka' parti itu, mengakibatkan tingkapnya pecah.
Beliau memberitahu satu sidang akhbar bahawa kejadian itu menyebabkan serpihan jatuh ke atas Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pengawal peribadinya dan petugas lain - sesetengahnya mengalami luka kecil.
Bagaimanapun, Anwar yang sedang menuruni tangga bas dua tingkat pada masa itu, tidak cedera.
Saifuddin berkata ini adalah serangan keenam ke atas bas tersebut sejak ia dilancarkan pada Ogos tahun lepas.
Serangan sebelum ini berlaku di Perak, Johor dan Kelantan, manakala insiden ini adalah yang kedua berlaku di Melaka.
Apabila bas itu ditunjukkan kepada pihak media di luar ibu pejabat parti itu di Petaling Jaya, pintu dan tingkap dek atas pada sebelah kiri, didapati pecah, manakala tingkap depan dek atas retak.
Manakala gambar yang disiarkan oleh penyokong Pakatan di Facebook menunjukkan seorang lelaki berdarah di kepalanya selepas dikatakan terkena batu.
Berita Harian melaporkan bahawa dua anggota polis, yang telah ditempatkan untuk menjaga keselamatan di ceramah itu, cedera dan
dimasukkan ke hospital selepas batu yang dipercayai dibaling oleh "penyokong sebuah parti politik" mengenai kepala mereka.
Akhbar itu memetik Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Salehuddin Abd Rahman sebagai berkata kejadian itu berlaku pada kira-kira jam 11.15 malam ketika Anwar baru sahaja selesai ucapannya dan sedang beredar untuk ke Sungai Udang.
Kenyataan yang dikeluarkan PAS Kawasan Bukit Katil mengenalpasti mangsa sebagai Abdul Ghani Buang, 44, seorang penduduk Kampung Bukit Lintang.
Kenyataan itu memetik Ghani sebagai berkata beliau nampak botol dibaling dan tidak sempat mengelaknya dan botol itu mengenainya.
Beliau juga menyuara rasa kesalnya kerana mendakwa pihak polis tidak berbuat apa-apa untuk menghentikan keganasan tersebut.
Ahli Parlimen Rasah, Loke Siew Fook yang berucap semasa ceramah tersebut berkata, pihak Umno turut mengadakan satu ceramah di tempat yang sama.
Loke menulis dalam twitter bahawa beliau baru tiba di Melaka untuk mendengar ceramah PKR Bukit Katil dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan ribuan orang berada di sana.
Menurutnya, Umno mengadakan ceramah berhampiran di situ yang dihadiri oleh hanya ratusan orang.
Beliau menyifatkannya sebagai perbuatan mereka yang takut kalah (pilihan raya umum).
Namun, tegasnya, kebangkitan rakyat untuk menumbangkan rejim BN akan berterusan dan mereka tidak akan tunduk kepada ugutan Umno.
Polis anti-rusuhan datang untuk memulihkan keadaan, tetapi mereka mengalami kesukaran untuk mengawal penceroboh tersebut.
Ahad lalu, satu lagi ceramah diganggu oleh penyokong BN di Teluk Intan, Perak.
Ahli Parlimen, M Manogaran terpaksa dibawa polis beredar dari ceramah DAP itu selepas sekumpulan kira-kira 40 penceroboh yang membawa bendera BN datang mengganggu dan memaki hamun pemimpin Pakatan. -M'kini