Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar nampaknya semakin 
terasa dan dapat membaca 'kilau didalam kilat' mengenai dirinya di dalam
 pilihan ke-13 ini. Beliau seperti sudah terbau apa yang akan berlaku 
terhadap dirinya.
Khairy telah memberi nasihat dan amanat berguna kepada anak buahnya agar
 tidak merajuk dan terus bekerja untuk menjamin kemenangan parti 
walaupun tidak dicalonkan. Sambil menasihati mana-mana kawan yang 
mungkin tidak akan dicalonkan, beliau juga turut memberi peringatan 
kepada dirinya sendiri agar tidak kecewa.
Apakah nasihat atau gambaran itu boleh dikatakan Khairy sudah merasakan 
dia tidak akan diturunkan oleh partinya untuk mempertahankan kerusi 
Rembau? Khairy seperti telah mengambil tindakan 'berundur' sebelum orang
 mengundurkan dirinya.
Lama sebelum ini Khairy sudah pun membayangkan dia 
tidak berminat untuk mempertahankan kerusinya. Tanpa memberi tahu kenapa
 orang dapat menyuluh sebabnya kerana beliau didiskriminasikan oleh 
Najib Razak di dalam kabinet. Khairy menjadi ketua pemuda yang hina di 
dalam Umno kerana dinafikan hak-hak atau pun keistimewaan yang ada 
kepada pemegang jawatan itu seperti mana lazimnya.
Najib tidak melantiknya memegang apa-apa jawatan dalam kerajaan seperti 
mana sepatutnya. Usahkan menteri timbalan menteri pun tidak. Apa lagi 
memalukan dan ini juga menyebabkan menantu bekas PM itu bertarung dengan
 dirinya sendiri apabila timbalannya diberikan jawatan menteri, tetapi 
beliau tidak.
Itu tidak mengapa lagi, yang paling senak kepadanya ialah apabila orang 
yang kalah dengannya, diberikan jawatan, juga timbalan menteri. Ini 
adalah satu penghinaan. Namun Khairy dapat bersabar sehingga genap lima 
tahun menanggung risiko jiwa itu, memakan hati berulamkan jantung. Ini 
satu kejayaan buatnya.
Walaupun begitu Khairy dapat menahan perasaan dan terus berkhidmat 
sebagai seorang ketua pemuda seperti biasa. Khairy tidak menunjukkan dia
 kecewa dan melakukan protes. Beliau tidak mengajar atau menyuruh anak 
buahnya dalam pemuda membuat desakan membela dirinya.
Tribulasi dan takdir itu secara tidak langsung menjadikan Khairy lulus sebagai seorang politician yang
 jujur dan ikhlas dan meletakkan dirinya sebagai pejuang parti 
sebenarnya. Beliau terus bangkit dengan idea, pandangan-pandangan bernas
 serta pembelaan kepada parti dengan tuntas apabila parti diserang oleh 
oposisi.
Beliau tidak mengharapkan balasan di atas apa yang beliaulakukan. Tetapi
 hukum kerma tidak berpihak kepadanya. Jasa dan sikap profesional yang 
ditunjuknya tidak juga dipedulikan Najib. Najib tidak tahu menggunakan 
kepandaian Khairy dan juga tidak reti bagaimana untuk menjadikan Khairy 
sebagai pemangkin politik dirinya.
Kenapa? Tiada sebab lain melainkan kerana Najib akur kepada Mahathir 
Mohamad yang berdendam dengan Kahiry kerana telah mengalahkan anaknya 
Mukhriz. Mahathir menggunakan alasan Khairy rasuah atau menang dengan 
rasuah bagi menolak hakikat kekalahan anaknya. Orang yang menjadi 
penghalang atau memisahkan antara pemuda dengan Najib ialah Mahathir.
Sehebat-hebat manusia berlawanan dengan diri dan perasaanya selama mana 
sangat boleh dilakukan. Jadi apabila Khairy membayangkan dia tidak 
berminat untuk bertanding ada dua kemungkinan akan berlaku; beliau 
digugurkan atau beliau sendiri akan menggugurkan dirinya. Dari sudut 
atau normal orang politik mereka tidak akan mengggugurkan dirinya 
melainkan akan digugurkan.
Jadi apabila Khairy sudah berbau dia tidak dicalonkan sebab itulah dia 
membayangkan sesuatu yang bakal menyedihkan dirinya. Tetapi nampaknya 
dia gentlemen. Kalau Khairy digugurkan dan tidak diberikan kerusi
 untuk bertanding, nasib Khairy sama seperti nasib lawannya dalam 
pilihan raya ke-12 lalu Badrul Hisham Shahrin atau che'GuBard yang juga 
kini sedang memakan hati berulamkan jantung, tetapi terus menjadikan 
dirinya sebagai lilin membakar diri demi mencerahkan parti.
Harap-harap kalau Khairy tidak dicalonkan dia juga akan menjadi lilin 
yang terus membakar diri untuk memberi pencerahan kepada partinya. -MSO



