Ikuti Blog ini

Isu 'hero' cetus kekecohan dalam Dewan

Topik ingin menjadi hero kepada golongan bukan bumiputera telah mencetuskan kekecohan di dalam sidang Dewan Rakyat pagi ini.

Ia didakwa oleh Menteri Pembangunan Awam dan Koperasi, Dato' Mohd Noh Omar ketika diajukan soalan tambahan ketika sesi soal jawab lisan oleh Dr Siti Mariah Mahmud (PAS-Kota Raja) yang meminta pihak kementerian menyatakan jumlah peruntukan yang diberikan kerajaan kepada golongan bukan bumiputera terutamanya kaum India.

Namun, Noh dengan sengaja menuduh Siti Mariah sebagai ingin menjadi hero kepada golongan bukan bumiputera yang menurutnya sebelum ini biasanya diutarakan oleh Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur).

"Biasanya isu bukan bumiputera ini dijuarai oleh YB Ipoh Timur, tapi kali ini seolah-olah Kota Raja ingin menjadi hero untuk membela golongan ini.

"Kerajaan tetap menyediakan peruntukan yang khusus kepada golongan bukan bumiputera tanpa menjadikan isu perkauman sebagai penghalang kepada penyaluran bantuan kepada mereka,

"cuma pembangkang sahaja yang sering menuduh kerajaan mengambil kesempatan memainkan isu perkauman ini," ujarnya sambil disambut suara yang tidak berpuas hati dengan kenyatan tersebut.

Tegasnya lagi, hal tersebut membuktikan bahawa pihak pembangkang yang sebenarnya sengaja mencetuskan isu perkauman ini sebaliknya BN tidak bersifat perkauman.

Kenyataan Noh tersebut mencetuskan kegawatan dalam dewan sehingga menyebabkan Ir Khalid Samad (PAS-Shah Alam) bangkit mengemukakan 'point of order' yang menyatakan tuduhan Noh tersebut sebagai menyeleweng daripada fakta yang sepatutnya.

"Itu satu kenyataan yang tidak bertanggung jawab kerana yang jelas pembangkang tidak membawa isu perkauman seperti BN dan Umno yang memperjuangkan kaum.

"Saya minta YB tarik balik tuduhan tadi," tegasnya.

walau bagaimanapun, Speaker yang bertugas, Dato' Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menolak permintaan tersebut dan pada masa sama Noh mendesak agar Khalid duduk dan tidak bersuara lagi.

Bas percuma untuk tonton ceramah Ezam

Menurut satu laporan, Ezam Mohd Noor akan mengadakan ceramah sulungnya malam ini di Cheras semenjak bergelumang semula dalam Umno.

Namun di sebalik kehebatannya suatu ketika dahulu yang berjaya menarik dan memukau ribuan orang ramai mendengar retoriknya, kali ini perkhidmatan bas percuma terpaksa diguna-pakai bagi memastikan kegemilangan lampau beliau terus menyerlah.

Malah semenjak semalam poster dan risalah ceramah telah diedarkan dari rumah ke rumah untuk mengajak orang ramai hadir bagi mengetahui mengapa Ezam memasuki Umno atau kemungkinan tentang cerita kotak-kotak rasuah kepimpinan Umno, Sumpah Keramat dan perjuangan untuk bangsa dan negaranya.

Kata seorang penulis W.Fauzdin NS di laman web Tranung Kite bahawa 'bas percuma' adalah sejarah terbaru buat Ezam.

"Saya jangkakan kehadiran peminat-peminat 'Badut' malam ini pasti ramai kerana bas percuma dan tempat duduk disediakan. Saya tidak pasti ada atau tidak nasi bungkus," katanya

Beliau mengganggap Ezam sudah pasti tidak akan bercerita tentang isu minyak yang membuat rakyat derita sekarang dan selebihnya akan menunjukkan taat setia tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Umno di samping memburuk-burukkan Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Antara senarai projek pembaziran kerajaan BN


Perbelanjaan negara oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) yang dianggap membazir semakin terdedah, apabila satu demi satu senarai telah disingkap secara tidak langsung dalam sidang Dewan Rakyat baru-baru ini.

Terkini Menteri Wilayah Persekutuan Dato' Seri Zulhasnan Rafique dalam jawapan bertulis kepada soalan Liew Chin Tong (DAP-Bukit Bendera) memberitahu penyelenggaraan bulanan landskap di Putrajaya menelan belanja mencecah RM1.5 juta atau RM18 juta setahun.

ImageKatanya sejumlah 29 kontraktor landskap yang berdaftar dengan Pusat Khidmat Kontraktor (PKK) bagi Projek Seni Taman telah dilantik bagi menjalankan penyelenggaraan landskap mengikut pembahagian zon penyelenggaraan.

Zon penyelenggaraan lanskap di Putrajaya dibahagikan kepada taman-taman, Jalan-jalan Protokol, Persiaran Perdana, Sisiran Putrajaya dan Presint-presint Kejiranan, katanya dalam jawapan bertulisnya itu.

Sementara itu, berikut adalah senarai jumlah yang dianggap sebagai 'pembaziran' projek mega oleh kerajaan BN yang pernah disiarkan oleh beberapa laman web dan blog sebelum ini antaranya ialah:

1. Pembangunan Wilayah Iskandar RM240 bilion
2. Pembangunan Koridor Utara RM160 bilion
3. Pembangunan Koridor Pantai Timur RM170 bilion
4. Pembangunan Koridor Sabah RM115 bilion
5. Pembangunan PGCC di Pulau Pinang RM24 bilion
6. Jambatan Pulau Pinang ke dua RM3 bilion
Jumlah keseluruhannya RM712 bilion

Menurut laporan sepanjang 22 tahun mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamed telah berbelanja sejumlah RM350 bilion untuk kos pembangunan, sebaliknya Abdullah Ahmad Badawi yang baru empat tahun sudahpun berbelanja lebih RM700 bilion.

Jumlah pembaziran dan penyalahgunaan wang rakyat yang telah dilakukan sepanjang era Abdullah menjadi Perdana Menteri sebelum rakyat memilih sekali lagi BN dalam pilhan raya umum akan datang:-

1. Pembelian 3 lukisan untuk syarikat MAS - RM1,550.000.00
2. Lebih bayaran pembelian peralatan KBBS (belia dan Sukan) - RM8,390,000.00
3. Kos memperbaiki MRR 2 - RM70,000,000.00
4. Kos memperbaiki kerja bangunan Matrade - RM120,000,000.00
5. Pembelian jet baru Abdullah - RM200,000,000.00
6. Bayaran pampasan kerana gagal meneruskan pembenaan jambatan bengkok - RM257,000,000.00
7. Pembelian 3 buah submarine - RM4,100,000,000.00
8Skandal PKFZ - RM4,600,000,000.00
9. Skandal OPV (NDSB) bot laju Kementerian Pertahanan - RM6,750,000,000.00

Kerjasama dengan Umno boleh timbulkan masalah - Nik Aziz


Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat mengingatkan parti itu akan menghadapi masalah apabila meneruskan cadangan berunding dengan Umno.

"Mengadakan pakatan PAS dan Umno sebagaimana sebelum ini akan berlaku seperti di Kelantan pada tahun 1970-an di mana wujudnya Berjasa dan Bebas pada waktu itu.

Image"Kalau kita ambil kesempatan berunding pula dengan Umno, jahanam habislah.. bahkan Muktamar PAS yang bakal diadakan di Perak Ogos depan akan menjadi medan mengamuk penyokong.

"Oleh yang demikian saya ulangi dan tidak akan ada pertemuan atau rundingan dengan parti itu," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco di sini, semalam.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan bersama beberapa pemimpin lain bergegas ke Kuala Lumpur petang tadi bagi menghadiri mesyuarat tersebut.

Menurutnya mesyuarat itu akan membuat keputusan berhubung dakwaan kononnya akan berlaku kerjasama PAS dengan Umno.

"Masalah besar iaitu perpecahan dalam PAS sebagaimana sebelum ini akan berlaku akibat kerjasama seperti yang dijalinkan suatu ketika dahulu," ujarnya.

Sedangkan kata beliau tokoh-tokoh Umno Kelantan telah menyertai PAS sebelum pilihan raya umum yang menggambarkan PAS kini semakin mendapat sokongan semua pihak.

Tambah beliau rakyat Kelantan di luar negara juga turut menyatakan sokongan terhadap PAS kerana mereka yakin terhadap perjuangan parti itu.

Bagaimanapun katanya, pertemuan individu di antara pemimpin PAS dan Umno tidak akan dihalang dan ia terbuka bila-bila masa.

"Penyertaan ahli Umno bersama PAS sebenarnya bukan melompat parti sebaliknya kembali pada ajaran Islam sebenar," katanya.

GMI sambut baik pembebasan BSA Tahir tapi kecewa dengan Hamid Albar


GMI menyambut baik pembebasan BSA Tahir dari ISA, pada 6 Jun lalu, bagaimanapun berpandangan perkembangan tersebut sebagai satu lagi episod buruk ISA.

ImageIa berkaitan tiadanya sebarang penjelasan yang terperinci diberikan mengenai sebab penahanan BSA Tahir yang dikatakan menjadi ancaman negara, lebih-lebih lagi berdasarkan kenyataan Menteri Dalam Negeri, Dato' Seri Syed Hamid Albar mengenainya, tegas Pengerusi GMI, Syed Ibrahim Syed Noh.

Beliau berkata, kira-kita dua bulan sebelum dibebaskan, Syed Hamid dilaporkan berkata, BSA Tahir masih menjadi ancaman kepada keselamatan negara dan juga ekonomi negara kerana penyiasatan yang dilakukan terhadapnya mendedahkan hubungannya dengan rangkaian nuklear antarabangsa.

Bagaimanapun, terbaru, Syed Hamid mengeluarkan kenyataan bahawa BSA Tahir bukan lagi merupakan ancaman kepada negara dan pembebasan beliau telah disyorkan, selain penyiasatan yang perlu dilakukan ke atasnya telah pun dilakukan.

"Faktanya, di bawah undang-undang ISA ini, Syed Hamid tidak perlu mendedahkan kepada awam atau mahkamah berkenaan perincian penahanan ataupun pembebasan seseorang tahanan, di mana beliau memiliki kuasa penuh untuk menahan seseorang tanpa bicara, melangkaui proses keadilan sehinggalah melanjutkan penahanan sewenang-wenangnya," tegas beliau.

Malah, keadaan ini katanya, jelas melanggar prinsip undang-undang, yang mana dengan kuasa tersebut akan memudahkan lagi penyalahgunaan kuasa dilakukan oleh pihak yang berkepentingan.

Bagi GMI, dalam kes BSA Tahir ini, Syed Ibrahim berkata pelbagai persoalan ditimbulkan, antaranya mengapa beliau ditahan di bawah ISA dan tidak dibawa ke mahkamah jika penyiasatan telah berjaya dilakukan.

Sehubungan itu katanya, GMI mengulangi penegasannya bahawa ISA bertentangan dengan prinsip hak asasi manusia, khususnya hak tidak dianggap bersalah sehingga dibuktikan bersalah, serta hak mendapatkan perbicaraan terbuka dan adil.

"Atas sebab-sebab pelanggaran hak asasi ini, maka GMI mengulangi pendirian bahawa ISA perlu dimansuhkan serta-merta," tegas Syed Ibrahim.

Protes sahkan tarikh Perhimpunan Sejuta Rakyat, Ahad 6 Julai 2008


Protes hari ini mengesahkan Himpunan Aman Protes Sejuta Rakyat akan diadakan pada Ahad, 6 Julai 2008 bersamaan hari Ahad jam 9.00 Pagi bertempat di Padang Timur, Petaling Jaya, (Berhadapan Amcorp Mall) Selangor.

Sekretariat Protes, Aiman Athirah Al Jundi dalam kenyataannya kepada Harakahdaily menegaskan menegaskan bahawa tarikh tersebut telah diputuskan dan tiada lagi sebarang pindaan tarikh bagi himpunan tersebut.

Jelasnya, setakat ini persiapan ke arah perhimpunan ini sedang giat berjalan lancar dan pihak penganjur telah menyediakan pelbagai pengisian menarik kepada para peserta himpunan.

Katanya, segala bentuk pengisian himpunan itu nanti adalah selari dengan matlamat Protes untuk menyampaikan maklumat kepada rakyat berkaitan harga minyak, pengagihan kekayaan Petronas, salah guna kuasa dan salah tadbir urus kewangan negara.

Di samping itu katanya, pidato penerangan akan disampaikan oleh emimpin-pemimpin kanan Pakatan Rakyat dan juga pemimpin Badan Bukan Kerajaan NGO yang bergabung di dalam Protes.

Katanya, Protes akan berusaha membawa semua Menteri Besar dan Ketua Menteri kerajaan Pakatan Rakyat, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan dan Ahli-Ahli Yang Berhormat Pakatan Rakyat ke acara himpunan tersebut bagi membuktikan kepedulian dan kebersamaan mereka dalam memahami derita dan keperitan rakyat kesan daripada kenaikan harga minyak.

Dalam pada itu, sebagai reaksi terhadap isu semasa berkaitan harga minyak yang dibahaskan di Parlimen baru-baru ini, beliau berpandangan Ahli Parlimen BN jelas mengkhianati mandat dan kepercayaan rakyat bila meluluskan satu usul yang menyokong langkah kerajaan menaikkan harga minyak.

Katanya, tindakan tersebut tidak dapat diterima rakyat dan jelas ia satu taktik murahan untuk memancing perhatian dan pemahaman rakyat.

Beliau berpandangan usul tersebut sengaja dibentangkan dan dibahaskan dalam parlimen semata-mata meredakan kemarahan rakyat atas keputusan unilateral Perdana Menteri.

Sehubungan itu katanya, Protes menggesa seluruh rakyat yang terbeban dengan kenaikan harga minyak ini tanpa mengira ideologi politik masing-masing agar turun pada 6 Julai nanti tanda protes rakyat atas tindakan tidak berperikemanusiaan pihak pemerintah.

Kem Perlindungan Sementara Semenyih perlu perhatian - Suhakam

Susulan dakwaan kekasaran pihak imegresen terhadap beberapa tahanan Kem Perlindungan Sementara di Semenyih, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) melalui Kumpulan Aduan dan Siasatan telah mengadakan lawatan ke kem tersebut pada 24 Jun lalu.

Naib Pengerusi Suhakam, Tan Sri Dato' Seri Panglima Simon Sipaun dalam kenyataannya kepada Harakahdaily berkata pihak Suhakam telah dimaklumkan oleh dua tahanan Myanmar yang didakwa dipukul oleh pegawai tersebut.

Delegasi Suhakam yang diketuai Dato' N. Siva Subramaniam bersama beberapa pegawai bahagian aduan dan siasatan telah melihat keadaan serta mengenal pasti masalah yang berhubung kait dengan kes seumpamama ini yang kerap kali berlaku.

Katanya, lawatan Suhakam ke kem tahanan tersebut selaras dengan peruntukan Akta 597 Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia tahun 1999 di bawah Perkara 4(2)(d), bagi memastikan keadaan tempat tahanan serta keadaan para tahanan adalah memuaskan mengikut peraturan yang ditetapkan dalam rang undang-undang.

Katanya, Suhakam memandang berat perkara tersebut kerana setiap individu tidak boleh dikenakan seksaan, layanan atau hukuman zalim serta tidak berperikemanusiaan serta menghina sebagaimana termaktub dalam Perkara 5, Pengisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat.

Sehubungan itu katanya, melakui kawatan tersebut, Suhakam mendapati perkara tersebut berlaku akibat daripada kem tahanan yang terlalu sesak.

Tambahan pula katanya, keadaan ini bukan sahaja mengakibatkan ketidakselesaan terhadap tahanan malah boleh mendatangkan mudarat terhadap kesihatan mereka.

Katanya, keadaan tersebut diburukkan lagi dengan kekurangan kakitangan Imegresen yang bekerja di kem tersebut yang menyebabkan pengurusan kem kurang berkesan.

Sehubungan itu beliau menggesa agar Kementerian Dalam Negeri dapat memberi perhatian yang serius dan mengambil tindakan sewajarnya agar perkara seumpama itu tidak berlaku.

Berita kerjasama PAS dan Umno satu fitnah - Presiden PAS



Presiden PAS hari ini membidas kenyataan yang dimainkan sesetengah pihak berhubung isu kerjasama PAS dan Umno dengan penegasan bahawa ianya merupakan fitnah semata-mata.

ImageDalam satu sidang media di Dewan Rakyat yang dibacakan oleh timbalannya, Ustaz Nasharudin Mat Isa beliau berkata, akibat tindakan pihak media tersebut menyebabkan timbul kecurigaan dan kebimbangan umum khususnya ahli dan penyokong PAS serta Pakatan Rakyat.

"PAS cukup menyedari usaha ini yang telah mencetuskan kegelisahan di kalangan kepimpinan Pakatan Rakyat serta kemarahan ahli-ahli dan penyokong Pakatan Rakyat, kami amat sedar mengapa Umno-BN menggunakan taktik ini dalam keadaan mereka tersepit dengan pelbagai krisis kepimpinan dalaman serta berdepan dengan pelbagai kemarahan rakyat dengan isu kenaikan harga minyak dan inflasi," ujarnya.

Jelasnya dengan tegas bahawa tiada sebarang rundingan kerjasama dibuat parti itu dengan Umno-BN.

Malah, beliau turut menafikan desas-desus sesetengah pihak yang mendakwa berlaku pertemuan antara pihaknya dengan Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Razak di London baru-baru ini yang kononnya memberi peluang kepada perbincangan mengenai kerjasama kedua-dua parti itu berlaku.

Ia merupakan suatu dakwaan yang tidak bertanggung jawab, tidak beretika dan berunsur fitnah kerana tujuan saya ke sana adalah untuk menghadiri seminar mewakili parlimen Malaysia," katanya tegas.

Menjawab soalan pemberita mengenai kenyataan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz yang enggan mengadakan kerjasama dengan Umno-BN tetapi tidak menolak bertemu dengan mana-mana pemimpin parti itu, Nasharudin turut menyokong pandangan tersebut.

"Ia adalah suatu perkara yang menjadi kebiasaan antara pemimpin-pemimpin parti tanpa suatu agenda tertentu yang membabitkan keputusan dasar parti," jelasnya.

PAS juga ujarnya sedang meneliti sama ada akan mengambil tindakan undang-undang ke atas pihak terbabit yang telah mencetuskan kekecohan serta memfitnah parti tersebut.

"Saya tidak menafikan ia mungkin suatu strategi untuk mewujudkan kontroversi pada Pakatan Rakyat terutamanya di kalangan penyokong bagi mengalih perhatian rakyat dengan kelemahan kerajaan yang sedia ada," katanya lagi.

ImageTambahnya, kemenangan yang diperolehi daripada Pilihan Raya Umum ke-12 adalah merupakan harapan seluruh rakyat untuk PAS bersama dengan Pakatan Rakyat membawa kehidupan rakyat yang sejahtera.

Dalam kenyataan tersebut juga, Ustaz Hadi mengalu-alukan sokongan semua pihak bagi merealisasikan usaha Pakatan Rakyat menyelamatkan negara daripada terus dihimpit oleh kesempitan hidup akibat daripada polisi kepimpinan negara yang tempang dan tidak bertanggung jawab.

Turut hadir dalam sidang media tersebut, Setiausaha Agong PAS, Dato' Kamarudin Jaffar, Bendahari, Dr Hatta Ramli, Ketua Penerangan, Mahfuz Omar, Ketua Pemuda PAS, Salahudin Ayub dan AJK PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad.

Anwar tidak perlu tergesa-gesa, Abdullah yang tertekan sebenarnya

Apabila Dato' Seri Anwar Ibrahim mengumumkan dua bulan lepas, beliau akan menubuhkan kerajaan Pakatan Rakyat di peringkat Persekutuan menjelang 16 September 2008, bermakna beliau mempunyai 'time frame' yang secukupnya.

Sejak perisytiharan SAPP untuk menyokong usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi minggu lepas, media cuba memperlihatkan seolah-olahnya akan berlaku 'havoc' dalam politik negara.

Anwar dan rakan-rakan Pakatan Rakyat, cuba 'dilabel burukkan' media, untuk menumbangkan kerajaan BN secara tidak bermoral dan melanggar prinsip demokrasi.

Hakikatnya, penubuhan sebuah kerajaan di peringkat Pusat adalah sesuatu yang amat serius. Anwar tidak perlu tergesa-gesa, 'no rushing, no hurry.'

Anwar mempunyai 'time frame' yang cukup. Dalam tempoh sekarang hingga 16 September, pelbagai kemungkinan boleh berlaku.

Masa secukupnya diperlukan untuk memantapkan kerjasama PAS-KeADILan-DAP sebelum mengundang lain-lain parti atau individu untuk menyertai Pakatan Rakyat.

Tidak timbul soal beli membeli, tidak berbangkit soal rasuah. Juga tidak timbul soal pelanggaran undang-undang atau prinsip demokrasi.

Lompat parti secara tidak bermoral tidak akan berlaku. Apa yang akan berlaku, ialah 'hijrah'. Penghijrahan akan berlaku dengan kesedaran bahawa Barisan Nasional sudah tidak mampu bertahan dan tidak lagi dipercayai rakyat sebagai sebuah kerajaan. Semuanya, akan berjalan mengikut lunas undang-undang.

Kerangka besar dan agenda penubuhan Kerajaan Pakatan Rakyat sudah tersedia. Cuma penulis belum berhasrat untuk menghuraikannya sekarang. Insya Allah dalam rencana yang akan datang.

Cabaran yang dihadapi Abdullah

Fokus penulis kali ini ialah fenomena berbentuk tekanan berat yang dialami oleh Abdullah, selaku PM, Pengerusi BN dan Presiden Umno.

Sejak malam 8 Mac lepas hingga minggu lepas, Abdullah terus menerima tekanan, dari dalam Umno khususnya, untuk meletakkan jawatan sebagai PM dan Presiden Umno.

Tekanan terbaru ditimpakan oleh perwakilan cawangan-cawangan Umno dengan PM dalam program tertutup anjuran Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Kementerian Penerangan baru-baru ini.

JASA dikatakan berhubung terus dengan cawangan tanpa melalui Umno Bahagian sehingga menimbulkan kemarahan pemimpin di peringkat Bahagian dan Negeri.

Dalam program itu pun, secara terbuka, tanpa segan silu pemimpin Umno peringkat cawangan, tetap mendesak Abdullah meletakkan jawatan, di sebalik pelbagai alasan kononnya peralihan kuasa kepada Timbalannya, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak akan dibuat.

Ada sumber Umno mendakwa, pada malam pengiraan undi Pilihan Raya Umum ke 12, Abdullah yang berada di PWTC ketika itu, sudah hampir mengaku kalah dan bersedia meletakkan jawatan sebagai memikul tanggungjawab terhadap prestasi buruk BN.

Khabarnya ketika itu, sudah ada arahan kepada Tengku Adnan Mansor untuk membuat draf surat perletakan jawatan beliau.

Namun menurut sumber, sebaik ketibaan Kamaludin Abdullah dan Khairy Jamaluddin, keputusan Abdullah sudah berubah.

Daripada draf surat perletakan jawatan, diubah kepada surat sokongan Najib terhadap kepimpinannya.

Jika maklumat ini betul, kemungkinan keputusan Abdullah mengekalkan jawatannya sebagai PM dan Presiden Umno, lebih didorong oleh kepentingan masa depan politik dan perniagaan anak beranak lebih utama daripada kepentingan Umno serta BN keseluruhannya.

Malah Abdullah juga terpaksa berhadapan dengan bantahan, kritikan dan komen-komen negatif terhadap kepimpinannya dari kalangan komponen BN sendiri.

Kemelut dalaman Umno yang tiada kesudahan

Sejak selepas PRU ke 12, seolah-olah ada 'echo' atau nada serentak Umno di seluruh negara, mendesak Abdullah berundur dan digantikan dengan Najib serta Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai orang nombor dua.

Dalam banyak pertemuan yang diadakan, bagi membedah siasat prestasi buruk Umno/BN, seluruh perwakilan Umno menyalahkan kelemahan Abdullah menjadi punca utamanya.

Ada yang meminta beliau segera meletakkan jawatan, ada yang memberi tempoh sehingga Disember ini. Tetapi semuanya ditolak Abdullah. Beliau hanya berkata, bersedia membuat peralihan kuasa, tapi tidak terikat dalam jangka masa yang tertentu.

Kata Abdullah, serahkan proses peralihan kuasa kepada beliau dan Najib menentukannya.

Persoalan sama ada benarkah Najib menjadi pilihan utama sebagai pengganti PM dan Presiden Umno masih diragui ramai orang-orang Umno.

Najib yang seolah-olahnya terikat dengan janji tidak akan menentang Abdullah juga tersepit.

Tersepit kerana, pertama, tiada tarikh khusus peralihan kuasa akan dibuat. Kedua, kerana banyak rumours mengatakan, menjelang pemilihan di peringkat cawangan dan bahagian, sudah dilontarkan kepada akar umbi untuk tidak mencalonkan Najib sebagai calon Timbalan Presiden Umno.

Orang yang disebut-sebut menjadi 'running-mate' Abdullah ialah sama ada Tan Sri Isa Samad dan Dato' Seri Syed Hamid Albar.

Manakala, Muhyiddin yang disebut perwakilan Umno menjadi 'running-mate' Najib, semakin tersisih dari kumpulan Abdullah.

Najib secara peribadi mungkin boleh menerima Muhyiddin, tetapi orang-orang Najib belum tentu sedia menerima beliau.

Suatu ketika, Abdullah lebih menyukai Muhyiddin daripada Najib. Buktinya Abdullah mengambil masa berbulan-bulan untuk melantik TPM. Keputusannya memilih Najib hanya dibuat selepas pelbagai desakan dibuat pihak tertentu.

Masalah Muhyiddin ialah, walaupun selepas PRU ke 12, dilantik ke posisi utama sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, beliau terus menerus membuat kenyataan yang mengkritik Abdullah.

Kritikannya yang ditafsirkan sebagai permintaan supaya Abdullah melepaskan jawatan, tiada salahnya. Ia selaras dengan kehendak ahli-ahli Umno di peringkat akar umbi.

Muhyiddin secara terbuka tidak setuju dengan penerimaan kemasukan Mohamad Ezam Mohd Nor ke dalam Umno sebagaimana kehendak Abdullah.

Muhyiddin juga secara terbuka menggesa sistem kuota yang diamalkan dalam Umno dihapuskan, atas alasan ianya mendorong kepada rasuah.

Sehingga ada sumber mengatakan Abdullah secara terus terang menegur Muhyiddin dan memintanya meletak jawatan sebagai Menteri jika benar-benar hendak melawan beliau.

Menjelang pemilihan Umno Disember depan, sudah wujud banyak 'faction' dan 'grouping'.

'Faction' dan 'group' ini tidak akan berdiam diri, mereka akan terus bertembung, pencalonan yang dibuat untuk jawatan-jawatan utama Umno akan menambahkan perpecahan dalaman mereka.

Anwar menanti waktu yang sesuai

Hakikatnya Umno terus menerus akan dilanda kemelut kepimpinan sejak selepas PRU Mac lepas hingga Disember depan.

Malah dijangka selepas Disember depan, jika Abdullah terus kekal, protes terhadapnya tidak akan berhenti.

Usaha media cuba mengembar gemburkan persoalan Pakatan Rakyat dan cuba menutup kelemahan besar BN akan menemui kegagalan.

Abdullah tertekan untuk mengekalkan jawatan disebalik tekanan meletakkan jawatan dan puak-puaknya mungkin cuba mencari jalan untuk mengetepikan Najib.

Najib tertekan kerana jika tidak naik pangkat sekarang, Anwar akan menubuhkan kerajaan Pakatan Rakyat, peluangnya jadi PM akan terkubur.

Di sebalik janji peralihan kuasa oleh Abdullah, Najib juga khabar terpaksa membuat 'silent instruction' kepada penyokong-penyokongnya di peringkat bahagian untuk mencalonkannya ke jawatan nombor satu.

Sementara Tengku Razaleigh Hamzah juga tertekan. Usahanya untuk mendapatkan pencalonan dari 58 bahagian masih samar-samar.

Bukan sahaja mereka bertiga yang 'eyeing' untuk jawatan PM dan Presiden Umno tertekan, seluruh kepimpinan Umno turut tertekan dengan prestasi buruk parti mereka serta, kemungkinan krisis kepimpinan yang bakal berlaku akibat perebutan jawatan dalam Umno.

Masalah Umno tidak ada kena mengena dengan Anwar. Anwar dan Pakatan Rakyat cuma memerhati dan monitor sahaja apa yang berlaku dalam Umno.

Anwar tidak perlu tergesa-gesa untuk menubuhkan Kerajaan Pakatan Rakyat. Apa sahaja perbalahan yang berlaku dalam Umno bakal memberikan 'advantage' kepada Anwar. Masanya pasti akan tiba.

KENALI TOKOH - TOKOH ISLAM


Hassan al Banna (14 Oktober 1906 - 12 Februari, 1949,




Abu al-‘A’la al-Maududi tahun 1321 H ( 1903 M ) - 1 Zulkaedah 1399 H ( 22 September 1979 M )




Muhammad Yusuf bin Ahmad atau lebih dikenali sebagai Tok Kenali (1868 – 1933)





Sheikh Abdullah Azzam Tahun 1941 - 24 November 1989





Sheikh Ahmad Yassin Jun 1936 - 22 March 2004





Ustaz Fadzil Noor dilahirkan pada 13 Mac 1937 - 3 Jun 2002

Selepas nasi kerabu dan nasi dagang kini Ar Rahn menyerang KL


KUALA LUMPUR, 24 Jun: Selepas nasi dagang, nasi kerabu dan pelbagai jenis kueh mueh dari Kelantan dinikmati dengan baik oleh orang luar negeri itu, sistem pajak gadai pula mula mendapat tempat.

Sistem pajak gadai Islam Ar Rahn yang berasal dari Kelantan kini berkembang ke luar negeri dengan masyarakat ibu kota Kuala Lumpur menjadi pihak yang pertama menikmatinya selepas penduduk Kelantan.

Cawangan pertama Ar Rahn luar Kelantan dibuka dengan rasminya oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abd Aziz Nik Mat di Jalan Raja Laut, (depan Pejabat Agung PAS), Kuala Lumpur semalam.

Ar-Rahn adalah merupakan anak syarikat Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) dan cawangan Jalan Raja Laut adalah cawangan Ar-Rahn yang ke 12.

Ia merupakan sistem gadaian Islam yang telah ditubuhkan sejak tahun 1992 lagi di negeri Kelantan. Kini Ar-Rahn telah mengorak langkah untuk membuka lebih banyak cawangan lagi terutamanya di utara tanah air.

Antara faktor yang menyebabkan pembukaan kepada cawangan baru ini ialah permintaan yang tinggi kepada perniagaan ini selain daripada lokasi yang sesuai.

Ar-Rahn juga adalah merupakan satu unit bisnes Permodalan Kelantan Bhd, sebanyak RM160juta telah direkodkan sebagai urusniaga di Ar-Rahn ini.

Di majlis pembukaan tersebut, Tuan Guru Nik Aziz telah disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif PKINK, Wan Yahya Wan Salleh di majlis yang sederhana yang dihadiri oleh 100 orang hadiri.

Nik Aziz juga telah menyarankan bahawa, sistem gadaian Islam Ar-Rahn ini tidak mengamalkan riba, seperti mana ianya adalah haram dan beliau juga mengatakan bahawa kelebihan Ar-Rahn adalah berasakan syariah Islam yang berteraskan telus dan adil.

Ar Rahn bakal menjadi pusat perkhidmatan kewangan warga kota tambahan lagi dengan ekonomi yang serba mencengkam mereka sekarang ini.

Harakah dibenar terbit 2x seminggu


Kerajaan telah meluluskan permohonan akhbar rasmi PAS, Harakah untuk diterbitkan dua kali seminggu, seperti sebelumnya.

Lembaga pengarah Harakah telah mengemukakan permohonan tersebut sejurus selepas pilihanraya umum 8 Mac lalu.

Ketua pengarangnya Ahmad Lutfi Othman mengesahkan pihaknya telah menerima surat kelulusan tersebut daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) semalam.

harakah and kementerian dalam negeri home affairs ministry permitPada masa ini, Harakah diterbitkan dua kali sebulan, sejak tahun 2000.
Surat kelulusan dari KDN itu juga menyebut antara syaratnya ialah melaporkan aktiviti pertubuhan tersebut (parti PAS).

Mengenai tarikh pertukaran kekerapan penerbitan Harakah, Ahmad Lufti berkata, ia tidak dimaklumkan dalam surat tersebut.

Perkembangan positif

Sebelum pilihanraya umum 8 Mac lalu, jumlah edaran Harakah ialah kira-kira 140,000 nashkah.

"Selepas pilihanraya umum lalu, jumlah edarannya telah meningkatkan kepada 250,000 nashkah," katanya.

Mengenai langkah seterusnya, Ahmad Lutfi berkata, beliau akan merujuk kepada pihak atasan Harakah mengenai soal editorial dan beberapa perkara yang perlu diubahsuai, terutama mengenai kesediaan kilang cetak dan pengedar akhbar.

Menurutnya, jabatan pengarang Harakah juga memang mampu dan bersedia untuk menerbitkan akhbar tersebut sebanyak dua kali seminggu.

Ditanya mengenai keputusan KDN itu, Ahmad Lutfi mengalu-alukannya dan melihatnya sebagai satu perkembangan yang positif.

Beliau berharap, ia menjadi satu permulaan untuk membuka ruang kepada kebebasan media dan demokrasi.

"Harakah tidak semata-mata akhbar parti, tetapi ia juga bertanggungjawab untuk menyuarakan kebenaran," katanya.

Beliau menyifatkan perkara itu sebagai satu perkembangan yang menarik.

Ahmad Lutfi juga menyambutkan keputusan kerajaan meluluskan permohonan Harakah untuk dikeluarkan dua kali seminggu.

Pembangkang: Langkah k'jaan lumpuh media


Ketua Pembangkang, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail menyifatkan tindakan menyekat petugas media membuat liputan di lobi Parlimen - yang pertama dalam sejarah Dewan Rakyat - sebagai tekanan terbaru kerajaan untuk melumpuhkan peranan media dalam melaporkan perbahasan yang berkaitan dengan kepentingan rakyat.

"Parlimen adalah badan perundangan tertinggi negara yang berhubungkait dengan segala aspek hidup rakyat semua lapisan
masyarakat.

"Oleh itu media memainkan peranan penting dalam menyebarkan isu-isu berbangkit yang melibatkan kepentingan umum dalam perbahasan ahli-ahli dewan rakyat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

dr wan azizahWan Azizah berkata, sejak Parlimen mula bersidang selepas pilihanraya mum ke-12, dengan scenario baru di mana Pakatan Rakyat menafikan majoriti dua pertiga Barisan Nasional, kebanyakan media menghantar lebih daripada lima orang wartawan untuk membuat liputan berita yang lebih menyeluruh dan mendalam.

"Media televisyen juga terpaksa membuat rakaman di luar dewan sepanjang hari kerana siaran langsung sidang Parlimen terhad kepada hanya setengah jam pertama bagi sesi soal jawab sahaja," katanya.

Namun, kata Wan Azizah yang juga ahli Parlimen Permatang Pauh, mulai semalam, media telah dihadkan kepada tidak lebih daripada lima orang wakil.

Tidak menghormati media

"Hari ini media dikejutkan lagi dengan sekatan untuk membuat liputan berita di lobi Parlimen, yang sebelum ini merupakan kawasan bagi menteri atau ahli Parlimen mengadakan sidang akhbar.

"Adakah sekatan ini bertujuan melindungi menteri daripada pertanyaan media yang sentiasa menginginkan penjelasan atau penerangan daripada menteri?" soalnya.

Wan Azizah berkata, Freedom House baru-baru ini meletakkan Malaysia di tangga ke-141 daripada 195 negara yang dikaji dalam senarai kedudukan kebebasan akhbar.

"Ini bermakna Malaysia tergolong dalam kategori "negara yang tidak bebas" bersama dengan negara-negara di Benua Afrika seperti Cameroon dan Libya.

"Tindakan ini bukan sahaja tidak menghormati media, malah tidak menghormati rakyat yang ingin melihat perubahan selepas Pilihanraya Umum ke-12.

"Percubaan kerajaan untuk menyekat berita daripada sampai kepada rakyat akan menjejaskan kredibiliti kerajaan yang telahpun merosot," tambahnya.

GMI anjur himpunan bantah ISA di Stadium Malawati


Satu perhimpunan besar-besaran akan dianjurkan GMI bagi membantah akta zalim ISA yang telah sekian lama meragut kebahagiaan banyak pihak.

ImagePerhimpunan tersebut akan diadakan pada Sabtu, 28 Jun ini di Stadium Malawati, Shah Alam, bermula jam 8.30 malam hingga 11.30 malam.

Pada malam tersebut, empat pemimpin Pakatan Rakyat dan dua aktivis dan wakil NGO akan berucap, iaitu Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu; Timbalan Pengerusi DAP, Tan Seng Giaw; Naib Presiden KeADILan, Sivarasa Rasiah; bekas tahanan ISA dan juga Adun Hulu Klang, Saari Sungib; penulis bebas dan juga bekas tahanan ISA, Lee Ban Chen; dan wakil Hindraf, R. Thanenthiran.

Menurut Pengarah Kempen Bebaskan Tahanan Enam Tahun ISA, Norlaila Othman, pada malam tersebut, GMI akan melancarkan baju T merah hitam, promosi buku 'Dunia Tanpa Suami 2', deklamasi puisi, dan persembahan multimedia.

Pada malam itu juga, Norlaila berkata satu pengisytiharaan mengenai 'Hari Merah Hitam' akan dilakukan, di samping pameran yang menceritakan pengalaman para tahanan di Kamunting.

"Jika mahu mendapat gambaran sebenar pengalaman dan kesengsaraan yang dialami para tahanan, datanglah beramai-ramai pada malam itu kerana pameran lukisan (yang dilukis oleh tahanan sendiri) itu tidak dapat dilihat di mana-mana, kecuali pada malam itu," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily.

Beliau juga berkata pada malam tersebut, baju T merah hitam akan dijual Oleh Unit Amal PAS dengan harga RM20, manakala buku 'Dunia Tanpa Suami' dengan harga promosi, RM10.

Dalam pada itu, Norlaila mengalu-alukan kedatangan keluarga tahanan ISA yang masih ditahan agar hadir pada malam tersebut kerana mereka (keluarga tahanan ISA) adalah tetamu kehormat pada malam itu.

Bagaimanapun, katanya bagi keluarga tahanan yang ingin hadir pada malam tersebut, perlu berurusan dengan Norlaila bagi tujuan kemudahan dan sebagainya.

Sementara itu, bagi mereka yang ingin membuka gerai, perlu membuat tempahan di talian 013-6782616 (Encik Haidir).

Presiden PAS cadang gaji minima, elak kebanjiran pekerja asing

Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (PAS Marang) hari ini mencadangkan agar kerajaan menerima cadangan MTUC untuk menetapkan gaji minima bagi mengekang kebanjiran tenagas kerja asing di Malaysia.

Semasa bagun bagi mengemukakan soalan tambahan kepada Menteri Sumber Manusia, Dr S Subramaniam (BN Segamat), Presiden PAS berkata, pelaksanaan gaji minimum boleh menarik minta warga tempatan bekerja di sektor tertentu yang kini didominasi oleh warga asing.

Ujarnya lagi, dengan keadaan kos hidup yang meningkat hari ini berikutan kenaikan harga minyak dan barangan, kerajaan perlu memastikan akta gaji minimum ini dilulus dan dilaksanakan.

Sementara itu menjawab soalan itu, Dr Subramaniam berkata, kerajaan kini sedang mengkaji peruntukan gaji minimum tersebut.

Namun keadaan tertentu di beberapa sektor pekerjaan di negara ini menyebabkan pengambilan pekerja asing tidak boleh dielak.

Namun beliau turut berkata, dalam sektor tertentu tidak dinafikan adanya masalah berhubung gaji yang terlalu rendah yang menyebabkan ia hanya diisi oleh pekerja asing.
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .