Ikuti Blog ini

Protes sahkan tarikh Perhimpunan Sejuta Rakyat, Ahad 6 Julai 2008


Protes hari ini mengesahkan Himpunan Aman Protes Sejuta Rakyat akan diadakan pada Ahad, 6 Julai 2008 bersamaan hari Ahad jam 9.00 Pagi bertempat di Padang Timur, Petaling Jaya, (Berhadapan Amcorp Mall) Selangor.

Sekretariat Protes, Aiman Athirah Al Jundi dalam kenyataannya kepada Harakahdaily menegaskan menegaskan bahawa tarikh tersebut telah diputuskan dan tiada lagi sebarang pindaan tarikh bagi himpunan tersebut.

Jelasnya, setakat ini persiapan ke arah perhimpunan ini sedang giat berjalan lancar dan pihak penganjur telah menyediakan pelbagai pengisian menarik kepada para peserta himpunan.

Katanya, segala bentuk pengisian himpunan itu nanti adalah selari dengan matlamat Protes untuk menyampaikan maklumat kepada rakyat berkaitan harga minyak, pengagihan kekayaan Petronas, salah guna kuasa dan salah tadbir urus kewangan negara.

Di samping itu katanya, pidato penerangan akan disampaikan oleh emimpin-pemimpin kanan Pakatan Rakyat dan juga pemimpin Badan Bukan Kerajaan NGO yang bergabung di dalam Protes.

Katanya, Protes akan berusaha membawa semua Menteri Besar dan Ketua Menteri kerajaan Pakatan Rakyat, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan dan Ahli-Ahli Yang Berhormat Pakatan Rakyat ke acara himpunan tersebut bagi membuktikan kepedulian dan kebersamaan mereka dalam memahami derita dan keperitan rakyat kesan daripada kenaikan harga minyak.

Dalam pada itu, sebagai reaksi terhadap isu semasa berkaitan harga minyak yang dibahaskan di Parlimen baru-baru ini, beliau berpandangan Ahli Parlimen BN jelas mengkhianati mandat dan kepercayaan rakyat bila meluluskan satu usul yang menyokong langkah kerajaan menaikkan harga minyak.

Katanya, tindakan tersebut tidak dapat diterima rakyat dan jelas ia satu taktik murahan untuk memancing perhatian dan pemahaman rakyat.

Beliau berpandangan usul tersebut sengaja dibentangkan dan dibahaskan dalam parlimen semata-mata meredakan kemarahan rakyat atas keputusan unilateral Perdana Menteri.

Sehubungan itu katanya, Protes menggesa seluruh rakyat yang terbeban dengan kenaikan harga minyak ini tanpa mengira ideologi politik masing-masing agar turun pada 6 Julai nanti tanda protes rakyat atas tindakan tidak berperikemanusiaan pihak pemerintah.
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .