Ikuti Blog ini

Tarian terakhir…!




Tsunami politik yang berlaku terus saja melebarkan gelombangnya hingga menggegar tiang kuasa yang semakin mereput.Fenomena penghijrahan besar-besaran MP BN seperti yang diwar-warkan Dato’ Seri Anwar Ibrahim mula menampakkan kebenarannya.Riak politik mula berkocak seperti gunung berapi yang mula memuntahkan laharnya sementelah letusannya akan berlaku bila-bila masa.

Persoalannya sejauh manakah persedian daripada pihak Pakatan Rakyat bagi menari mengikut rentak tari terakhir sang penguasa yang kukuh mempertahankan kuasanya.Proses besar ini adalah satu fenomena baru dalam politik kita.Masing-masing baik BN mahupun Pakatan Rakyat tidak berpengalaman, hanya yang cekap liuk-tarinya lah yang akan dinobatkan sebagai pemenang.Kita berhadapan dengan sepohon pokok yang telah reput tapi masih mempertahankan akar tunjangnya daripada rebah menyungkur bumi.

Keengganan satu pihak menerima realiti dan perubahan yang didesak rakyat bakal menjadikan peralihan ini sesuatu yang agak sukar.Sudah menjadi resmi pihak yang tamakkan kuasa akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mengaburi mata rakyat semata-mata untuk mempertahankan kuasa dan kedudukan.Di Zimbabwe Presidennya Robert Mugabe dapat mempertahankan kediktatorannya berasaskan cara yang sebegini.Suasana takut dikalangan rakyat diujudkan bersama-sama provokasi jahat bagi menggambarkan bahawa hanya beliau yang layak memerintah negaranya.

Kita di Malaysia ini tidak mahu negara menjadi seperti itu.Rakyat majoritinya sudah semakin bijak menilai dan berpolitik tidak akan mengizinkan keamanan dan keharmonian dicemari oleh provokasi pihak-pihak yang tertentu.`Keganasan’ sama ada di pihak kerajaan mahupun pembangkang tidak boleh dijadikan agenda perubahan.Tidak ada sebab mengapa perubahan yang bakal berlaku tidak boleh dilakukan secara aman demi kepentingan rakyat.Pihak berkuasa pula perlulah bijak memainkan peranan dan tidak terpengaruh kepada agenda mana-mana pihak.Suara rakyat mestilah didengar dan dihalusi agar tidak ada mana-mana pihak yang teraniaya.

Kita amat berharap agar tsunami politik ini berjaya membentuk sebuah kerajaan baru yang lebih telus dan adil terhadap rakyat.Hak yang telah lama dinafikan hendaklah dikembalikan kepada rakyat agar semua pihak merasa kebaikan daripadanya.

Dakwaan liwat: Anwar rujuk Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan



PETALING JAYA: Kes fitnah dakwaan liwat ke atas Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dirujuk ke Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan pagi ini.

Menurut satu sumber dari parti tersebut, kes dakwaan liwat terbaru terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim itu akan dirujuk kepada Mahkamah Syariah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan.

"Sekiranya ada enakmen yang boleh membicarakan kes yang sedemikian di Mahkamah Syariah, seharusnya kes itu di adili secara hukum Islam dan kita alu-alukan," kata sumber itu lagi.

"Apapun kita perlu mengkaji dulu samada Mahkamah Syariah kita ada peruntukan sedemikian untuk membiacra kes liwat. Kalau betul ikut prosedur, dipersilakan kemukakan empat orang saksi yang adil oleh pihak penuduh. Kalau tidak kes berkenaan itu besar kemungkinan akan ditarik balik dan dibuang," jelas sumber itu.

Sebelum ini, seorang ulama dari dunia Islam telah menasihatkan bahawa kes Anwar itu memerlukan pihak menuduh untuk membawa empat orang saksi yang telus dan adil bagi membuktikan tuduhan.

Kata sumber itu lagi, "Kesediaan Anwar ingin merujuk kes ini kepada Mahkamah Syariah mengikut hukum syarak untuk membuktikan bahawa beliau tidak bersalah."

Difahamkan KeADILan mengambil tindakan sedemikian setelah dinasihati ulama luar negara dan Mufti Perak, Datuk Seri Haji Harussaini Zakaria supaya jangan dilakukan bermubahalah (sumpah laknat) bersabit dengan kes tuduhan dan fitnah liwat sebaliknya harus dibicarakan di Mahkamah Syariah.

Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Nik Abdul Aziz pula berpendapat, isu liwat yang cuba dibabitkan terhadap Anwar sewajarnya diselesaikan mengikut perundangan tanpa membabitkan mana-mana individu sebagai orang tengah.

"Anwar seharusnya diadili di mahkamah secara telus sebelum diminta bersumpah untuk membuktikan dirinya bersih serta tidak melakukan perkara liwat," katanya semalam.

Sebelum ini Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin mencadangkan Mursyidul Am PAS menjadi orang tengah yang akan membawa Anwar dan Mohd Saiful untuk bermubahalah sebagai jalan penyelesaian isu liwat.

Munurut Dr Asri, Tuan Guru Nik Abdul Aziz mempunyai pengaruh besar dalam masyarakat terutamanya di kalangan para penyokong PAS dan layak menjadi orang tengah untuk menyelesaikan isu tersebut.

"Nak jadi orang tengah tu tak boleh tapi sekadar beri pendapat tu boleh. Bersumpah (bermubahalah) ni tindakan terakhir. Sebelum bersumpah tu orang mahkamah tahulah macamana cara nak buat," ujar Nik Aziz.

Landskap Putrajaya : RM1.5 juta sebulan




Laporan Parlimen: Penyelenggaraan bulanan landskap di Putrajaya menelan belanja RM1.5juta atau RM18 juta setahun, persidangan Dewan Rakyat diberitahu.

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Zulhasnan Rafique berkata sejumlah 29 kontraktor landskap yang berdaftar dengan Pusat Khidmat Kontraktor (PKK) bagi Projek Seni Taman telah dilantik bagi menjalankan penyelenggaraan landskap mengikut pembahagian zon penyelenggaraan.

Zon penyelenggaraan lanskap di Putrajaya dibahagikan kepada taman-taman, Jalan-jalan Protokol, Persiaran Perdana, Sisiran Putrajaya dan Presint-presint Kejiranan, katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Liew Chin Tong (DAP-Bukit Bendera) di sini, hari ini.
Beginilah wang rakyat dihabiskan setiap tahun…..hancur Umno-BN

Road Show Anwar Ibrahim


* 10 Julai Seremban
* 11 Julai 2008 (Jumaat) 9.00 malam Di PUTIK, Pengkalan Chepa, Kelantan
Penceramah : YAB Tuan Guru Nik Abdul Aziz * Dato' Seri Anwar ibrahim * YB Dato' Hj Husam Musa * YB Saifuddin nasution Ismail
* 12 Julai Alor Setar Kedah
* 18 Julai Melaka
* 19 Julai Pahang

Dituduh Buat Rusuhan Di Rusila - Enam Mengaku Tidak Bersalah



Kuala Terengganu – Enam orang yang dituduh oleh kerajaan melakukan rusuhan serta merosakkan harta awam dibenarkan ikat jamin sebanyak RM1000 setiap seorang dengan seorang penjamin bagi setiap seorang oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini.
Kesemua tertuduh mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan selepas tuduhan dibacakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Othman Abdullah di hadapan Hakim Mohammad Khalid Abd. Karim.
Enam yang dituduh, Ibrahim Ali, 44, Ahmad Saharmi Mohd Nor, 30, Muhammad Sobri Mustafa, 22, Ismail Mohamad, 60, Faizul Azrin Che Mohamad, 29, dan Mohd Hinudin Din, 30, hadir kemahkamah.
Manakala, tiga lagi tertuduh Annuar Mustakim Abdul Malik, 22, Luqman Abd. Rahman, 23, dan Muhammad Imaluddin Alis, 22, tidak dapat hadir akibat sikap tidak profesional pihak pendakwa raya yang hanya mengemukakan notis lewat petang kelmarin, kurang dari 24 jam.
Pertuduhan pertama keatas mereka adalah mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan, menghalang laluan bas bernombor BJU 2555 serta ‘melakukan rusuhan’ di persimpangan Jalan Taman Medan Jaya, Rusila, Marang kira-kira jam 10.30 pagi pada 8 Mac 2008 lalu.
Pertuduhan kedua adalah keatas Ibrahim Ali, Faizul Azrin dan Mohd Hinudin yang didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Akta kerana kesalahan mengugut penumpang bas berkenaan.
Ibrahim Ali, Ahmad Saharmi dan Muhammad Sobri juga didakwa di bawah dua pertuduhan mengikut Seksyen 440 Kanun Keseksaan yang dibacakan bersama Seksyen 34 Akta yang sama kerana melakukan perbuatan khianat kepada para penumpang dua buah bas bernombor WDW 7094 dan BJU 2555 di tempat yang sama, kira-kira jam 9.30 dan 10.30 pagi tersebut.
Dalam perbicaraan hari ini, Timbalan Pendakwa Raya, Othman Abdullah memohon mahkamah agar tidak membenarkan semua tertuduh diikat jamin sementara menunggu tarikh perbicaraan kerana menurut katanya ia merupakan kesalahan yang berat.
Beliau juga turut meminta mahkamah menolak hujah rayuan pihak pembelaan untuk menyatakan (recognise) kes berkenaan mempunyai faktor politik.
“Ini bukan peringkat untuk pihak pembela meminta mahkamah berbuat demikian kerana peringkat ini adalah permohonan rayuan ikat jamin,” katanya kepada mahkamah.
Walau bagaimanapun peguam bela, Mazlan Mohd Zain dalam hujah rayuannya berkata keenam-enam anak guamnya telah memberi kerjasama penuh kepada pihak polis termasuk apabila diminta menghadiri perbicaraan tersebut dengan kadar segera.
Namun begitu, tanpa menimbangkan notis singkat pihak pendakwa, mahkamah telah mengeluarkan waran tangkap ke atas tiga tertuduh yang tidak hadir Annuar Mustakim, Luqman dan Muhammad Imaluddin bagi memastikan mereka menghadiri sebutan semula kes berkenaan pada 22 Julai 2008 ini.
Difahamkan Luqman sedang dirawat di wad hospital Tengku Ampuan Rahimah kerana disyakki mengidap demam Denggi, manakala Anuar Mustakim dan Muhammad Imaluddin bekerja di negeri Johor.
Mahkamah yang sepatutnya bersidang sebelah pagi telah ditunda sehingga kepada jam 3.00 petang.
Kelewatan tersebut menyebabkan dua dari enam orang tertuduh tidak sempat membayar ikat jamin akibat kesuntukan masa dan mereka kini bermalam di lokap Balai Polis Bukit Payung.
Peguambela yang mewakili tertuduh terbabit adalah terdiri dari Encik Mazlan Mohd Zain, Kamaruzaman Wahab dan Faris Irwan Mustafa.

Bersama Kepimpinan Ulamak




Benar sangatlah pepatah Melayu, kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Susu yang putih bersih dan berkhasiat jika diminum itu bukan lagi susu bila dititskan nila ke atasnya.
Sudah jauh kita menyongsong perjuangan ini, kerana mahu mendaulatkan Islam, kita melalui pelbagai cabaran dan pancaroba. Keperitan, duri dan airmata kita lalui dan tempuh kerana yakin akan janji-janji Allah dan Rasul Nya saw. Kita pernah menang pernah kalah, pernah dipuji dan pernah dihina, berpatah sayap bertongkat paruh, namun perjuangan suci ini kita daki dan daki jua.

Kekalahan terus membakar azam kita, kemenangan tidak pernah mengelabui mata kita.

Sesungguhnya insiden 6 Julai lalu biarlah menjadi pengajaran dan iktibar kepada kita. Saya memuji ketegasan Dewan Pemuda PAS Pusat dalam hal ini, kronologi sikap dan pendirian Pemuda diterangnkan dengan jelas oleh Setiausahanya Sdr Ahmad Sabki:
Saya boleh faham kedudukan mereka, di satu pihak Pemuda Selangor bangkit protes kerana konsert Ella dan Mas Idayu di Stadium Shah Alam, sedang di Stadium Kelana Jaya pada waktu dan ketika yang sama mereka (Pemuda) yang bertanggungjawab mengawal dan menyelia konsert “gila” yang tidak pernah mereka redha dan relakan.

Mempertahankan prinsip dalam suasana sedemikian memanglah suatu cabaran, Alhamdulillah Pemuda PAS dalam hal ini jelas dan tegas pendirian mereka. Biarlah kita mahu dicap apa sekalipun, “little Taliban” atau “fanatik, ekstrimis” asal kita tidak bersekongkol dengan perkara maksiat yang mengundang murka Allah swt itu.

Kerana itu saya sangat bersetuju dengan saranan Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS, adinda Ustaz Nasrudin Hassan at Tantawi, dalam suasana penuh mehnah dan mencabar kemurnian perjuangan kita ini agar kita menjayakan Ijtima’ Ruhiyyah bagi menembalikan kita ke landasan sebenar perjuangan suci ini. Beliau menulis dalam blognya:

Fokus ceramah bukan kepada isu dan politik semasa sahaja , tetapi lebih menekankan soal aqidah perjuangan , jihad dan pengorbanan yang saya kira menjadi topik yang semakin pudar akhir - akhir ini .

Pemuda , ayuh kita hidupkan kembali nilai perjuangan berasaskan kekuatan spiritual atau kerohanian yang tinggi tanpa kita bersikap prejudis terhadap kupasan atau bicara isu dan politik semasa . Kembalikan zaman kegemilangan Doa Rabitah dan Wirid al Mathurat .

Pada tahun 1983, Mukatamar Dewan Pemuda PAS lah yang telah mencetuskan gagasan Kepimpinan Ulamak dalam parti, semoga Pemuda hari ini akans memiliki roh 1983 itu, dan mengembalikan peranan ulamak kembali ke tempat asalnya dalam parti, insyallah.

Wadah protes wajar di jalan raya - Presiden PAS


Protes atau bantahan terhadap sesuatu isu mesti dilakukan dengan kaedah yang betul demi menyampaikan mesej jelas kepada kerajaan.

Presiden PAS Dato' Seri Guru Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata pendekatan menggunakan stadium bagi melahirkan protes itu tidak memberi kesan yang sepatutnya dan tidak sampai mesej.

Malah protes yang dibuat seperti 'karnival' dan mengadakan hiburan sampai ke pagi tidak mencapai matlamat yang jelas kepada rakyat dan tidak sewajarnya dibuat.

"Perlu ke pada jalan raya dan perlu menyampaikan nota bantahan kepada pemimpin, itu yang sepatutnya," katanya.

Beliau berkata demikian semasa mengulas 'Himpunan Protes Sejuta Rakyat' yang diadakan di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ) di Kelana Jaya Ahad lalu yang mendapat kritikan pelbagai pihak.

"Walaupun lima minit atau 10 minit, kalau protes dilakukan lima minit pun berkesan, apa yang penting ialah kita dapat menyamapaikan mesej itu kepada kerajaan dan rakyat

"Kalau suara hanya tertutup dalam stadium , hanya itu sajalah.....sekadar melepaskan geram bukan dari erti kata yang sebenar," katanya ketika ditemui Harakah dalam temubual eksklusif berkaitan isu-siu semasa di pejabat pembangkang di Parlimen pagi tadi.

"Kita perlu menghantar wakil bertemu....bukanlah tak boleh....bertemu menteri yang bertanggungjawab itu protes yang betul...kerajaan mesti terbuka dalam masalah ini," katanya.

Beliau turut merujuk kepada situasi yang berlaku di London semasa lawatannya ke negara itu baru-baru ini di mana kerajaan tersebut membenarkan demonstrasi.

Polis pula mengawal daripada berlaku apa-apa yang tidak diingini, ujar Presiden PAS.

"Di Amerika, begitu juga, polis tidak melakukan sebarang provokasi, polis membiarkan peserta demonstrasi menyampaikan apa yang mahu dinyatakan dan kerajaan mereka mendengar," tegasnya lagi.

Beliau turut memberikan pandangan berhubung isu-isu terkini membabitkan Pakatan Rakyat, kes Liwat Dato' Seri Anwar Ibrahim dan kemelut politik semasa.

Pelajar Tadika Khatam Al-Quran di Terengganu!! Terbongkar




"Ini satu khabar yang diterima melalui email dari Putrajaya. Baru-baru Kementerian pelajaran menerima lapuran dari semua negeri berhubung dengan sistem pendidikan J-Qaf. Semua negeri diminta menghantar lapuran status pelajar tahun satu. Antara lapuran yang dikemukakan ialah bilangan pelajar tahun satu telah khatam Al-Quraan.Semua negeri dikehendaki menghantar jumlah pelajar tahun satu yang telah khatam Al-Quraan.

Difahamkan lapuran pelajar tahun satu yang telah khatam Al-Quraan oleh Terengganu tidak sampaipun 50 orang.Ketika sessi pembentangan, timbalan menteri Pelajaran terperasan dengan jumlah itu.Beliau lalu mempertikaikan angka tersebut, kerana sebelum (tahun lepas) ini kerajaan Terengganu mendakwa lebih 900 pelajar tadika telah khatam Al-Quraan, bukan itu saja malah beratus-ratus papantanda memamparkan dakwaan tersebut."Kemanakah perginya pelajar Tadika yang berumur 6 tahun yang khatam Quraan melalui Tadika Yayasan Islam tahun lepas?"soal timbalan Menteri itu.

Dimaklumkan tiada sebarang jawapan kepada soalan timbalan Menteri itu.Semua yang hadir dalam majlis itu juga terpinga-pinga.

Persoalannya sekarang, ya kemana pelajar-pelajar tersebut menyambung pelajaran mereka di tahun satu, apakah pelajar Tadika Yayasan Islam yang seramai 700 telah khatam Al-Quraan itu tidak menyambung di sekolah Kebangsaan di Terengganu atau mereka ini meneruskan pelajaran tahun satu mereka di sekolah swasta yang tidak didaftar melalui Jabatan Pendidikan Terengganu?

Secara pribadinya, bagi saya dengan terdedahnya perkara ini, menjelaskan dan membongkarkan lagi pembohongan yang dilakukan oleh Kerajaan Terengganu melalui Yayasan Islam.

Projek ini adalah idea bekas MB Idris Jusoh bersama bekas Exco Islam Hadhari.
Namum begitu pembohongan dan penipuan ini nampak semacam hendak diteruskan juga oleh MB Baru ini, kerana sekarang ini dinaikan pula papantanda yang menyatakan lebih 3000 pula pelajar Tadika yayasan Islam yang khatam Quraan.

Kita semua maklum semenjak MB baru Dato' Ahmad Said menduduki kerusi tingkat 16 Wisma Darul Iman, tiada perkara baru yang dibuat walaupun telah melepasi edah 100 hari memegang jawatan tersebut.Tidak boleh tidak mungkin itulah sebabnya beliau terpaksa meneruskan ideal tersebut walaupun terpaksa menghadapi situasi yang tidak benar itu.

Pemuda PAS hantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong





Ekoran surat akuan bersumpah YM Raja Petra Raja Kamarudin yang melibatkan Datin Seri Rosmah Mansor isteri YAB. Dato' Seri Mohd Najib Tun Abd Razak, Timbalan Perdana Menteri dalam kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu; laporan polis terhadap Dato’ Seri Anwar Ibrahim oleh Mohd Saiful Bukhari Azlan melibatkan tuduhan liwat; laporan polis Dato’ Seri Anwar terhadap Tan Sri Musa Hassan, Ketua Polis Negara dan Tan Sri Abdul Ghani Patail Peguam Negara memberi keterangan palsu berhubung beliau dipukul oleh bekas Ketua Polis Negara, Abdul Rahim Noor; surat akuan bersumpah P. Balasubramaniam bertarikh 1 Julai 2008 berkenaan tuduhan terhadap YAB. Dato' Seri Mohd Najib Tun Abd Razak dan surat akuan bersumpah keduanya yang menarik balik tuduhannya

Dewan Pemuda PAS hari ini menghantar memorandum kepada Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, meminta supaya satu Suruhanjaya Siasatan Diraja dapat dibentuk untuk membuat penyiasatan berkaitan perkara berkenaan. Serahan memorandum pada hari ini kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang diketuai oleh YB. Salahuddin Ayub, Ketua Pemuda PAS. Disertai rombongan adalah Ahmad Sabki Yusuf, Setiausaha, YB. Ustaz Mohd Firdaus Jaafar, Exco, YB. Ustaz Nasir Zakaria, Ahli Parlimen Padang Terap dan Kamarulzaman Mohamed, Exco Encik Sofuan Ibrahim, Pegawai Pentadbir Istana Negara telah menerima memorandum tersebut. Pemuda PAS juga telah menghantar surat memohon perkenan untuk mengadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bagi memperjelaskan isu ini.

YB. Salahuddin Ayub yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian telah menghantar usul tergempar berkaitan isu ini.

Berikut adalah salinan Memorandum berkaitan:

Mengadap

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah, D.K.M., D.K.T., D.K.R., D.M.N., S.U.M.Z., S.S.M.T., S.P.M.T., D.K.(Perlis), D.K. (Johor), D.K.M.B. (Brunei), D.K. (Perak), D.K. (Negeri Sembilan), D.K. (Kedah), D.K. (Kelantan), D.K. (Selangor), S.P.M.J., Commandeur de la Legion d’Honneur (France), yang bersemayam di atas takhta kerajaan Malaysia dengan beberapa amat kebesaran dan kemuliaannya.

Seri Paduka Baginda Tuanku,

Dengan hormat dan takzimnya patik merafakkan sembah dan berdoa kehadrat Allah Subhanahu Wataala, mudah-mudahan Seri Paduka Baginda Tuanku dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong sentiasa berada dalam selamat dan kesejahteraannya.

Adalah dengan ini patik Salahuddin bin Ayub, selaku Ketua, Dewan Pemuda Parti Islam Se Malaysia (PAS) yang mewakili seluruh saf pimpinan dan ahli-ahli parti serta rakyat Malaysia yang menyokong dan bersimpati dengan kami, dengan ini mengangkat sembah mengadu dan membawa ke perhatian Seri Paduka Baginda Tuanku mengenai kemelut politik negara yang semakin tenat dan perlu kepada tindakan segera.

Patik percaya sekalian rakyat amat bimbang dan gusar terhadap suasana perebutan kuasa serta lontaran fitnah dan tuduhan yang melibatkan kredibiliti pihak-pihak paling tertinggi dalam negara.

Patik merujuk kepada pertuduhan-pertuduhan berikut:-

1. surat akuan bersumpah YM Raja Petra Raja Kamarudin bertarikh 18 Jun 2008 melibatkan Datin Seri Rosmah Mansor isteri YAB. Dato' Seri Mohd Najib Tun Abd Razak, Timbalan Perdana Menteri dalam kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu.

2. laporan polis terhadap Dato’ Seri Anwar Ibrahim bertarikh 28 Jun 2008 oleh Mohd Saiful Bukhari Azlan melibatkan tuduhan liwat;

3. laporan polis Dato’ Seri Anwar bertarikh 1 Julai 2008 terhadap Tan Sri Musa Hassan, Ketua Polis Negara dan Tan Sri Abdul Ghani Patail Peguam Negara memberi keterangan palsu berhubung beliau dipukul oleh bekas Ketua Polis Negara, Abdul Rahim Noor pada 20 September 1998;

4. surat akuan bersumpah P. Balasubramaniam bertarikh 1 Julai 2008 berkenaan tuduhan terhadap YAB. Dato' Seri Mohd Najib Tun Abd Razak dan surat akuan bersumpah keduanya bertarikh 4 Julai 2008 yang menarik balik tuduhannya.

Patik berpandangan pada masa ini, oleh kerana terdapat tuduhan langsung terhadap YAB. Dato' Seri Mohd Najib Tun Abd Razak dan isterinya, serta tuduhan terhadap Tan Sri Musa Hassan, Ketua Polis Negara dan Tan Sri Abdul Ghani Patail Peguam Negara maka badan eksekutif negara sudah hilang kelayakan untuk menangani penyiasatan dan pendakwaan dalam kesemua tuduhan dan laporan di atas yang amat berkaitan antara satu sama lain.

Ampun Tuanku beribu-ribu ampun.

Oleh yang demikian, patik merasa terpanggil untuk meminta supaya satu Suruhanjaya Siasatan Diraja dapat dibentuk untuk membuat penyiasatan terhadap YAB. Dato' Seri Mohd Najib Tun Abd Razak dan isterinya, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Tan Sri Musa Hassan dan Tan Sri Abdul Ghani Patail dalam aduan-aduan tersebut.

Patik sekalian juga memohon agar Seri Paduka Baginda Tuanku menitahkan YAB. Dato' Seri Mohd Najib Tun Abd Razak, Tan Sri Musa Hassan dan Tan Sri Abdul Ghani Patail untuk bercuti dari jawatan mereka sehingga selesai penyiasatan oleh Suruhanjaya Siasatan DiRaja.

Ampun Tuanku,

Patik akhiri warkah yang tidak sepertinya ini dengan doa kehadrat Allah Subhanahu Wataala mudah-mudahan Seri Paduka Baginda Tuanku dan Seri Paduka Raja Permaisuri Agong dan seluruh kerabat Tuanku sekalian dilanjutkan usia dan berada di dalam kesejahteraan dan kebahagiaan selama-lamanya.

Amin Ya-Rabbal-Alamin.

Ampun Tuanku.

Patik dengan segala hormat takzimnya,
SALAHUDDIN BIN AYUB
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat
4 Rejab 1429 / 7 Julai 2008

Sidang DUN Kelantan : 5 ADUN Pembangkang bertindak keluar dewan



KOTA BHARU, 7 July :- Setelah sidang DUN bermula pada jam 9.00 pagi, Wakil Kok Lanas yang juga Ketua Pembangkang bertindak keluar dewan setelah tidak puas hati dengan alasan bahawa soalan yang dikemukakan ada yang ditolak oleh Speaker Dewan.

Pada masa itu hanya 5 orang ADUN Pembangkang dari 6 orang bertindak keluar dewan. Wakil Pengkalan Kubur, YB. Datok Hj. Noor Zahidi b. Hj. Omar tidak hadir persidangan.

Walaupun Speaker Dewan, YB. Hj. Nasaruddin Daud berulangkali menjelaskan sebab penolakan soalan tersebut antaranya soalan yang dikemukan sudah ditanya pada sidang yang lepas, namun Ketua pembangkang baru itu tidak berpuas hati dan bertindak keluar dewan bersama ahli pembangkang lain.

Mengulas tindakan itu menurut Speaker memperlihatkan tindakan kurang matang pembangkang sedangkan ADUN Kerajaan juga ditolak soalannya namun tidak bertindak keluar dewan.

Ahli Majlis mesyuarat Kerajaan, YB. Nik Amar mengatakan tindakan itu adalah gimik politik sahaja.

Selain itu ADUN-ADUN Kerajaan yang bangun untuk bertanya soalan lisan, mengesahkan terdapat 2 hingga 3 soalan mereka yang ditolak tetapi mereka tidak keluar dewan.

Semasa sesi rehat pada sebelah pagi, Speaker dewan semasa diminta pengesah mengatakan bahawa inilah kali pertama seingatnya ADUN Pembangkang bertindak keluar dewan disebabkan alasan ada soalan yang ditolak.

Selepas sesi rehat pagi, semua ADUN pembangkang tidak masuk ke dewan, dan begitu juga disebelah petang sidang bermula pada jam 2.30 petang semuanya tidak masuk ke dewan.

Perak beri air percuma, ganjaran ke IPTA


Kerajaan Negeri Perak akan membekalkan 20 meter padu air percuma kepada penduduk miskin yang berpendapatan kurang daripada RM750 sebulan bermula Ogos ini, kata Menteri Besar Perak Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Bernama melaporkan bahawa, kerajaan negeri telah mengenal pasti seramai 15,000 penduduk miskin di negeri ini untuk menerima kemudahan itu dengan anggaran kos perbelanjaan yang ditanggung Lembaga Air Perak (LAP) sebanyak RM2 juta sebulan.

"Pemberian air percuma itu adalah sebahagian daripada sumbangan kerajaan negeri kepada penduduk miskin di Perak bagi meringankan beban mereka berikutan harga barang yang semakin meningkat," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohammad Nizar yang juga pengerusi LAP berkata, bekalan air percuma itu akan diberikan kepada mereka yang mempunyai meter individu di kediaman masing-masing.

Perak kini merupakan negeri kedua selepas Selangor yang membekalkan 20 meter padu air percuma mulai 1 Jun lepas sebagai memenuhi janji dalam manifesto pilihan raya umum Mac lepas.

Dalam perkembangan lain, Menteri Besar berkata kerajaan negeri juga memberi ganjaran RM1,000 seorang kepada anak negeri ini yang berjaya melanjutkan pelajaran ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Katanya bagi menuntut wang ganjaran itu, pelajar perlu datang sendiri berjumpa dengan Exco pendidikan, Nga Kor Ming dan perlu membawa dokumen pengenalan diri dan surat tawaran ke IPTA.

"Hanya segelintir sahaja pelajar yang datang ke pejabat ini untuk meminta bantuan melanjutkan pelajaran ke IPTA setakat ini atau mungkin mereka tidak mengetahui adanya sumbangan seperti itu," katanya.

Beliau turut memaklumkan permohonan Biasiswa Kerajaan Negeri Perak untuk mereka yang melanjutkan pengajian ke IPTA telah ditutup pada 30 Jun lepas.

Ahli PAS kecewa dengan himpunan PROTES


Suasana awal perhimpunan PROTES hari ini tidak seperti yang dijangkakan.Ramai ahli PAS terutamanya Pemuda datang dengan semangat berkobar-kobar untuk membantah kenaikan harga minyak . Mereka sanggup bermalam di Masjid dan Stadium untuk menyertai himpunan membantah kenaikan harga minyak pada hari ini. Walaubagaimanapun ramai yang balik awal kerana mungkin tidak merasa selesa dengan program yang sedemikian rupa. Selepas tengahari padang mula kosong dan tempat duduk penonton pun semakin jarang.Bila aku melihat ramai ahli-ahli PAS yang balik awal, menunjukkan mereka nyata kecewa dengan program ini. Nyata semangat jihad untuk memperjuangkan hak rakyat telah luntur. Mereka merasa sia-sia datang ke program itu.Perlu diingat, dalam apa jua program termasuk himpunan bersih sebelum-sebelum ini ahli-ahli PAS akan meramaikan himpunan tersebut. Mereka sanggup mengambil cuti kerja dan datang ke Kuala Lumpur untuk berdemonstrasi bersama-sama. Kehendak dan semangat mereka mesti di ambil kira oleh penganjur.
Maka dengan itu anak2ku PROTES kat umah je..

PROTES



PROTES... Siri ucapan pembangkang mengkritik kerajaan menaikkan harga minyak, berkuat kuasa awal bulan lalu, mewarnai perhimpunan Protes Sejuta Rakyat anjuran Gabungan Memprotes Kenaikan Harga Minyak (Protes) bermula pukul 10 pagi tadi. Perhimpunan akan berlarutan sehingga 12 tengah malam ini.Anwar dijangka berucap pada perhimpunan itu pada pukul 9 malam ini, sekali gus memulakan kempen jelajah seluruh negara bagi menjelaskan isu dakwaan meliwat terbaru dihadapi beliau. Sejak pagi tadi, pemimpin peringkat pertengahan Pakatan Rakyat menyampaikan ucapan mereka di samping persembahaan pentas.

Pemimpin-pemimpin kanan Parti Keadilan Rakyat, DAP dan PAS termasuk Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dijadual berucap selepas pukul 5 petang.

Peserta tidak puas hati bantahan dibuat di stadium



Para peserta Perhimpunan Protes Turun di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MPPJ), Kelana Jaya hari ini melahirkan kekesalan atas tindakan pihak berkuasa yang meminta pihak penganjur perhimpunan mengadakannya di dalam stadium secara tertutup.

Seorang peserta yang datang daripada negeri Pantai Timur yang enggan dikenali berkata, tindakan polis dan kerajaan yang memaksa jawatankuasa penganjur mengadakan perhimpunan di dalam stadium bertujuan mahu menutup gambaran sebenar 'amarah' rakyat terhadap kerajaan.

Katanya, jika demonstrasi itu dibuat secara terbuka, atau di jalan raya, rakyat akan dapat melihat dengan jelas 'kemarahan' yang ditunjukkan terhadap kerajaan atas sikap sembrono itu.

"Siapa yang akan dapat tengok betapa tidak puas hatinya kami sebagai rakyat yang kian teraniaya dengan kezaliman kerajaan.

"Tujuan demonstrasi jalanan adalah untuk membuka mata rakyat di luar sana bahawa mereka perlu melakukan sesuatu yang akan merubah nasib dan masa depan negara ini," katanya.

Pada masa sama, dalam satu ucapan ringkas kepada para peserta perhimpunan di stadium, jurucakap Suaram. Kohila Yanesegaran berkata ini merupakan kali pertama dan terakhir perhimpunan seumpama itu diadakan.

KEMBALI KEPADA ISLAM YANG SEBENAR - DATO' SERI TUAN GURU PRESIDEN PAS


Berhubung dengan pelbagai fitnah yang tersebar dengan meluas dalam negara kita kebelakangan ini, bagi pihak PAS saya suka menyeru agar semua kita kembali berpaut kepada ajaran Islam yang sebenar. Kita menegaskan bahawa fitnah adalah lebih merbahaya dari membunuh oleh kerana itu kita tidak boleh menyibarkan sebarang fitnah sewenang-wenangnya.

Sesungguhnya Islam meletakkan garispanduan dalam semua perkara tapi malangnya kita sendiri memilih untuk menjauhkan diri daripada ajaran Islam.

Islam dengan jelas mengajar dan menetapkan hukuman yang berkait dengan memfitnah termasuk fitnah zina dan liwat. Seseorang tidak boleh menuduh seseorang yang lain dengan dosa itu melainkan mengemukakan empat orang saksi. Sekiranya tidak ada empat orang saksi maka orang yang menuduh hendaklah dijatuhkan hukuman hudud dan menjadi fasik, dan beliau tidak boleh menjadi saksi lagi.

Di dalam Islam seorang yang dituduh tidak boleh dianggap bersalah sehingga dibuktikan kesalahnnya ataupun orang itu mengaku sendiri dengan rela diri tanpa paksaan yang ia telah melakukan kesalahan tersebut.

Kita mengharapkan masyarakat Islam supaya memelihara akhlak yang diajar oleh Islam ini dan menunjukkan contoh yang terbaik kepada semua pihak. Apa yang mendukacitakan gejala ini berlaku dikalangan pemimpin-pemimpin Melayu yang mengaku beragama Islam. Oleh itu saya menyeru supaya sesiapa sahaja yang melakukan kesalahan sedemikian rupa hendaklah bertaubat kepada Allah swtr kerana dosa itu termasuk di dalam kategori dosa besar yang diberi amaran keras oleh Allah swt di dalam al Quran dan oleh Nabi kita Muhammad saw dan diperingatkan oleh para ulamak disepanjang zaman.

Saya menyeru ahli-ahli PAS supaya kembali kepada pegangan kita yang termaktub di dalam Perlembagaan PAS dan menunjukkan contoh yang terbaik kepada semua pihak disaat yang serba mencabar dan meruncing ini.

DATO' SERI TUAN GURU HJ ABD. HADI AWANG
Presiden
Parti Islam Se Malaysia (PAS)
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .