Ikuti Blog ini

Harakah dua kali seminggu dilancarkan penuh simbolik



IPOH, 15 Ogos - Dalam usaha meningkatkan penyebaran maklumat kepada ahli dan orang awam mengenai PAS dan isu semasa, akhbar rasmi parti, Harakah dilancarkan secara rasminya, di Muktamar PAS Pusat, pagi ini.

Pelancaran Harakah sempena keluaran sulung bagi dua kali seminggu ini dilancarkan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dengan penuh simbolik.

Para hadirin kelihatan agak teruja dan bangun dari tempat duduk masing-masing apabila mendengar bunyi enjin motosikal memasuki dewan yang menempatkan kira-kira 5,000 perwakilan dan pemerhati.

Penunggang motosikal tersebut, Abdul Manaf Dahalan, yang juga merupakan pengedar Harakah paling lama di Perak, diiringi petugas Unit Amal kemudiannya terus menuju ke pentas utama.

Ketika itu, laungan takbir dan tepukan mengiringi motosikal yang terus menuju ke pentas utama. Para jurugambar dari pelbagai agensi sibuk merakamkan detik-detik pelancaran akhbar rasmi parti itu.

Sejurus watikah rasmi dibacakan Pengerusi Harakah, Dato' Mustafa Ali, Harakah keluaran 15 Ogos diserahkan kepada semua Pesuruhjaya PAS Negeri, bermula dari Kelantan yang diwakili Dato' Takiyudin Hassan dan diakhiri oleh Pesuruhjaya Sabah, Mohamad Abdullah.

Sementara itu, Mustafa menyerahkan cenderahati kepada Ustaz Abdul Hadi.
Sejurus selepas pelancaran tersebut, satu tayangan multimedia khas berkenaan Harakah ditayangkan kepada para hadirin.

Anwar hargai komitmen PAS perkukuh Pakatan Rakyat



IPOH, 15 Ogos - Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau amat menghargai komitmen PAS untuk terus bersama dan memperkukuhkan Pakatan Rakyat sebagaimana yang dinyatakan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam ucapan dasarnya sebentar tadi.

Ucapan Dasar Presiden PAS bertajuk 'PAS Untuk Semua' disampaikan beliau bersempena Muktamar Tahunan PAS kali ke 54 di Stadium Indera Mulia, dekat sini.

"Ustaz Hadi menyampaikan ucapan yang bernas," kata Anwar yang pertama kali hadir ke Muktamar PAS, dalam respons eksklusifnya kepada Harakahdaily sejurus selepas Muktamar ditangguhkan tengahari tadi.

Anwar bersama isterinya, Dato' Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga Presiden KeADILan, mengucapkan terima kasih kepada seluruh kepimpinan PAS yang mengundang beliau untuk hadir ke Muktamar PAS.

Menurut beliau, segala teguran dan pandangan perwakilan PAS semalam, beserta dengan ucapan Dasar Presiden PAS sebenarnya membuka ruang yang lebih kepada banyak perbincangan untuk memperkukuhkan Pakatan Rakyat.

"Saya menyanjung tinggi komitmen yang diberikan Ustaz Hadi bahawa PAS akan terus kekal dalam Pakatan Rakyat.

"Saya juga berterima kasih dan menghargai sokongan PAS, khususnya Tuan Guru Nik Aziz, untuk membantu saya di Permatang Pauh, kerjasama ini amat saya alu-alukan," katanya.

Tegas Anwar, beliau akan memastikan kerjasama di kalangan parti dalam Pakatan Rakyat akan terus diperkukuhkan walaupun terdapat beberapa teguran daripada beberapa pihak.

"Apa yang penting kita, pemimpin dan ahli Pakatan Rakyat, mesti mengelakkan dan mengetepikan manipulasi media yang senantiasa mahu memecahkanbelahkan perpaduan kita," ujarnya.

SELAMAT BERMUKTAMAR

Muktamar PAS kali ke-54 bermula penuh ceria



IPOH, 15 Ogos - Muktamar PAS kali ke-54 membuka tirainya dengan kehadiran perwakilan dan pemerhati sejak awal pagi lagi. Kawasan sekitar Stadium Indera Mulia mulai sesak sejak jam 7 pagi.

Tidak kurang juga pemerhati yang bermalam di tempat parking dan dalam kenderaan di perkarangan stadium.
Kedai-kedai yang terdapat di sekitar stadium memulakan perniagaan mereka sejak awal pagi lagi. Malah, orang ramai sudah berbaris untuk mengisi alas perut sebelum menghadiri perasmian muktamar.

Tetamu asing dari kedutaan juga tiba awal sejak jam 8 pagi. Kemeriahan mulai terasa apabila perwakilan dan pemerhati mulai tiba dan berbodong-bodong memasuki pintu sebelah kiri stadium.

Unit Amal pula membuat persiapan perbarisan sebelum ketibaan Presiden, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Timbalan Presiden, Ustaz Nasharuddin Mat Isa dan Menteri Besar Perak, Dato' Seri Ir Mohamad Nizar Jamaluddin mulai tiba jam 8.15 pagi. Manakala Presiden, Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang tiba jam 8.30 pagi.

Muktamar ini juga disiarkan secara langsung melalui laman web pastv.com dan beberapa lagi laman-laman web lain.

Stadium Indera Mulia yang mana sebelum ini hanya meriah dengan acara sukan kali ini dipenuhi perwakilan PAS bagi membahas agenda perjuangan gerakan Islam di negara ini.

Muktamar PAS realisasi prinsip politik Islam - Nik Aziz



IPOH, 15 Ogos - Lagu PAS buat pertama kali dalam sejarah bergema di Stadium Indera Mulia,Ipoh yang mana sebelum ini hanya riuh rendah dengan acara sukan.

Sejak malam semalam stadium tersebut sudah bertukar fungsi buat seketika, bagi memberi ruang kepada perwakilan memikirkan jalan terbaik bagi memartabatkan gerakan Islam di negara ini.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, PAS bermuktamar untuk merealisasikan satu prinsip politik Islam yang penting iaitu syura.

Katanya, prinsip syura menyedarkan kita kepada hakikat bahawa seluruh perjalanan makhluk ciptaan Allah adalah tertakluk kepada peraturan yang ditetap-Nya.

"Sekiranya peraturan ini diikuti dengan baik dan penuh rela hati maka kehidupan manusia akan menjadi aman dan sejahtera.

"Keyakinan kepada prinsip asas ini menyebabkan PAS memasuki gelanggang pilihan raya dengan penuh ketertiban, kesabaran, keyakinan dan pergantungan kepada Allah.

"Pengalaman Kelantan mengendalikan pilihan raya dan pentadbiran negeri membenarkan hakikat ini," katanya pada buku acara muktamar.

Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang pula berkata, muktamar PAS kali ke-54 sangat penting dan bermakna ketika saat PAS berada di tahap kekuatan yang paling tinggi dalam sejarahnya.

Katanya pada pilihan raya baru-baru ini, hasil iltizam dan kerja kuat kita, Allah Taala telah mengizinkan kemenangan besar.

Menurutnya, kemenangan besar itu merupakan satu amanah dan tanggungjawab yang perlu dipikul dan dilaksanakan dengan penuh cermat atas nama Islam.

"Akidah merupakan asas utama perjuangan kita dan yakinlah ia merupakan satu rahsia kekuatan Islam sepanjang zaman," katanya pada kata-kata aluan pada buku Muktamar PAS kali ke-54 di sini, hari.

Perarakan masuk ke dalam dewan muktamar dimulakan Timbalan Mursyidul Am, Dato' Dr Haron Din kira-kira jam 8.55 pagi kemudian diikuti Ahli jawatankuasa PAS Pusat lain.

Tetamu kehormatan yang kelihatan Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim; Presiden KeADILan, Dato' Seri Dr Seri Wan Azizah Wan Ismail; Pengerusi DAP Perak, Dato' Khor dan tokoh gerakan Islam luar negara termasuk dari Jordan, Dr Hamman Said dan Amir Hussien (Pakistan).

Demonstrasi pelajar UiTM agenda tersembunyi Umno � Pemuda PAS Selangor


SHAH ALAM, 14 Ogos - Kenyataan Naib Canselor UiTM, Dato' Seri Profesor Dr Ibrahim Abu Shah berhubung cadangan pembukaan 10 peratus kuota kepada pelajar bukan Melayu tidak menggambarkan seorang tokoh akademik sebaliknya lebih memenuhi tuntutan pihak tertentu yang mempunyai agenda tersembunyi.

Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor, Ustaz Sallehen Mokyi berkata, kenyataan Dr Ibrahim itu menggambarkan seolah-olah beliau tidak mempunyai harga diri dan maruah sebagai seorang Naib Canselor.

Sepatutnya dalam masalah tersebut beliau mengemukakan hakikat bahawa UiTM mempunyai pelajar asing dengan jumlah bukan sedikit, katanya.

"Beliau sewajarnya berikan fakta yang jelas dan mengemukakan kelemahan UiTM selama ini," tegasnya.

Menurut beliau masalah UiTM bukan kerana soal persaingan menyebabkan kualiti pada tahap yang rendah tetapi pemikiran ahli akademik yang terlalu menurut kemahuan pihak politik tertentu.

Katanya, universiti perlu bebas daripada kongkongan pihak politik bagi membolehkan mahasiswa membina kualiti sendiri.

Berhubung 5,000 pelajar yang menyertai demonstrasi itu beliau yakin pihak UiTM memberi kebenaran kepada pelajarnya walaupun dinafikan oleh Dr Ibrahim.

"Saya setuju jika pelajar ini diberikan kebebasan untuk menentukan pemikiran mereka dan meluahkan perasaan. Ini satu amalan yang sihat, malangnya selama ini mereka tidak boleh berbuat begitu kerana dikongkong oleh parti pemerintah," tegasnya.

Dalam pada itu, Pemuda PAS Selangor tetap tidak bersetuju jika UiTM dibuka 10 peratus kepada pelajar bukan Melayu dan bumiputera.

Beliau mencadangkan kerajaan negeri berusaha untuk mengambil hati orang Melayu atau memperkukuhkan kedudukan bangsa Melayu bukan memberi cadangan yang boleh mencetuskan isu perkauman.

Bagi Pemuda PAS membuka ruang kepada pelajar bukan Melayu untuk memberi persaingan sihat kepada pelajar Melayu UiTM tidak wajar kerana sebenarnya banyak lagi universiti yang boleh membangunkan kesedaran dan meningkatkan kualiti, tegasnya.

Bagaimanapun, Dewan Pemuda PAS Selangor mengucapkan syabas kepada kerajaan negeri di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat kerana bersifat proaktif membuka pintu dan menerima bantahan daripada pelajar-pelajar UiTM, katanya.

Hampir 700 hadirin Muktamar Dewan Muslimat di Hillcity


IPOH, 14 Ogos - Persidangan Dewan Muslimat PAS ke-48 yang bertemakan 'Mengisi Kemenangan, Melestari Kebajikan' dimulakan dengan upacara perbarisan kehormat oleh Unit Amal Malaysia seramai 24 orang kira-kira jam 8 pagi tadi.

Upacara tersebut diadakan di hadapan pekarangan Hotel Hillcity, Jalan Gopeng dekat sini yang menjadi tempat berlangsungnya muktamar Dewan Muslimat hari ini.

Ketua Dewan Muslimat, Ustazah Nuridah Salleh bersama timbalannya merangkap penyelaras muktamar kali ini, Wan Hasrina Wan Hassan menyambut kehadiran para tetamu khususnya tetamu-tetamu khas termasuklah isteri Menteri Besar Perak, Puan Seri Fatimah Taat, Ketua Wanita Parti KeADILan Rakyat, Zuraidah Kamaruddin dan wakil DAP, Lim Pek Ha serta veteran PAS, Subky Latif.

Persidangan ini diperhatikan oleh tiga wakil dari Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man, Amiruddin Hamzah dan Mazlan Aliman.

Kelihatan juga kehadiran Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu bersama isterinya, Normah Alwi berbaju warna 'terqois' sedondon.

Muktamar yang dirasmikan oleh Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku dan lagu rasmi PAS.

Seterusnya, disusuli dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran oleh Johan Tilawah al-Quran peringkat kebangsaan kategori qariah, Sharifah Khasif Fadilah Syed Mohd Badiuzzaman.

Muktamar kali ini menyaksikan seramai kira-kira 700 hadirin termasuk 250 perwakilan yang datang dari seluruh negara.

Para hadirin turut dihidangkan dengan persembahan montaj Dewan Muslimat PAS, persembahan multimedia khas dan pelancaran Majalah Muslimah.

Sebelum itu, Ustazah Nuridah menyampaikan ucaptama sejurus ucapan aluan daripada penyelaras muktamar, Wan Hasrina dan ucapan daripada Setiausaha Dewan Muslimat PAS Pusat, Aiman Athirah Al-Jundi.

PAS perlu jadi pemain utama


IPOH: PAS telah melalui satu era perjalanan dan pengalaman politik yang cukup panjang di mana kewujudannya seangkatan dengan Umno.

Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayub berkata, berbekalkan khazanah pengalaman dan menekuni liku sejarah sudah sampai masanya pimpinan PAS mengambil peranan memimpin dan bukan lagi sebagai pemain di pinggiran dalam percaturan politik tanah air.

“PAS yang didukungi lebih sejuta ahli dewasa ini, berbekalkan dengan sifat ketakwaan yang menjadi teras kekuatan perjuangan.

“Kepintaran pimpinan PAS biarlah berbisa, sentuhan politiknya mestilah mengakar ke bumi dan menggapai ke langit.

“Dari lipatan sejarah kita pelajari politik adalah seni yang serba mungkin, kita pelajari keindahan dan kepincangannya,” kata beliau pada ucapan dasar sempena perasmian Muktamar Dewan Pemuda PAS kali ke-49 di Stadium Indera Mulia malam ini.

Beliau berkata, ramai tokoh-tokoh dunia yang rebah dan bangun di atas persada politik kerana permainan dan percaturan politik.

“Ambillah iktibar di antara kewarakan Abu Musa al-Asyaari dengan kelincikan ‘Amru bin Al-’AS,” ujarnya.

Beliau juga berkata, kita mesti mula belajar berfikir tentang rakyat seluruhnya termasuk juga kebajikan bangsa bukan Melayu.

Katanya, kita hendaklah memberati kepentingan orang bukan Islam dengan menjuarai isu-isu bukan agama dan prihatin terhadap mereka.

Selain itu beliau berkata, PAS perlu meninjau sama persoalan-persoalan yang lebih besar mengenai pentadbiran negara, pengurusan ekonomi dan perancangan dasar-dasar awam.

Oleh itu katanya, ahli-ahli pemuda mesti sentiasa memperdalami ilmu dalam pelbagai bidang dan tidak terhenti dengan kemahiran agama yang menjadi fardhu ain sahaja.

Sebaliknya mereka juga perlu mempunyai kemahiran keduniaan yang menjadi fardhu kifayah.

Beliau juga berkata, Dewan Pemuda PAS sudah menubuhkan Pusat Latihan Akademi Kepimpinan Pemuda (AKP) iaitu berpusat di Kelantan.

Kata beliau, mulai bulan hadapan, latihan-latihan intensif akan dilaksanakan kepada kepimpinan pemuda peringkat negeri dan kawasan bagi mengikuti kursus jangka pendek.

Umno bersandiwara dalam isu Muzakarah - Muslimat PAS


IPOH, 14 Ogos: Muslimat PAS menyifatkan para pemimpin Umno bersandiwara sahaja dalam usaha mereka untuk bermuzakarah dengan PAS.
Sebab itulah, selepas gagal meyakinkan PAS dengan janji-janji mereka, Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri bertindak mendedahkan pertemuan ini kepada umum.

Demikian kata Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Ustazah Nuridah Salleh ketika memberikan Ucapan Tema Muktamar Dewan Muslimat PAS ke 48 di dewan hotel Hillcity, Jalan Gopeng Khamis lepas.

Lebih 150 para perwakilan Muslimat PAS dari seluruh negara menyertai muktamar itu di samping beratus-ratus lagi pemerhati yang memenuhi Dewan Muskamar itu.

Muslimat PAS bermuktamar kali ini dengan tiga dari empat Adun mereka adalah Exco kerajaan negeri iaitu Wan Ubaidah Omar (Kelantan), Dr Halimah Ali (Selangor) dan Siti Ashah Ghazali (Kedah).

Mereka juga kini mempunyai tiga anggota Parlimen iaitu Dr Lo' Lo' Mohd Ghazali (Titiwangsa), Dr Siti Mariah Mahmud (Kota Raja) dan Siti Zailah Yusof (Rantau Panjang). Menurut Nuridah, selepas saja PRU12 selesai, sandiwara pemimpin UMNO semakin ketara.

Pelbagai tawaran, katanya, diajukan kepada PAS umpamanya untuk bergabung, berkongsi kuasa dan mengadakan muzakarah di atas nama perjuangan agama dan bangsa Melayu.

"UMNO beriya-iya menjemput pimpinan tertinggi PAS untuk mengadakan pertemuan. PAS menyambut baik undangan pertemuan atau muqabalah ini dan bersedia mendengar apa-apa yang dihajati UMNO," beritahu beliau kepada peserta muktamar.

Seiring dengan pendedahan Abdullah, kata Nuridah, media arus perdana milik mereka riuh-rendah menjaja isu ini bagi menanam bibit keraguan dalam usaha memecah-belah gabungan Pakatan Rakyat.
Namun PAS telah lama belajar tentang sepak terajang politik mereka khususnya pengalaman pahit bersama Barisan Nasional pada awal 70an dulu, katanya.
Sebenarnya, tambah Nuridah lagi, kedudukan PAS adalah sangat jelas dalam isu ini.

"Kita konsisten sejak dulu lagi bersedia bermuqabalah atau bermuzakarah dengan mana-mana pihak bagi menyelesaikan permasalahan umat Islam dan masyarakat majmuk di Malaysia," kartanya.

Politik muzakarah

Bagi beliau, politik muzakarah ini sudah menjadi pendekatan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sejak dahulu lagi.
Malah, katanya, ia selari dengan pandangan NGO-NGO Islam di satu perhimpunan di Johor Bahru selepas PRU12 yang lalu.

"Siapa yang menganjurkannya tidak penting. Tetapi resolusinya menyeru parti-parti orang Islam di negara ini bersatu atas dasar kepentingan Islam dan bangsa Melayu," katanya.

Namun begitu, kata Nuridah, sejak dua dekad berlalu UMNO tidak menunjukkan reaksinya dan tetap membisu dalam isu muzakarah ini.
Senario ini menampakkan saingan sengit antara UMNO dan PAS, katanya.
Bagi beliau, rakyat jelas dapat melihat sikap terbuka PAS dan pandangan kehadapan, berbanding dengan UMNO.

"Namun kini dalam suasana UMNO tersepit, tiba-tiba Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengajak PAS bersatu di atas kepentingan Islam dan bangsa Melayu.

"PAS di bawah kepimpinan ulama telah mengambil langkah berhati-hati dalam menangani isu ini dan dalam masa yang sama mengambil peluang menyampaikan dakwah dan nasihat kepada semua termasuk pemimpin-pemimpin Barisan Nasional," tambah beliau lagi.

UiTM : baru cadangan sudah berdemo?


Ada permintaan agar kes demo pelajar UiTM tidak dipanjangkan kerana kesnya sudah ditutup. Tetapi masih ada sudut perlu diperkatakan kerana kes ini melibatkan maruah bangsa melayu dan umat Islam di negara kita.Demo ini juga menampakkan kebodohan anak anak bangsa kita yang bergelar mahasiswa dan granduan serta cerdik pandai melayu. Inikah cerdik pandai melayu yang hendak dilahirkan di salah sebuah IPT negara? Alangkah rendahnya kualiti pendidikan dan pemikiran melayu dan perkara ini sungguh memalukan.

Ketika DSAI mengetuai demo pada tahun 1974 dulu fokusnya ialah kebuluran dan kemiskinan melayu Baling tetapi pelajar UiTM yang baru dipertontonkan kepada kita hanyalah kerana cadangan MB selangor agar UiTM membuka pintu kepada bukan melayu.Sungguh memeranjatkan respon para perlajar dan pejuangan ketuanan melayu.Kenapa harus berdemo?sedangkan ianya hanya cadangan yang sepatutnya diperhalusi dan dikaji serta diperdebatkan di kalangan cerdik pandai termasuk mahasiswa yang turun berdemo tempoh hari.

Apakah justifikasi kepada demo tersebut? dan apa untungnya berdemo?kalau demo di pejabat majlis peguam berhasil menghentikan forum masuk Islam,apakah untung budak budak yang diharapakan akan meneraju negara satu hari nanti berdemo?Cuba kita tanya mereka yang terlibat dengan demo di mana untungnya berdemo semata mata kerana cadangan MB Selangor ini?

Kalau dikatakan sebagai mempertahankan hak melayu,kenapa tidak berdemo pasal pinjaman PTPN yang membebankan pelajar atau kenapa tidak dianjurkan demo untuk membantah kehilangan hak orang melayu di WPI atau kes kg Berembang dan Rimba Raya.Banyak isu yang boleh dibawa berdemo tetapi kenapa pelajar melayu memilih cadangan MB Selangor sebagai isu untuk berdemo?

Alangkah ruginya bangsa melayu kalau tradisi berdemo ini tidak diuruskan dengan betul.Kalau demo pasal kehilangan hak di WPI atau Kg Berembang atau Rimba Raya mungkin dikatakan bukan budaya kita ,tetapi berdemo kerana cadangan MB Selangor adalah budaya kita.Lebih malang kalau ianya dijadikan budaya pelajar melayu kita.

Inilah gambaran kualiti yang bakal dimiliki negara di masa depan.Bagaimana boleh kita harapkan mereka untuk menjadi peneraju bangsa?hari ini berbagai ketakutan kehilangan hak dan kuasa kedengaran di sana sini tetapi dengan kualiti pelajar yang bakal bergelar cerdik pandai melayu ini,mungkin satu hari melayu benar benar kehilangan hak dan kuasa di tanah air sendiri.

Cerdik pandai Melayu begini enggan menerima cabaran,masih leka dengan kesenangan dan mempunyai daya pemikiran yang lemah.Cerdik pandai melayu berkualiti begini hanya pandai mengadu domba,mencipta fitnah dan suka menyalahkan orang lain,cerdik pandai begini tidak global dan duduk di bawah tempurung.Persoalannya apakah dengan menaik taraf ITM kepada UiTM,kita hanya mahu melahirkan generasi cerdik pandai yang bertaraf rendah begini?

Dewan Ulama PAS: Hadi layak jadi PM




IPOH: Dewan Ulama PAS Pusat berpendirian Presiden PAS, Datuk Seri Abdul HAdi Awang merupakan pemimpin yang layak untuk menerajui kerajaan baru jika Pakatan Rakyat berjaya membentuk kerajaan pada 16 September.

Ketuanya, Datuk Mohamed Daud Iraqi berkata Dewan Ulama sentiasa menyambut baik sesiapa sahaja yang ingin menjadi Perdana Menteri yang baru jika pemimpin yang dipilih itu menjadikan Islam sebagai asas pentadbirannya.

“Jika anda tanya kami (PAS), maka sudah pasti kami katakan Datuk Seri Abdul Hadi adalah orang paling layak untuk memikul tanggungjawab itu,” katanya dalam sidang media selepas majlis perasmian Dewan Ulama PAS Pusat di Dewan Perbandaran di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta megulas mengenai pendapat peribadi Timbalan Pesuruhjaya III Pas Kelantan, Mohd. Amar Nik Abdullah yang lebih suka mengutamakan Presiden Pas itu menjadi Perdana Menteri berbanding pemimpin dari parti lain.

Mohamed Daud berkata pendirian itu adalah sesuatu yang normal kerana sudah pasti penyokong PAS mahukan pemimpin mereka yang menjadi pemimpin nombor satu negara.

“Namun kita dalam Pakatan Rakyat akan berbincang mengenai siapa yang akan dilantik menjadi Perdana Menteri.

“Soal berebut jawatan itu tidak timbul kerana sudah pasti semua komponen Pakatan Rakyat akan memutuskan individu yang layak menerajui pimpinan negara,” katanya.

Tegas beliau, jawatan dan pangkat bukan sasaran utama untuk mengambil alih kerajaan sebaliknya tanggungjawab menguruskan kerajaan dengan sempurna mengikut landasan Islam itu yang lebih penting.

Kelantan buktikan ulama mampu mentadbir



IPOH, 14 Ogos - Tanggapan sesetengah pihak yang mengatakan bahawa golongan ulama tidak mampu mentadbir negara dan hanya layak berperanan di surau-surau ternyata tidak benar.

Tanggapan tersebut dengan sendirinya terhakis apabila dalam pilihan raya umum ke-12, 8 Mac lalu, Kelantan sekali lagi diberi kepercayaan rakyat berbilang kaum di negeri itu untuk memerintah.

Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Dato' Ustaz Haji Muhammad Daud Iraqi, berkata kemenangan di Kelantan sejak 18 tahun lalu membuktikan bahawa golongan ulama ataupun yang disebut 'pak lebai' mempunyai keupayaan setanding dengan orang lain.

"Kejayaan Kelantan di bawah kepimpinan ulama, iaitu Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat telah berjaya menghapuskan satu ajaran salah yang dianuti rakyat Malaysia dan seluruh dunia bahawa ulama tidak layak mentadbir negara," kata beliau ketika menyampaikan ucaptama Muktamar Dewan Ulama PAS Pusat ke-47, di Dewan Bandaran Ipoh, pagi ini.

Beliau berkata lebih dari itu, kepimpinan Ustaz Nik Abdul Aziz di Kelantan berjaya membuktikan rakyat bertambah selesa, walaupun negeri diselubungi pelbagai tohmahan dan kezaliman dari kerajaan pusat.

Sehubungan itu, Ustaz Daud menyeru Dewan Ulama di negeri-negeri lain segera mengkaji kemenangan PAS di Kelantan agar dapat dimanfaatkan di negeri-negeri lain, di seluruh negara.

Dalam pada itu, beliau turut menimbulkan persoalan berkenaan Lajnah Ulama Pelapis dalam usaha meneruskan sumbangan dan pejuangan kepada PAS.

"Saya mencadangkan agar pihak lajnah menyediakan kertas lengkap tentang perkara ini, beberapa perkara utama perlu diambil perhatian, antaranya koordinasi yang lebih baik dengan Dewan Pemuda PAS.

Kita tidak mahu mereka yang melepasi umur 40 tahun atau 58 tahun (selepas pencen) sahaja yang menyertai Dewan Ulama PAS," tegas beliau di hadapan kira-kira 500 perwakilan dan pemerhati.

Sementara itu, muktamar ulama bermula jam 9 pagi dengan bacaan ayat suci al- Quran oleh Ustaz Muhammad Radzi Qamarul Hailan, juara qari Tilawah al-Quran peringkat kebangsaan dan juri bahagian taranum, Akademi al-Quran, TV9.

Bertenang dalam menghadapi isu muzakarah - Ust. Nasaruddin


IPOH, 14 Ogos: Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa meminta ahli dan para penyokong PAS agar bertenang menghadapi isu muzakarah PAS dan Umno yang ada sekarang.

"Sebenarnya, di saat ini kita mesti bertenang dan follow perkembangan dari semua sudut very very closely. Jangan dikalutkan suasana," kata beliau ketika merasmikan Muktamar Dewan Pemuda PAS yang ke 49 di Stadium Indra Mulia malam tadi.

Menurutnya, apa yang dibuat oleh pemimpin PAS adalah atas keputusan Majlis Syura Ulama pada 23 April dan bukan untuk berunding kerusi.

"Yang paling penting, pimpinan kita bertemu pimpinan UMNO dengan mandat dan keputusan
Syura. Mereka pergi bukan untuk berunding kerusi jawatan menteri tetapi untuk beritahu pimpinan UMNO supaya terima Islam sebagai penyelesaian masalah ummat Malaysia. Benar, UMNO sedang lemah dan mereka mengajak kita dalam keadaan mereka lemah. Jika mereka kuat, mereka tidak mengajak kita," katanya di muktamar itu.

Bagi beliau, ruang dan medan dakwah terbentang luas dan PAS berdakwah dengan mengambil pentas politik berasaskan amalan prinsip demokrasi moden.

Majlis Syura Ulamak yang telah bersidang pada 23 April 2008 telah memutuskan untuk membenarkan beberapa pimpinan PAS bertemu dan berbincang dengan pimpinan UMNO mengenai permasalahan Islam dan orang Melayu akibat pasca PRU 12.

"Kita berpegang pada konsep tahalluf as-siyasi dan di atas konsep inilah kita berkerjasama dengan PKR dan DAP.

"Siapakah mad’u kita yang paling hampir dengan kita kalau bukan ahli PKR, DAP malah UMNO sekalipun? Benarkah ahli PKR dan DAP bukan mad’u yang perlu kita dakwahkan lagi kerana mereka sudah menjadi rakan sekutu kita?

"Barangkali sekutu politik ya, tapi bukan benar-benar memahami kita. Bukan sekutu yang memahami Islam sefaham kita. Bukankah DAP terang-terang menentang hasrat PAS untuk melaksanakan Islam dari dulu sampai sekarang, tak padam-padam. Tapi DAP masih sekutu politik PAS!

"Nisbahnya, jika sedemikian maka bermuzakarah dengan siapa sahaja perlu dilihat dalam rangka dakwah yang lebih luas," kata Nasharudin dalam ucapannya.

Pemuda PAS gempur BN demi Anwar



Ketua Pemuda PAS mengarahkan anggota-anggota dewan itu "menggempur" BN bagi memastikan kemenangan tokoh utama PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pilihanraya kecil Permatang Pauh.

Membentangkan ucapan utamanya di perasminan muktamar Dewan Pemuda PAS malam tadi, Salahuddin Ayub berkata pembabitan serius parti itu dalam pilihanraya ini sangat penting untuk membuktikan ia masih setia bersama Pakatan Rakyat.

Penglibatan itu penting, tambahnya, setelah PAS diberikan imej ingin bekerjasama dengan Umno dan BN dalam isu rundingan tertutup dengan presidennya Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi baru-baru ini.

"Pilihanraya ini amat penting bagi kita setelah minda rakyat terperangkap dalam permainan kotor BN dalam isu muzakarah baru-baru ini.

"Setelah PAS membuat keputusan tegas untuk menolak sebarang bentuk kerjasama politik dengan BN, inilah peluang terbaik untuk PAS membuktikan bahawa kita masih setia dengan Pakatan Rakyat," kata Salahuddin di penghujung ucapannya di majlis itu yang diadakan di stadium tertutup Indera Mulia, Ipoh.

"Saya dengan ini mengarahkan seluruh jentera Pemuda PAS di semua peringkat supaya turun menggempur Permatang Pauh bagi melenyapkan keangkuhan BN."

Tambahnya, Pemuda PAS akan membuka markas besar untuk menggerakkan jentera pilihanrayanya dan menggesa pergerakan itu "bekerja sepenuh hati untuk memastikan Anwar mencatatkan kemenangan besar" dan sekali gus merapatkan semula jentera Pakatan dalam menghadapi BN.

Bukti !!!! Betapa Ezam Ditolak UMNO


Pengumuman yang dibuat oleh TPM , iaitu calon BN bagi pilihnaraya kecil P-44 Permatang Pauh , ialah Dato Arif Shah Omar Shah , iaitu ADUN Seberang Jaya.
Ezam , dimana kau ?
Dimana kau ezam sekarang ?
Sekarang , sudah tahu dimana kedudukan kau dalam UMNO, tidak lebih hanya lah sebagai alat , bagi menyambung hayat UMNO yang sudah tinggal nyawa2 ikan saja lagi

Jadi , yang bising selama ini , hanya lah tong kosong saja , sia – sia saja kau memalu dan memukul tong , penat dan lelah saja , tapi isi dalam nya tak ada , kosong !!!!!!!!!

Ezam , kau dah ditolak oleh UMNO !!!!

Insaf lah Sdr ezam ,
sebenarnya kau tidak diperlukan dalam UMNO
Tidak ada tempat untuk orang seperti kau dalam UMNO , hanya lah sebagai penglipur lara saja , menghiburkan pemimpin – pemimpin yang sedang parah berduka lara kini.
Adanya sdr dalam UMNO , bukannya memberikan manfaat , malah membawa kerosakan saja.
Tiadanya sdr dalamnya ,mungkin membawa sedikit kebaikan untuk UMNO.

Ezam , kau seorang penakut !!!!
Adakah kau seorang penakut ?
Benar , sdr adalah seorang yang penakut dan pengecut Kenapa sdr bersembunyi dalam UMNO , bagi mencari keadilan dan kebenaran ?
Tak ada di dalamnya , tak usah cari lah !!!!!!!

Ezam , ada harga ke kau untuk UMNO ?
Sekiranya , ada nilai dan harga bagi diri sdr untuk UMNO , dengan berada di dalamnya , apa maknanya sekiranya hasrat untuk menentang DSAI , tidak kesampaian , yang boleh membawa maksud , nawaitu sdr untuk melunaskan perjuangan peribadi , telah hancur dan tidak dilayan pun.
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .