Ikuti Blog ini

Sumpah pegang Quran tiada dalam Islam: Nik Aziz


BUKIT MERTAJAM: Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat berkata kaedah sumpah laknat yang dilafazkan oleh Mohd Saiful Bukhari Azlan dengan memegang kitab suci al-Quran adalah satu perbuatan yang menyalahi ajaran Islam.
Nik Aziz berkata perbuatan memegang atau menjunjung al-Quran sebenarnya adalah perbuatan meniru orang Kristian yang memegang kitab suci mereka.

“Dalam Islam sesiapapun bebas bersumpah untuk membuktikan dirinya benar tapi bukanlah dengan memegang kitab suci al-Quran kerana ia adalah perbuatan orang Kristian yang memegang kitab mereka ketika bersumpah,” katanya kepada pemberita selepas menyertai rombongan Pakatan Rakyat yang mengiringi calon Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh di sini.

Menteri Besar Kelantan itu bagaimanapun berkata tindakan Mohd Saiful bersumpah laknat itu adalah dibenarkan dalam Islam dan kini terpulang kepada keikhlasan pengakuannya bahawa beliau diliwat Anwar.

Mengenai saranan supaya Anwar turut bersumpah, Nik Aziz berkata dalam Islam seseorang yang membuat pendakwaan harus bersumpah bahawa dakwaannya adalah benar dan kemudiannya tertuduh perlulah membela diri.

Semalam, Mohd Saiful membuat sumpah laknat di Masjid Wilayah Persekutuan dengan mendakwa Anwar meliwatnya dalam keadaan paksaan.

Anwar pula menyifatkan tindakan bekas pembantu peribadinya adalah satu perbuatan politik kotor untuk menjatuhkannya pada pilihan raya kecil itu.

Live dari P44:100,000 iring Anwar. Anwar layak bertanding





Pengundi Hantu Lompat Parti


Hahahaha.....nak tergelak pulak baca dakwaan calon BN mengenai 'Pengundi Hantu' di Permatang Pauh.

Seringkali pihak pembangkang yang mendakwa ujudnya pengundi hantu. Kali ini dakwaannya datang dari calon BN Datuk Arif Shah. Ini bermakna memang ujudlah pengundi hantu seperti dakwaan pembangkang dahulu.

Kita lihat nanti apa komen pemimpin² BN yang lain tentang dakwaan rakan mereka sendiri. Senyap saja kot!

Mungkin pengundi hantu ini sudah mula sedar kemenangan akan berpihak kepada parti Keadilan. Jadi mereka awal² lagi dah melompat parti. Cari tuan baru.....hahaha!

Petikan dari Malaysiakini :

"Calon Barisan Nasional (BN) di pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh, Datuk Arif Shah Omar Shah, mendakwa terdapat "pengundi hantu" di kawasan itu.

Ariff shah omar shahArif Shah, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Jaya berkata, satu kajian yang dibuat selepas pilihanraya 8 Mac lalu, mendapati banyak nama pengundi yang didaftarkan menggunakan satu alamat tetapi apabila disemak, hanya dua atau tiga orang sahaja yang tinggal di alamat"

"I love you" gamatkan muktamar


IPOH, 16 Ogos - Suasana dalam Stadium Indera Mulia, Ipoh pagi ini mula diceriakan dengan saranan kepada para suami mengucap 'I love you' (saya mencintaimu) kepada isteri masing-masing setiap hari.
"Ucapan ini paling disukai mereka yang bergelar isteri," kata wakil dari Pahang Dr Hamzah Jaafar dalam perbahasan ucapan dasar Presiden PAS yang mendapat sambutan gemuruh para hadirin dalam Muktamar Tahunan PAS ke-54 di sini hari ini.

Tidak habis dengan kata-kata tersebut beliau terus mencuit hadirin dengan saranan kepada suami yang berjauhan dengan isteri dengan berkata, "abang tidak boleh tidur ni... rindu dekat sayang," katanya yang disambut dengan gelak ketawa hadirin.
Padahal katanya, suami itu tidur berdengkur.

Ketika ini sekali lagi dewan menjadi gamat mendengar saranannya itu.
Sementara itu, hadirin juga digamatkan dengan ucapan dari wakil Dewan Pemuda, Ustaz Nasruddin Hassan Tantawi yang mengambil tempat selepas wakil Pahang berucap.

Hadirin yang pada mulanya khusyuk mendengar syarahan yang agak serius darinya tiba-tiba ketawa berdekah dengan cerita burung puyuh dengan seekor ular.

Kisah tersebut diceritakan bagi menerangkan sikap 'keras keng' segelintir ahli parti.
Sebutan perkataan 'keng' yang katanya dipinjam dari loghat Terengganu mendapat tarikan hadirin.

Suasana ini sedikit sebanyak menceria Muktamar di pagi yang permai ini.
Sekaligus, ia mematahkan anggapan ramai bahawa suasana dewan akan muram gara-gara hari penamaan calon di Permatang Pauh hari ini.

Setiap ruang dewan juga dipenuhi hadirin sejak awal pagi. Ramai hadirin kelihatan segak dengan baju Melayu warna-warni dan kopiah putih. Tidak ketinggalan juga dengan kaum Muslimat tampil dengan wajah berseri-seri pada hari ke empat persidangan.

Perebutan 3 penjuru di Permatang Pauh



Pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh akan menyaksi pertandingan tiga penjuru di antara calon BN, PKR dan Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM).

Pengumuman tersebut dibuat oleh pegawai pengurus pilihanraya, Roslan Yahya pada jam 11.45 pagi tadi.
Calon-calon tersebut ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR), Datuk Arif Shah Omar Shah (BN) dan Hanafi Hamad dari AKIM.
Seorang lagi calon yang turut mengemukakan borang pencalonan pagi tadi, Dr Mansor Othman telah menarik diri.
Menurut Roslan, Suruhanjaya Pilihanraya menerima lima bantahan tetapi semuanya ditolak.

Dr Mansor yang juga timbalan pengerusi biro pilihanraya PKR, mengejutkan banyak pihak pagi tadi apabila mengemukakan borang untuk bertanding sebagai calon bebas.
Ekoran itu, tercetus desas-desus yang mengatakan Dr Mansor adalah calon 'simpanan' PKR sekiranya pencalonan Anwar, ditolak.
Ketika ditemui pihak media kemudiannya, pengarah pilihanraya PKR Permatang Pauh, Mustapha Kamal Yusof mengesahkan bahawa Dr Mansor adalah calon 'simpanan'.

Calon BN, Arif Shah adalah yang pertama menyerahkan borang penamaan calon pada jam 9.12 pagi dan diikuti oleh Anwar pada jam 9.18 pagi.
Dr Mansor pula menyerahkan borang penamaan calonnya pada jam 9.40 pagi, diikuti oleh Hanafi pada jam 9.55 pagi.
Roslan bagaimanapun tidak menyentuh langsung mengenai penarikan diri Dr Mansor.

'Perang mulut'

Sementara itu sepanjang menunggu proses pengumuman calon, keadaan di luar dewan riuh rendah dengan penyokong kedua pihak 'berperang mulut'.

pematang pauh by election nomination day 160808 04Penyokong BN melaung 'liwat tetap liwat' sambil menepuk benteng penghalang. Penyokong Pakatan pula membalas dengan laungan 'Altantuya' dan turut menepuk benteng penghalang.

Juga kedengaran laungan 'Samy Vellu undur undur'. Ini dibalas oleh penyokong BN dengan melaungkan 'Kasihan Saiful' beberapa kali. Kemudian kedengaran laungan Selawat dari penyokong Pakatan dan disambut oleh jeritan 'Hidup BN' oleh penyokong BN.

Kedengaran juga penyokong PKR yang meluangkan 'Saiful penipu' dan 'Tangkap boleh boleh'. Turut kedengaran laungan 'Najib' dan disambut dengan jeritan 'Altantuya'.

Keadaan tegang sedikit pada kira-kira jam 10.55 apabila seorang penyokong BN bertindak menunjuk punggung ke arah penyokong Pakatan. Dia bagaimanapun dinasihatkan oleh pihak polis supaya jangan berbuat demikian.

Kira-kira 40 anggota FRU kelihatan masuk ke ruang kosong yang memisahkan antara penyokong BN dan Pakatan, tetapi beredar keluar dari situ sejurus kemudian.

Penyokong kedua belah turut membawa kain rentang yang berbunyi 'Bersatu kita bersatu, menjulang pemimpin Melayu, Umno terus maju, menipu umat Melayu'. Di sebelah BN pula terdapat kain rentang 'Pastikan kemenangan Barisan Nasional di Permatang Pauh', 'Hidup Umno!!! hidup BN!!!.

Sebelum itu, Penyokong BN sampai di padang Institut Perguruan Tuanku Bainun pada kira-kira jam 8.50 pagi, penyokong kedua belah pihak bersorak antara satu sama lain. Di sebelah BN, kedengaran laungan 'liwat tetap liwat'. Manakala di pihak Pakatan, penyokongnya melaung reformasi.

Penyokong kedua belah pihak dipisahkan oleh benteng pada jarak 30 meter.

Sumpah Saiful tindakan bodoh


IPOH, 16 Ogos - Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menganggap tindakan bersumpah yang dilakukan oleh Saiful Bukhari Azlan bagi mempertahankan kebenaran dirinya terhadap kes liwat membabitkan Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim adalah suatu kebodohan.
Menurutnya, lebih malang lagi ia melibatkan mereka yang terdiri daripada kalangan cerdik pandai agama.

"Ianya suatu kebodohan dan lebih malang lagi melibatkan golongan yang memakai jenama Islam," katanya pada sidang media di Muktamar Tahunan PAS ke-54 hari ini.

Jelasnya, kes tersebut adalah dikategorikan sebagai kes yang menyamai kes zina.

Menurut beliau, merujuk kepada artikel 121 (1)(a) Perlembagaan Persekutuan, kes liwat yang dikiaskan kepada hukuman zina perlu diadili di mahkamah syariah.

Sumpah yang diucapkan oleh Saiful juga, ujar beliau hanya boleh dilakukan oleh isteri atau suami yang menuduh pasangan mereka melakukan zina.

Hukum yang disebut sebagai li'an dalam perundangan Islam ini, jelasnya tidak boleh dilakukan oleh orang yang tidak mempunyai hubungan perkahwinan seperti dalam kes liwat Saiful.

Ustaz Abdul Hadi turut menyifatkan kes liwat ini sebagai berunsur politik.

"Kita lihat, bagaimana Saiful Bukhari mengangkat sumpah sehari sebelum Anwar dinamakan sebagai calon.
"Maka tidak syak lagi ia sememangnya bermotifkan politik kotor dan tidak bermoral," tegasnya.

Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa Anwar tidak bersalah.
"Bahkan, badan kehakiman membenarkan beliau bertanding di Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh.
"Kita masih tetap menyokong Anwar dan menyatakan bahawa (beliau) tidak bersalah," katanya lagi.

Ditanya mengenai keperluan Anwar untuk bersumpah sepertimana yang dilakukan Saiful, beliau berpandangan ianya tidak wajar.

Ketika ditanya kemungkinan kes ini akan memberi kesan negatif kepada pengundi, Ustaz Hadi menegaskan ianya tidak mungkin.
"Saya tidak merasakan begitu, bahkan kemungkinan sokongan terhadap beliau bertambah itu ada," ujarnya lagi.

Mengulas isu yang sama, Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Dato' Mohd Daud Iraqi berkata pertuduhan liwat memerlukan empat orang saksi yang adil.
"Sekiranya terbukti berlaku pembohongan maka kesaksian individu tersebut sudah tidak dapat digunakan sampai bila-bila," katanya.

Jelas beliau, bukan sebarang kenyataan dapat dibuat oleh saksi yang mahu membuktikan kes liwat ini.

Sumpah menggunakan kitab suci ini juga menurutnya menyerupai amalan golongan kristian.

MB Perak hormati keputusan Istana


IPOH, 15 Ogos - Menteri Besar, Dato' Seri Ir Nizar Mohd Jamaludin berkata beliau menghormati keputusan yang dibuat pihak Istana Perak berhubung pembatalan kebenaran bagi dua pemimpin utama PAS menyampaikan khutbah Jumaat pada hari ini di bandaraya Ipoh.

"Meskipun pada peringkat awal pihak Tuanku Sultan memperkenankannya, dan kini ianya telah berubah saya menghormati pandangan tuanku tersebut,"

Bercakap kepada pemberita selepas perasmian Muktamar Tahunan PAS kali ke-54, Nizar menegaskan beliau menerima keputusan daripda pihak istana dengan terbuka.

Diminta mengulas mengenai cadangan penubuhan Majlis Menteri Besar negeri-negeri Pakatan Rakyat oleh Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam ucapan Dasarnya, Bekas Setiausaha Badan Perhubungan PAS Perak itu menyambut baik saranan tersebut.

"Bagi saya, ianya sangat perlu dan perkara ini perlu dibincangkan dengan lebih terperinci lagi," ujarnya.

Penganjuran Muktamar Tahunan PAS Pusat buat pertama kalinya di Ipoh ujarnya membuktikan proses 'engagement' di antara semua rakyat berbilang kaum dan agama di Perak sangat memberangsangkan.

"Ia sekaligus menolak semua tanggapan kuno dan negatif yang ditohmah kepada PAS. Image

"Pada masa yang sama ia menunjukkan PAS mempunyai ciri-ciri global, selain kehadiran para tetamu luar yang berminat mengikuti sidang muktamar," katanya.

Dalam pada itu, bandaraya Ipoh katanya kini menjadi tumpuan banyak pihak dengan kehadiran pemerhati dari luar dan dalam negara seterusnya meningkatkan publisiti terhadap negeri Perak.

Muktamar Tahunan PAS kali ke-54 yang diadakan di Ipoh Perak bermula pada 13 Ogos lalu dan akan berakhir pada 17 Ogos akan datang.

Anwar akui PAS mahu PM yang boleh laksanakan Islam


IPOH, 15 Ogos - PAS akan menerima sesiapa sahaja sebagai Perdana Menteri asalkan calon tersebut melaksanakan Islam, demikian ujar Penasihat KeADILan, Dato Seri Anwar Ibrahim.

Tegasnya, beliau menghormati pendirian yang dibuat oleh parti Islam itu dalam usaha Pakatan Rakyat menyelesaikan isu pelantikan Perdana Menteri selepas kerajaan BN ditumbangkan.

"Mereka (PAS) akan menamakan sesiapa sahaja yang dilantik sebagai Perdana Menteri asalkan dia melaksanakan Islam," katanya ketika ditemui media hari ini.

Tambahnya, beliau telah mengadakan pertemuan dengan pemimpin PAS bagi membincangkan beberapa perkara khususnya berkaitan pilihan raya kecil Permatang Pauh. Image

Dalam pada itu, ketika diminta mengulas mengenai ucapan Dasar Presiden PAS, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada PAS atas sokongan yang diberikan kepadanya dalam pilihan raya kecil itu nanti.

"Saya ucapkan terima kasih kepada Ustaz Hadi atas penegasan mengenai arahan yang diberikan kepada ahli-ahli PAS dalam ucapan dasarnya hari ini.

"Ia adalah penting bagi Pakatan Rakyat ke arah perundingan yang lebih matang," ujarnya.

Tambahnya, beliau yakin bahawa PAS akan memberikan sokongan penuh kepadanya untuk menghadapi pilihan raya kecil itu nanti.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu turut menyatakan pihaknya telah melakukan persiapan yang lengkap bagi menghadapi hari penamaan esok, 16 Ogos.

Namun beliau tetap yakin pihak Umno-BN akan menggunakan segala apa yang mereka ada bagi memenangi pilihan raya di Permatang Pauh.

"Kita yakin bahawa BN akan menabur wang yang banyak nanti," katanya lagi.

Anwar beserta isterinya, Dato' Seri Dr wan Azizah adalah antara tetamu khas yang hadir ke Muktamar Tahunan PAS ke-54 di Dewan Indera Mulia, Ipoh Perak.

MB Perak terharu sambutan Muktamar PAS


IPOH, 15 Ogos - Menteri Besar Perak, Dato' Seri Mohd Nizar Jalaludin melahirkan rasa terharu dengan kedatangan terlalu ramai perwakilan, pemerhati dan dari luar negara di majlis perasmian muktamar PAS.

"Saya berharap muktamar ini bukan yang terakhir di Perak dan ia akan diadakan pada lain kali," ujar beliau.

Dengan adanya muktamar PAS di Perak kali ini, ianya boleh merapatkan lagi hubungan jentera dan ahli-ahli PAS Perak dengan perwakilan dari negeri-negeri lain.

Image"Dengan adanya muktamar yang julng-julung kali di adakan di negeri Perak, orang ramai dapat mengenali PAS dengan lebih dekat dan ini boleh meniup semangat kepada jentera parti PAS Perak" kata beliau.

Menyentuh kepada hubungan PAS Perak dengan Pakatan Rakyat di Perak, beliau memberitahu bahawa hubungan mereka adalah rapat sekali dan tidak timbul sebarang masalah dalam urusan pentadbiran negeri.

"Saya berharap orang ramai di Perak tidak termakan dengan laporan dalam beberapa akhbar yang mengatakan hubungan barisan pimpinan negeri mempunyai masalah dalam urusan pentadbiran," kata beliau lagi.

Lebih 5,000 penuhi Stadium Indera Mulia dengar ucapan dasar



IPOH, 15 Ogos - Muktamar PAS kali ke-54 yang memasuki hari ketiga memperlihatkan seramai 5,000 hadirin berbondong-bondong datang dari seluruh pelusuk negara.
Tetamu-tetamu yang mewakili rakan-rakan Pakatan Rakyat seperti Presiden KeADILan, Dato' Seri Dr Wan Azizah bersama penasihat parti itu, Dato' Seri Anwar Ibrahim selain Pengerusi DAP, Dato' Ngeh Khoo Ham turut kelihatan.

Ketibaan Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada jam 8.35 pagi ini diiring kira-kira 20 buah motor berkuasa tinggi bagi menghadiri majlis perasmian muktamar yang diadakan di Stadium Indera Mulia, Ipoh di sini.
Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abd Aziz Nik Mat yang juga diiring dengan 20 buah motor berkuasa tinggi pula tiba kira-kira 10 minit kemudian.

Sementara itu, di luar perkarangan stadium sebelum majlis perasmian bermula, upacara tabik hormat Unit Amal yang diketuai oleh Khairul Aini berlangsung.
Lintas hormat Unit Amal yang bermula pada jam 8.50 pagi itu dimulakan dengan lagu Al-Amal. Kekuatan tentera merah yang berjumlah 150 orang itu diperiksa oleh Ustaz Hadi sambil diiringi dengan lagu Semarak Perjuangan nyanyian kumpulan Shoutul Amal.

Majlis perasmian muktamar kali ini yang bertemakan 'PAS untuk Semua' dimulakan dengan nyanyian lagu rasmi PAS dan diikuti ucapan aluan daripada pengerusi tetap majlis perasmian, Abu Kasim Abdullah.

Kemudian, majlis diteruskan dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran dari Surah Al-A'raf ayat 156 hingga 160 dialunkan oleh Johan Qari Tilawah Antarabangsa 2004, Radzi Kamarul Hailan.
Seterusnya, Presiden PAS menyampaikan ucapan dasar dengan tema 'PAS untuk Semua' dan merasmikan muktamar kali ini kira-kira jam 10 pagi.

Diikuti pula pada jam 11.15pagi, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abd Aziz dijemput untuk melancarkan buku yang bertajuk'Kemuncup dalam Perjuangan'.

Akhbar milik parti, Harakah dua kali seminggu kemudiannya telah dilancarkan oleh Ustaz Hadi yang diiringi Pegerusi Harakah, Dato' Mustafa Ali yang bermula 15 Ogos 2008 bersamaan 13 Sya'aban 1427H. Vespa c70 dipandu oleh Abd Manaf Dahalan sambil membawa beberapa naskah akhbar Harakah menjadi gimik pelancaran akhbar ini.

Ustaz Hadi yang diiringi Setiausaha Agung PAS, Dato'Kamaruddin Jaffar dan Dato' Mustafa Ali menyampaikan satu naskah Harakah kepada setiap pesuruhjaya tinggi setiap negeri.

Montaj bagi Harakah dua kali seminggu juga ditayangkan kepada hadirin yang hadir.
Dua wakil gerakan Islam iaitu Timbalan Presiden AK Parti Turki,Prof Dr Man Kutrunus dan wakil Gerakan Islam Myanmar, Haji Abd Ghaffur berbesar hati menyampaikan cenderahati kepada Presiden PAS sebagai tanda persahabatan.

Majlis perasmian pagi itu diakhiri dengan bacaan do'a yang dipimpin oleh Ketua Dewan Ulama', Mohd Daud Iraqi. Muktamar bersambung jam 3 petang ini.

Harakah dua kali seminggu dilancarkan penuh simbolik



IPOH, 15 Ogos - Dalam usaha meningkatkan penyebaran maklumat kepada ahli dan orang awam mengenai PAS dan isu semasa, akhbar rasmi parti, Harakah dilancarkan secara rasminya, di Muktamar PAS Pusat, pagi ini.

Pelancaran Harakah sempena keluaran sulung bagi dua kali seminggu ini dilancarkan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dengan penuh simbolik.

Para hadirin kelihatan agak teruja dan bangun dari tempat duduk masing-masing apabila mendengar bunyi enjin motosikal memasuki dewan yang menempatkan kira-kira 5,000 perwakilan dan pemerhati.

Penunggang motosikal tersebut, Abdul Manaf Dahalan, yang juga merupakan pengedar Harakah paling lama di Perak, diiringi petugas Unit Amal kemudiannya terus menuju ke pentas utama.

Ketika itu, laungan takbir dan tepukan mengiringi motosikal yang terus menuju ke pentas utama. Para jurugambar dari pelbagai agensi sibuk merakamkan detik-detik pelancaran akhbar rasmi parti itu.

Sejurus watikah rasmi dibacakan Pengerusi Harakah, Dato' Mustafa Ali, Harakah keluaran 15 Ogos diserahkan kepada semua Pesuruhjaya PAS Negeri, bermula dari Kelantan yang diwakili Dato' Takiyudin Hassan dan diakhiri oleh Pesuruhjaya Sabah, Mohamad Abdullah.

Sementara itu, Mustafa menyerahkan cenderahati kepada Ustaz Abdul Hadi.
Sejurus selepas pelancaran tersebut, satu tayangan multimedia khas berkenaan Harakah ditayangkan kepada para hadirin.

Anwar hargai komitmen PAS perkukuh Pakatan Rakyat



IPOH, 15 Ogos - Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau amat menghargai komitmen PAS untuk terus bersama dan memperkukuhkan Pakatan Rakyat sebagaimana yang dinyatakan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam ucapan dasarnya sebentar tadi.

Ucapan Dasar Presiden PAS bertajuk 'PAS Untuk Semua' disampaikan beliau bersempena Muktamar Tahunan PAS kali ke 54 di Stadium Indera Mulia, dekat sini.

"Ustaz Hadi menyampaikan ucapan yang bernas," kata Anwar yang pertama kali hadir ke Muktamar PAS, dalam respons eksklusifnya kepada Harakahdaily sejurus selepas Muktamar ditangguhkan tengahari tadi.

Anwar bersama isterinya, Dato' Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga Presiden KeADILan, mengucapkan terima kasih kepada seluruh kepimpinan PAS yang mengundang beliau untuk hadir ke Muktamar PAS.

Menurut beliau, segala teguran dan pandangan perwakilan PAS semalam, beserta dengan ucapan Dasar Presiden PAS sebenarnya membuka ruang yang lebih kepada banyak perbincangan untuk memperkukuhkan Pakatan Rakyat.

"Saya menyanjung tinggi komitmen yang diberikan Ustaz Hadi bahawa PAS akan terus kekal dalam Pakatan Rakyat.

"Saya juga berterima kasih dan menghargai sokongan PAS, khususnya Tuan Guru Nik Aziz, untuk membantu saya di Permatang Pauh, kerjasama ini amat saya alu-alukan," katanya.

Tegas Anwar, beliau akan memastikan kerjasama di kalangan parti dalam Pakatan Rakyat akan terus diperkukuhkan walaupun terdapat beberapa teguran daripada beberapa pihak.

"Apa yang penting kita, pemimpin dan ahli Pakatan Rakyat, mesti mengelakkan dan mengetepikan manipulasi media yang senantiasa mahu memecahkanbelahkan perpaduan kita," ujarnya.

SELAMAT BERMUKTAMAR

Muktamar PAS kali ke-54 bermula penuh ceria



IPOH, 15 Ogos - Muktamar PAS kali ke-54 membuka tirainya dengan kehadiran perwakilan dan pemerhati sejak awal pagi lagi. Kawasan sekitar Stadium Indera Mulia mulai sesak sejak jam 7 pagi.

Tidak kurang juga pemerhati yang bermalam di tempat parking dan dalam kenderaan di perkarangan stadium.
Kedai-kedai yang terdapat di sekitar stadium memulakan perniagaan mereka sejak awal pagi lagi. Malah, orang ramai sudah berbaris untuk mengisi alas perut sebelum menghadiri perasmian muktamar.

Tetamu asing dari kedutaan juga tiba awal sejak jam 8 pagi. Kemeriahan mulai terasa apabila perwakilan dan pemerhati mulai tiba dan berbodong-bodong memasuki pintu sebelah kiri stadium.

Unit Amal pula membuat persiapan perbarisan sebelum ketibaan Presiden, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Timbalan Presiden, Ustaz Nasharuddin Mat Isa dan Menteri Besar Perak, Dato' Seri Ir Mohamad Nizar Jamaluddin mulai tiba jam 8.15 pagi. Manakala Presiden, Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang tiba jam 8.30 pagi.

Muktamar ini juga disiarkan secara langsung melalui laman web pastv.com dan beberapa lagi laman-laman web lain.

Stadium Indera Mulia yang mana sebelum ini hanya meriah dengan acara sukan kali ini dipenuhi perwakilan PAS bagi membahas agenda perjuangan gerakan Islam di negara ini.

Muktamar PAS realisasi prinsip politik Islam - Nik Aziz



IPOH, 15 Ogos - Lagu PAS buat pertama kali dalam sejarah bergema di Stadium Indera Mulia,Ipoh yang mana sebelum ini hanya riuh rendah dengan acara sukan.

Sejak malam semalam stadium tersebut sudah bertukar fungsi buat seketika, bagi memberi ruang kepada perwakilan memikirkan jalan terbaik bagi memartabatkan gerakan Islam di negara ini.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, PAS bermuktamar untuk merealisasikan satu prinsip politik Islam yang penting iaitu syura.

Katanya, prinsip syura menyedarkan kita kepada hakikat bahawa seluruh perjalanan makhluk ciptaan Allah adalah tertakluk kepada peraturan yang ditetap-Nya.

"Sekiranya peraturan ini diikuti dengan baik dan penuh rela hati maka kehidupan manusia akan menjadi aman dan sejahtera.

"Keyakinan kepada prinsip asas ini menyebabkan PAS memasuki gelanggang pilihan raya dengan penuh ketertiban, kesabaran, keyakinan dan pergantungan kepada Allah.

"Pengalaman Kelantan mengendalikan pilihan raya dan pentadbiran negeri membenarkan hakikat ini," katanya pada buku acara muktamar.

Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang pula berkata, muktamar PAS kali ke-54 sangat penting dan bermakna ketika saat PAS berada di tahap kekuatan yang paling tinggi dalam sejarahnya.

Katanya pada pilihan raya baru-baru ini, hasil iltizam dan kerja kuat kita, Allah Taala telah mengizinkan kemenangan besar.

Menurutnya, kemenangan besar itu merupakan satu amanah dan tanggungjawab yang perlu dipikul dan dilaksanakan dengan penuh cermat atas nama Islam.

"Akidah merupakan asas utama perjuangan kita dan yakinlah ia merupakan satu rahsia kekuatan Islam sepanjang zaman," katanya pada kata-kata aluan pada buku Muktamar PAS kali ke-54 di sini, hari.

Perarakan masuk ke dalam dewan muktamar dimulakan Timbalan Mursyidul Am, Dato' Dr Haron Din kira-kira jam 8.55 pagi kemudian diikuti Ahli jawatankuasa PAS Pusat lain.

Tetamu kehormatan yang kelihatan Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim; Presiden KeADILan, Dato' Seri Dr Seri Wan Azizah Wan Ismail; Pengerusi DAP Perak, Dato' Khor dan tokoh gerakan Islam luar negara termasuk dari Jordan, Dr Hamman Said dan Amir Hussien (Pakistan).
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .