Ikuti Blog ini

Sumpah pegang Quran tiada dalam Islam: Nik Aziz


BUKIT MERTAJAM: Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat berkata kaedah sumpah laknat yang dilafazkan oleh Mohd Saiful Bukhari Azlan dengan memegang kitab suci al-Quran adalah satu perbuatan yang menyalahi ajaran Islam.
Nik Aziz berkata perbuatan memegang atau menjunjung al-Quran sebenarnya adalah perbuatan meniru orang Kristian yang memegang kitab suci mereka.

“Dalam Islam sesiapapun bebas bersumpah untuk membuktikan dirinya benar tapi bukanlah dengan memegang kitab suci al-Quran kerana ia adalah perbuatan orang Kristian yang memegang kitab mereka ketika bersumpah,” katanya kepada pemberita selepas menyertai rombongan Pakatan Rakyat yang mengiringi calon Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh di sini.

Menteri Besar Kelantan itu bagaimanapun berkata tindakan Mohd Saiful bersumpah laknat itu adalah dibenarkan dalam Islam dan kini terpulang kepada keikhlasan pengakuannya bahawa beliau diliwat Anwar.

Mengenai saranan supaya Anwar turut bersumpah, Nik Aziz berkata dalam Islam seseorang yang membuat pendakwaan harus bersumpah bahawa dakwaannya adalah benar dan kemudiannya tertuduh perlulah membela diri.

Semalam, Mohd Saiful membuat sumpah laknat di Masjid Wilayah Persekutuan dengan mendakwa Anwar meliwatnya dalam keadaan paksaan.

Anwar pula menyifatkan tindakan bekas pembantu peribadinya adalah satu perbuatan politik kotor untuk menjatuhkannya pada pilihan raya kecil itu.
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .