KUALA LUMPUR, 27 April: Kehadiran dalam perhimpunan Bersih 3.0 esok adalah bukti rasa cinta kepada negara, tegas Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu
(gambar).
Beliau
juga menyeru semua rakyat yang cintakan negara agar tidak mempedulikan
tindakan kerajaan Umno yang tidak membenarkan perhimpunan Bersih 3.0
diadakan di Dataran Merdeka.
Bagi Mohamad, tidak pelik sama
sekali jika kerajaan Umno tidak membenarkan perhimpunan Bersih 3.0
diadakan di Dataran Merdeka dan sebab itulah perhimpunan tersebut mesti
diteruskan.
"Kalau kerajaan (Perdana Menteri, Datuk Seri) Najib (Tun Razak) benarkan perhimpunan Bersih 3.0 di Dataran Merdeka, itu pelik.
"Kalau dia tak benarkan, itulah Malaysia di bawah BN (Barisan Nasional)," katanya.
Dan
atas sebab yang sama jugalah perhimpunan sedemikian mesti diadakan
terus-menerus bagi memastikan pilihan raya yang bersih dan adil akhirnya
menjadi kenyataan supaya Malaysia yang tertindas dapat dibebaskan, kata
beliau.
"Kalau tidak berhimpun dan berhimpun lagi, jangan mimpilah pilihan raya yang adil dan bersih akan diadakan di negara ini.
"Selagi
pilihan raya tidak adil dan tidak bersih, tidak ada harapan sama sekali
untuk melihat Malaysia yang tertindas dapat dibebaskan," katanya.
Mohamad
yakin rakyat yang waras tidak sanggup lagi melihat negara ini berada di
bawah BN yang bukan sahaja tidak henti-henti menyembelih kebebasan
rakyat malah semakin ditakuti akan menyebabkan negara ini bankrap.
"Tengoklah
bila Najib pegang Felda, rizab tunai Felda tinggal RM1.35 bilion sahaja
tahun ini dan berhutang pula RM6.5 bilion dari Kumpulan Wang Simpanan
Pekerja (KWSP).
"Srdangkan sebelum Najib pegang, Felda ada rizab tunai sehingga RM4.5 bilion dan tak ada hutang.
"Bayangkanlah apa akan terjadi pada negara ini jika Najib dan Umno terus perintah," katanya.
Keadaan sedemikian, kata Mohamad, hanya boleh diubah dengan pilihan raya yang adil dan bersih.
"Sebab
itulah hadir ke perhimpunan Bersih 3.0 adalah adalah tanda dan bukti
rasa cinta kepada negara ini supaya penindasan serta pemunggahan
kekayaan negara dapat dihentikan," katanya
Perhimpunan Bersih
3.0 esok akan mengulangi tuntutan supaya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)
membersihkan daftar pengundi, mereformasikan undi pos, gunakan dakwat
kekal, masa kempen minima 21 hari, akses media yang bebas dan adil,
kukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor.
Dalam
perkembangan berkaitan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur mula memasang
penghalang di sekeliling Dataran Merdeka sekitar jam 2.30 pagi tadi -
lebih tiga jam sebelum arahan awal dikuatkuasakan.
Datuk Bandar
Kuala Lumpur Tan Sri Ahmad Fuad Ismail menyifatkan keputusan untuk
mengadakan perhimpunan Bersih 3.0 sebagai isu keselamatan.
Beliau berkata, polis patut campurtangan membantu DBKL bagi menegakkan undang-undang. -
Hrkh