Pelbagai lagu terus dicipta dan dikumandangkan menjelang perhimpunan menuntut pilihan raya BERSIH dan adil di Kuala Lumpur esok.
Selepas Tears for Malaysia (air mata untuk Malaysia) ciptaan
Michelle Hoo – penyokong BERSIH daripada Johor – mencuri tumpuan, satu
lagu gubahan kolumnis, aktivis dan pemantau pilihan raya juga mula
meniti di bibir peminat.
Didendangkan
pertama kali pada ceramah pengiraan detik 10 hari BERSIH di Kampung
Baru pada 21 April lalu, Amin Iskandar tampil dengan Mentari Kuning
Menyalalah.
Lagu itu ternyata mempunyai melodi indah yang santai untuk mereka yang mendengarnya buat kali pertama.
Namun, jangan tertipu dengan semua itu kerana bait-bait liriknya sarat
dengan mesej untuk meniup semangat peserta BERSIH hujung minggu ini.
Kita laungkan BERSIH
belantan perisai baja,
siapakah akan gentar
bila Tuhan bersama kita.
Menurut Amin Iskandar atau lebih dikenali sebagai “Black”, lagu itu
penzahiran kepada pengalamannya yang terlibat dengan dunia aktivisme
politik dan sosial sejak lebih 10 tahun lalu.
Beliau terlibat secara langsung dengan Institut Kebangsaan untuk
Ketelusan Pilihan Raya (NIEI) yang memantau perjalanan pilihan raya
negara lain selaku pemerhati bebas.
"Lagu itu saya cipta berdasarkan pengalaman melihat bagaimana dunia
berhadapan dengan masalah pilihan raya," katanya yang pernah memantau
perjalanan pilihan raya beberapa negara di Asia Tenggara.
Tiup semangat juang
Mendapat ilham dari pengalaman sendiri, Black percaya pilihan raya bebas
kemestian yang harus diperjuangkan setiap warganegara Malaysia.
"Saya melihat sendiri bagaimana mereka (negara lain) berjuang untuk mendapatkan pilihan raya bebas," kata Black.
Beliau berharap lagu ciptaannya itu mampu meniup semangat juang ke dalam jiwa mereka yang turun berhimpun esok.
"Lagu itu curahan hati saya dan kalau ia dapat difahami orang lain, itu lebih baik," katanya lagi.
Kini, lagu itu diedarkan dalam bentuk CD yang boleh diperolehi menerusi
derma amal sebanyak RM5 melalui pengedar atau tempahan melalui lamanweb
www.aminiskandar.net
Hasil jualan CD lagu itu disalurkan semula kepada Solidariti Anak Muda
Malaysia (SAMM), sebuah kumpulan anak muda yang turut giat mempromosikan
himpunan BERSIH 3.0 ke seluruh negara.
Kemunculan 'single' Mentari Kuning Menyalalah itu mengiringi beberapa
lagu lain seumpamanya dalam pelbagai bahasa yang dimuatnaik ke laman
perkongsian video Youtube. -M'kini
Tonton video 4.02 minit