Sejak pengumuman secara rasmi dibuat oleh pihak Gabungan Menuntut Pilihanraya Bersih & Adil (Bersih) tentang penganjuran himpunan Bersih3.0 pada 28 April ini di Dataran Merdeka, bermacam-macam respons dibuat oleh pelbagai pihak. Kini, hanya berbaki kurang 1 hari 20 jam 30 minit untuk acara itu berlangsung dan respons-respons itu masih berterusan.
Di pihak Pakatan Rakyat (PR), dari Ketua Pembangkang sehinggalah kepada ahli dan penyokong bawahan, semuanya menyatakan sokongan dan memberi komitmen penuh untuk menjayakan siri ke-3 himpunan seumpama itu sejak ia diadakan buat kali pertama pada tahun 2006.
Sikap Kerajaan Malaysia yang dibuat oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui menterinya Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien, atas semangat ‘menghormati’ Akta Himpunan Amam 2011, memberi reaksi yang sangat berbeza berbanding ketika penganjuran Bersih 2.0, awal-awal lagi mengumumkan tiada halangan untuk himpunan itu diadakan.
Malangnya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak bersikap ‘proaktif’ sebagaimana KDN dalam mendepani permohonan daripada pihak Bersih. Barangkali juga KDN dan DBKL sedang bermain wayang. Ketegasan Bersih untuk tetap berhimpun di Dataran Merdeka menyebabkan Bersih dan penyokongnya dilabel sebagai degil dan didakwa cuba mendoktrin rakyat Malaysia untuk tidak menghormati perlembagaan negara serta tidak menghargai keamanan yang sedang dinikmati kini.
Media (TV3, Utusan Malaysia) pula mengambil posisi terpenting untuk mempengaruhi persepsi seluruh rakyat Malaysia. Kenyataan penuh dan ‘bersuara’ oleh beberapa orang menteri, agamawan, ilmuan dan rakyat disiarkan setiap hari untuk memberitahu rakyat Malaysia bahawa himpunan Bersih 3.0 adalah haram, akan mengancam keselamatan negara, mengganggu kehidupan warga ibu kota, doktrin sesat pembangkang dan tidak rasional. Tidak lain tujuannya melainkan untuk menjatuhkan political mileage lawan politik kerajaan atau sekurang-kurangnya mengurangkan sokongan dan kehadiran rakyat ke Bersih 3.0.
Mahasiswa selaku kunci penting dalam pembinaan dan pembangunan masa depan Malaysia juga pasti punyai pendirian. Mahasiswa Generasi Y adalah mahasiswa yang berfikir dengan akal, berbicara dengan fakta, mendengar dengan cakna dan memerhati dengan bijaksana pasti akan berekspresi secara rasional.
Penilaiannya adalah bukan soal BN atau PR, kerajaan atau pembangkang. Tetapi asas pertimbangan mahasiswa adalah kebenaran dan keadilan, lebih-lebih lagi dalam soal proses pemilihan kepimpinan negara yang menjadi penentu kepada substance pembinaan dan pembangunan negara pada masa hadapan. Jika silap langkah, padah! Jika betul, bertuah!
Saya yakin dan percaya, serta memberi jaminan bahawa tidak kurang 50,000 mahasiswa dan anak muda akan menyertai himpunan Bersih 3.0 pada hari Sabtu ini.
Penulis ialah Pengerusi Inspirasi Anak Muda Malaysia (Inspirasi) dan Naib Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis).