GUA MUSANG: Agak luar biasa kehadiran masyarakat
pelbagai kaum pada program penyampaian surat hak milik tanah, dividen
Ladang Rakyat dan bantuan sosial yang diadakan di Dewan Sivik hari
ini.
Sebelum ini jarang dapat dilihat rakyat pelbagai kaum termasuk Orang
Asal, Cina, India dan Melayu bersama memenuhi dewan dan kawasan
sekitarnya sejak pagi lagi.
Lebih 300 masyarakat Orang Asal termasuk yang datang menaiki
motosikal selama tiga jam dari Pos Tuil bertolak jam 6 pagi melalui
jalan pembalakan sebelum sampai ke jalan raya Lojing – Gua Musang.
Kesukaran itu tidak mematah semangat Zaman Kavi bersama rakan-rakan
datang untuk bertemu Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik
Mat, yang berada di Gua Musag sejak malam tadi.
Seramai 140 penduduk termasuk keluarga masyarakat Cina yang tinggal di Kampung Pulai menerima surat hak milik tanah.
Mereka meluah rasa begitu gembira kerana impian mendapat hak milik tanah akhirnya menjadi kenyataan.
Ng Nget Fah dari Kampung Pulai mendapat surat milik tanah kebun
getahnya seluas 2.5 hektar yang diusahakan sejak berpuluh tahun lalu.
“Tentunya saya rasa gembira yang amat sangat kerana mendapat surat
hak milik tanah kebun yang diusahakan keluarga saya selama ini,”
katanya sambil menunjukkan geran yang baru diterima daripada Menteri
Besar.
Dua keluarga India iaitu Bhaskaran A/L Rengasamy dan R Parimala A/P
Ramachandran masing-masing menerima cek sebanyak RM1,000 di majlis
berkenaan ekoran kematian ibu mereka yang merupakan peserta program
skim Takaful Kifaalah.
Hadir sama pada majlis yang penuh bersejarah itu anggota-anggota
Exco kerajaan negeri, Datuk Mohd Amar Abdullah, Che Abdullah Mat Nawi
dan Wan Ubaidah Omar.
Turut hadir Ketua Jajahan Gua Musang, Mat Jusoh Hussin, Penyelia
Parlimen Gua Musang, Dr Zulkifli Mohamad, Penyelia Dun Galas, Abdullah
Hussin dan Penyelia Paloh, Shah Amiruddin dan pemimpin masyarakat
pelbagai kaum.
Abdullah melahirkan rasa syukur di atas kehadiran begitu ramai
rakyat Gua Musang yang terdiri daripada pelbagai kaum sehingga memenuhi
dewan sivik dan kawasan sekitarnya.
“Sokongan rakyat pelbagai kaum begitu hebat sekali. Saya terharu di
atas sambutan yang luar biasa hari ini,” katanya pada ucapa mewakili
tuan rumah. Sebanyak lima ekor lembu dikorbankan bagi jamuan orang
ramai.
Pada 4 Mei lalu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak juga
melakukan lawatan kerja ke Gua Musang merasmikan Komuniti 1Malaysia
yang diadakan di padang Majlis Daerah Gua Musang. Sehingga hari ini
padang tersebut tidak dapat digunakan kerana rosak.
Tuan Guru Nik Abdul Aziz berharap orang ramai yang mendapat geran
tersebut tidak menjualnya kepada orang lain sehingga habis tempoh masa
yang ditetapkan kerajaan.
Katanya juga tanah menjadi rebutan rakyat kerana bilangan manusia semakin ramai sedangkan keluasan tanah tidak berubah.
Pada lawatan kerja itu juga sebelah petang Menteri Besar melawat
kolam penternakan ikan kelah milik Mohd Saiful Basri Mat Yaakub di
Kampung Lepan Jaya. -
Hrkh