Ikuti Blog ini

Kenyataan Media : Terima kasih DBKL, konsert Inul dibatalkan

p1070400Dewan Pemuda PAS Wilayah mengucapkan terima kasih kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kerana membatalkan permit konsert Inul Darastita yang dijadualkan berlangsung di Stadium Bukit Jalil pada 29 November 2008 ini. Laman web The Star dan Kompas Entertainment melaporkan berita tersebut semalam (klik disini: thestar dan Kompas.)

Pembatalan ini penting untuk menjaga kehormatan dan maruah negara Malaysia di mata dunia Islam. Selain itu masalah akhlak dan moral juga dapat di kurangkan.

Ini adalah kali yang ketiga konsert Inul dibatalkan, selepas ia dibatalkan pada 18 Julai 2008 di Johor dan 25 Julai 2008 di Stadium Putra Kuala Lumpur. Difahamkan, ia adalah atas nasihat pihak polis kerana faktor keselamatan.

Pada 26 November 2008 yang lepas Pemuda PAS Wilayah telah menghantar memorandum bantahan penganjuran konsert Inul yang dijadualkan pada hari sabtu ini kepada Jakim. Memorandum tersebut disampaikan kepada Ketua Pengarah Jakim Dato’ Wan Mohamad Bin Dato’ Sheikh Abdul Aziz. Dalam memorandum tersebut Pemuda PAS Wilayah mendesak Jakim berperanan lebih dan bertegas membatalkan konsert Inul tersebut.

Pemuda PAS Wilayah tidak akan menghalang, hiburan dan persembahan artis selagi ia tidak bertentangan dengan nilai-nilai Islam dan adab-adab kesopanan melayu.

Malah Pemuda PAS sendiri telah menganjurkan konsert alternatif pada 9 November 2008 baru-baru ini di Lembah Pantai, yang menampilkan juara akademi nasyid, Azhan dan bekas vokalis kumpulan rock Gamma.

Selepas daripada ini diharapkan pihak berkuasa seperti DBKL dan Puspal terus konsisten memastikan artis-artis yang mahu membuat persembahan di Malaysia menghormati umat Islam dan budaya Melayu di negara ini. Perkara ini perlu ditekankan dan di beri perhatian yang serius oleh pihak-pihak yang berkenaan.

Selain itu, Pemuda PAS Wilayah juga akan cuba mengatur perjumpaan dengan pihak penganjur dan beberapa badan yang berkaitan bagi membincangkan isu ini. Pemuda PAS Wilayah tidak mahu berkonfrantasi dengan sesiapapun. Walaubagaimanapun Pemuda PAS Wilayah tetap tegas dengan prinsip Islam yang di bawa.

Kita akan cuba menerangkan hiburan daripada sudut pandangan Islam dan bagaimana Islam menangani kehendak manusia kepada hiburan. Pemuda PAS Wilayah akan memastikan seni dan budaya dimartabatkan seiring dengan Islam dan yang diperjuangkan.

Kamaruzaman Mohamad
Ketua
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan




Timbalan menteri mati mengejut

Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Razali Ismail meninggal dunia di Institut Aminuddin Baki, Genting Highlands kira-kira 6.30 petang tadi.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Alimuddin Mohd Dom ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau merupakan ahli parlimen Kuala Terengganu selama dua penggal berturut-turut.

Difahamkan Razali, 59, rebah ketika bermain badminton di institut itu.

razali ismailDalam pilihanraya umum Mac lalu, beliau menewaskan Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu dan calon bebas, Maimun Yusuf.

Razali menang dengan majoriti tipis 628 undi. Allahyarham mendapat 32,562 undi, manakala Mohamad memperolehi 31,934 undi.

Maimun, seorang nenek yang dipercayai calon paling tua, pula mendapat 685 undi.

Allahyarham menghadiri sesi permukiman dua hari bagi pemimpin Umno Terengganu di situ yang bermula hari ini.

Alimuddin berkata jenazah Allahyarham akan dibawa ke Hospital Bentong, Pahang.

Razali meninggalkan seorang isteri Datin Nooraini Lob Yusoff dan lima
anak.

Difahamkan, jenazah Allahyarham akan dibawa pulang ke kampungnya di Terengganu malam ini.

Susulan kematian beliau, pilihanraya kecil akan diadakan dalam tempoh 60 hari bagi kerusi parlimen Kuala Terengganu.




Hari Raya Haji 8 Disember


KUALA LUMPUR — Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Engku Ibrahim Engku Ngah hari ini mengisytiharkan Hari Raya Aidiladha bagi seluruh Malaysia ditetapkan Isnin, 8 Disember ini.

“Bagi menyempurnakan titah perintah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenankan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia mengisytiharkan bahawa 1 Zulhijjah 1429 Hijrah ialah pada 29 November 2008 Masihi.

“Oleh yang demikian Hari Raya Qurban (10 Zulhijjah) bagi seluruh Malaysia ditetapkan pada hari Isnin, 8 Disember,” menurut kenyataan pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia.


PULANGKAN ABAH KU.

Saya kesihan melihat Umi bekerja keras mencari ruang dan peluang untuk mendedahkan kejahatan ISA yang sedang menganiaya keluarga kami. Tugas Umi untuk mencari rezeki demi penerusan hidup kami berdua sudah cukup memenatkan , ditambah pula dengan kerja-kerja bersama Gerakan Mansuhkan ISA(GMI) yang tidak kurang beratnya.... Ramai orang bersimpati kepada kami, saya sering dengar orang berkata "We are behind you..." tetapi kata-kata, tinggal kata-kata.Tak apa lah, saya selalu denar Umi pujuk diri sendiri... kita kan ada Allah yang Maha Mengetahui dan Maha Kaya...

Ada ketikanya saya rasa Umi macam buat kerja yang tidak mendatangkan hasil. Contohnya pergi PUTRAJAYA nak sampaikan surat pada PM.Jam 9 pagi sudah bertolak,sampai disana, menunggu beberapa jam, tak dapat jumpa PA Pak Lah, akhirnya yang menyambut surat itu hanyalah seorang pelayan pejabat.Jam 2 petang, barulah Umi tiba di rumah di Taman Keramat....Namun, kata Umi, ada sedikit berita di media alternatif, jadilah...Dan banyak lagi peristiwa yang menghampakan perasaan seperti itu...

Itu tidak termasuk kata-kata sindiran yang Umi terpaksa telan, kerana ramai orang merasakan, kita tidak layak untuk menhapuskan akta zalim itu.Kita hanya akan jadi seperti anjing yang menyalak bukit, anjing jadi serak, bukit tetap teguh"...

Jika terus berusaha, lama-lama Allah akan beri kejayaan juga. Bermula bulan Mac tahun 2008, Umi mengambil cuti tanpa gaji kerana ingin memberi perhatian pada Kempen 6 Tahun -ISA. Syukur, dengan kemenangan Pakatan Rakyat, tidak sia-sia Umi bercuti selama ini kerana beliau mendapat lebih banyak ruang untuk mendedahkan nasib Abah dan semua tahanan ISA yang lain. Saya tahu, ramai Ahli Parlimen PR kenal Umi, antaranya YB Dr Lo Lo.
Hampir 7 tahun saya berulang-alik 700 km dari K.L ke Taiping. Penat sangat rasanya walaupun bukan saya yang membawa kereta itu.Pagi-pagi selepas Subuh sudah keluar, rehat di R&R Sungai Perak dan biasanya tiba di pintu utama pada jam 11 pagi. Saya membesar di jalanan, bayangkanlah sejak berusia lapan tahun, saya telah biasa tidur baring didalam kereta, untuk melawat Abah di Kem Kamunting.

Duit belanja ke Kem? Dari tahun 2002 hingga tahun 2008.... RM300 sekali lawatan , dua kali sebulan, selama 6 tahun. Berapa jumlahnya?Itu tidak termasuk duit belanja untuk Abah dan duit untuk membeli keperluan seperti buku, majalah, kitab dsb....(Zalim tak ISA ni?)


Alhamdulillah, sekarang ada bas dari kerajaan Pakatan Rakyat, Negeri Selangor yang membawa keluarga ke kem dua kali sebulan.

Beberapa hari lepas, usia saya cukup 15 tahun. Hari jadi saya memang sentiasa tiba di hujung tahun kerana saya lahir di bulan November.Ketika Abah belum ditahan dibawah ISA, hujung tahun adalah waktu yang amat menggembirakan kerana kami akan pergi bercuti samada balik kampung atau ke destinasi pelancungan dalam negara.
Sejak tahun 2002, kami jarang bercuti atau berehat kecuali jika Umi ada urusan di luar daerah.Faktor masa dan kewangan menyebabkan kami hanya ada satu tempat saja untuk dilawati iaitu, Kem Kamunting.Saya amat gembira bila pergi ke kem, tetapi bila nak balik, bila berpisah dengan Abah, saya rasa sedih dan kecewa....
Ada ketikanya saya ingin menjerit untuk meluahkan kekecewaan saya itu......


Bermula dari 18 April 2002 hinggalah November 2008, ianya bukanlah satu jangkamasa yang pendek.Mengikut pendapat ahli psikology, ia adalah masa kritikal untuk pembinaan jati diribagi remaja seperti saya...Saya membesar dalam suasana yang keras dan kejam.
-Saya melihat SB memberi kata-kata amaran pada Umi.
-Saya pernah melihat seorang warden ingin membelasah Abah dihadapan saya.
-Sewaktu saya bercakap di interkom, talian tiba-tiba diputuskan.
-Seorang SB bergaduh dengan Umi ketika Umi menegur mereka ,kenapa SB bernama Ayub itu meminta Abah menanggalkan baju dan seluar dihadapan kami.
-Kami sudah 7 kali menyambut Aidilfitri di tempat yang sama seperti penjara.
-Saya pernah melihat Umi menangis sambil memandu kereta,dalam perjalanan pulang dari Taiping ke Kuala Lumpur
Ada banyak lagi perkara buruk yang tidak dapat dituliskan satu persatu...semuanya memberi pengaruh yang tidak sedikit dalam tumbesaran saya....
Saya sentiasa berdoa, penganiayaan ini segera berlalu dari hidup saya.
Suhaib Mat Sah.
24 Nov 1993.


SEMOGA ALLAH KURNIAKAN HAJI MABRUR



Doa dari kami mengiringi Dato' Seri Tuan Guru Presiden Hj. Abdul Hadi Awang dan Yb. Sdr Salahudin Ayub Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat
yang akan berangkat ke Tanah suci untuk menunaikan ibadah haji beberapa minit sahaja lagi .

Tidak lupa kepada rakan - rakan lain yang kini telah pun berada di tanah suci . Antaranya ialah Ustaz Nik Abduh Nik Abdul Aziz , Ustaz Yusuf Embong , ustaz Misbahul Munir dan ramai lagi . Semoga semuanya dikurniakan haji mabrur .

Selamat pergi untuk bertamu di baitillahilharam dan selamat pulang untuk meneruskan perjuangan . Jangan lupa buat kami di tanahair agar senantiasa tabah menghadapi cabaran dan ujian .

Buat sahabat yang belum berkesempatan , ada rezeki tahun - tahun depan kita pula akan ke Makkah insyaallah .



MB : Blogger berperanan sebar maklumat Kerajaan Negeri Perak.

IPOH :- Blogger dari negeri Perak dapat memainkan peranan yang aktif dalam menyebarkan segala maklumat kerajaan negeri turun kepada rakyat. Sambil mengakui terdapat beberapa masalah berkaitan urusan penyebaran maklumat dari kerajaan negeri, beliau meminta para blogger bersikap lebih proaktif dalam membalas fitnah yang dilemparkan kepada kerajaan negeri oleh pihak musuh. Demikian antara amanat YAB Menteri Besar Perak, Muhammad Nizar Jamaluddin dalam diantara blogger-blogger Pas Perak disini semalam.

Hadir sama dalam pertemuan pertama kali seumpama itu ialah ADUN Titi Serong, Khalil Idham Lim,Setiausaha Politik, Misbahulmunir dan SU Akhbar MB Perak , Anuar Hashim.

Diantara blogger yang hadir ialah Cina-Islam, Alhusseyn, Warta Sg Rapat, Bumi Perak, Anak Sengat, Budak Ipoh Timur, Pas Tambun, Telok Bakong Online, wakil YB Roslan Shaharom (dari Bukit Gantang) dan Ajijoi.

MB sendiri juga mempunyai blog sendiri (kamparinn.blogspot.com), Setiausaha politik dengan blognya, misabah.blogspot.com dan Setiausaha Akhbar MB, Sdr Anuar dengan blog anuarhashim.com.

Kesudian YAB MB meluangkan sedikit masa untuk mendengar sendiri pandangan dan saranan daripada kami demi penambah baikan penerangan dan juga isu-isu yang timbul mengenai kerajaan negeri amat kami hargai. Perjumpaan antara blogger dengan MB

Perjumpaan juga dapat menambahkan lagi ikatan ukhuwwah diantara blogger disamping dapat berkongsi-kongsi pandangan dan idea untuk memantapkan dan menyelaraskan berita-berita serta komentar tentang sesuatu isu didalam blog-blog yang selenggarakan.

Antara keputusan penting yang diambil ialah penubuhan sebuah Jawatankuasa untuk menyelaras sebuah wbsite yang dicadangkan dengan nama perakini.com. jawatankuasa tersebut dipengerusikan oleh ADUN Titi Serong, Timbalannya, Al Husyyen, dan Setiausahanya SU Akhbar MB.



Nasyid Syahid Imam Samudera

Hidup mulia atau Mati syahid - Nasyid ini di nyanyikan sebelum di tahan atau sebelum di bunuh...



Henti pertikai fatwa haram yoga


KOTA BHARU - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menggesa supaya pelbagai pihak berhenti daripada mempertikaikan fatwa pengharaman amalan yoga secara sistematik yang diputuskan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan menyokong fatwa tersebut dan berpendapat tidak ada masalah untuk mewartakannya di negeri ini kerana ia jelas bertentangan dengan ajaran Islam.
Beliau berkata, kewujudan amalan seperti jampi yang digunakan dalam senaman menjurus kepada kaitan hubungan dengan tuhan adalah perkara yang boleh memesongkan akidah umat Islam.

"Saya secara peribadi bersetuju dengan fatwa ini, saya rasa ia tidak masalah untuk diwartakan di sini... terpulang kepada Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) untuk melaksanakannya. "Saya tidak tahu apa yang disebut dalam jampi yoga, tetapi disebabkan yoga ini datang daripada mereka yang tidak bertuhankan Allah, sudah pasti dalam jampi dia sebut nama benda lain," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai fatwa yang meminta umat Islam negara ini tidak mengamalkan senaman yoga secara sistematik yang didapati mengandungi unsur-unsur keagamaan, mantera dan pemujaan.

Pengerusinya, Prof. Datuk Dr. Abdul Shukor Husin berkata, Majlis Muzakarah Kebangsaan memutuskan apa jua bentuk amalan yang mengandungi unsur-unsur tersebut adalah dilarang kerana bertentangan dengan Islam.

Semalam, Sisters In Islam (SIS) dilaporkan menolak keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan mengharamkan amalan senaman yoga kerana tiada sebarang bukti dikemukakan bagi mewajarkan yoga diharamkan.

Pengurus Program SIS, Norhayati Kaprawi berkata, sehingga kini negara tidak pernah menerima apa-apa aduan atau bukti yang mengatakan ada individu beragama Islam bertukar kepada agama Hindu selepas mengamalkan senaman yoga.

Nik Abdul Aziz berkata, tidak ada ajaran dalam Islam melalui al-Quran atau hadis yang mengatakan senaman boleh menyatukan diri dengan tuhan. "Sebagai orang Islam, masing-masing mengetahui kekuasaan tuhan dan mengakuinya, jadi kenapa perlu sebut nama lain dalam jampi selain Allah. "Tuhan bukan manusia, kita bukan boleh berunding dan berbincang, apa jaminan kita ini (manusia) boleh bersatu dengan Allah?,'' katanya.



Top 10 : Beza Pemilihan Kepimpinan PAS dan UMNO..


Beza antara PAS dan UMNO bagaikan langit dan bumi. Dalam artikel ini dipaparkan 10 perbezaan besar antara pemilihan kepimpinan UMNO dan PAS. Pemilihan calon-calon UMNO pun dah dekat. Bak kata TKO, masa untuk bercakar!! Ahli-ahli UMNO dan PAS boleh muhasabah diri sama-sama lepas ni.

TOP 10 Perbezaan Pemilihan UMNO dan PAS:

1. Bak kata Allayarham Ustaz Fadzil, dalam PAS, yang dilihat nak jawatan tak dapat! Dalam UMNO pulak, jawatan dapat pada yang paling kuat melobi dan paling teringin nak jawatan tuh.

2. Dalam PAS masing-masing kalau boleh tak nak pegang jawatan pasal jawatan itu amanah. Nama Nizar tak pernah kedengaran sebelum tiba-tiba dilantik jadi MB Perak. Dalam UMNO pula, baru nak bertanding jawatan dah riuh sekampung! Belum dilantik lagi tuh..

3. Dalam PAS, ilmu agama jadi ukuran pemilihan. Sekalipun golongan profesional dilantik, mereka kena ada asas agama yang kukuh. Dalam UMNO pula, lagi jahil lagi berpotensi. Seorang ahli UMNO yg membuat kenyataan agar waktu disco dipanjangkan dan harga arak dikurangkan dilantik jadi Setiusaha BN. Cantik!!

4. Dalam UMNO, mesti bijak ekonomi. Maaf! Pembetulan! Mesti pandai pijak ekonomi. Waktu ekonomi elok, buat mahligai besar-besar. Nasib rakyat dipijak-pijak. Waktu harga minyak dunia naik, UMNO naikkan mendadak. Bila harga minyak dunia turun, turun sikit-sikit. Alih2 rakyat pula yg bagi subsidi kepada kerajaan. Dalam PAS, kepimpinan tak sibuk buat duit. Rasa nak menangis tengok rumah Tok Guru!

5. Dalam PAS, politik nombor 2, agama No.1. Sekalipun Nakhaie UMNO kata dalam PAS politik nombor 1, kita boleh pertikai. Tok Guru Nik Aziz dah kata, kalau UMNO setuju dengan Islam, syariat Islam, hudud, qisas, kita bubar aje PAS ni. Islam no.1, yang lain semua kemudian. Ahli PKR seperti Zulkifli Nordin pun terikut-ikut. Berkawan dengan ustaz, alih-alih kita pun ada ciri-ciri ustaz. Dalam UMNO pulak, agama no.18. Itupun Islam Hadhari.. kwah kwah kwah

6. Dalam PAS, tak tutup aurat toksah mimpi la nak pegang jawatan, ahli-ahli confirm reject! Dalam Wanita UMNO, yang bertudung akan jadi kuli dan pakat-pakat melantik bos dikalangan yang tidak reti menutup aurat. Ana tak pernah dengar Ummu Hadhari Mashitah menasihat UMNO agar tutup aurat. Lanyak PAS selalu la..

7. Dalam UMNO, pemimpin kena pandai memfitnah. Kena pandai fitnah meliwat, putar belit ayat, mengugut, mengampu , dan merasuah. Bukan saya yang cakap, che det yang cakap dalam blognya bahawa rasuah semakin menjadi-jadi. Dalam PAS, kalau jenis memfitnah ni akan diboikot.

8. Politik wang. UMNO dan politik wang ni macam tahi dan busuk. Rasa tak sah tahi kalau baunya tak busuk. PAS dan politik wang pula macam minyak wangi dan rasa manis (sweety). Takde kaitan.. Tak taulah kalau ada orang yang minum minyak wangi..

9. Ulama' jadi keutamaan. Profesional seperti doktor dan engineer yg juga ulama jadi keutamaan. Dalam UMNO, keutamaan diberi kepada yang paling banyak hulur-hulur. Bak kata Dr Asri, ada pemimpin UMNO yang mengadu kalah kepada penagih sedangkan pemimpin tersebut taraf doktor di universiti...

10. Kena pandai bergaduh. Kepimpinan UMNO faham bahawa gaduh itu satu seni. Boleh baling-baling meja, buat repot polis, surat layang dan sebagainya. Kepimpinan PAS ni tak pandai bergaduh. Orang ajak keluar masjid nak bertumbuk pun taknak!! Takpelah. Kita bangsa aman damai, bukan bangsa hadhari...

Lesen jualan arak di Selangor disemak semula.


Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menjadi pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama di Selangor di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat (PR) yang akan membataskan jualan minuman keras berkuatkuasa Januari depan.

Ia telah diluluskan dalam mesyuarat MBSA hujung bulan lepas, kata sumber-sumber majlis itu
. Langkah ini dianggap sebagai kejayaan pertama usaha PAS di Selangor untuk menguatkuasakan peraturan tersebut seperti mana diperkenalkan di Kelantan yang ditadbir oleh parti itu.

Sebelum ini, dilaporkan mesyuarat exco kerajaan Selangor telah menolak cadangan tersebut yang dikemukakan oleh pihak PAS.


Berikutan itu, timbul desas-desus yang mengatakan PAS akan meneruskan usahanya dengan meminta ahli-ahli majlis dari parti itu supaya mengemukakan cadangan tersebut di PBT yang mereka wakili.


Menurut sumber-sumber MBSA lagi, berikutan itu, pengeluaran lesen bagi tiga premis - kedai runcit, restoran dan kedai serbaguna 24 jam - akan disemak semula.


"Mereka perlu mengemukakan rayuan yang akan dipertimbangkan oleh jawatankuasa pelesenan yang juga dianggotai ahli MBSA," kata sumber-sumber tersebut.

Dalam perkembangan ini ketua publisiti DAP Tony Pua dipetik oleh Malaysiakini sebagai berkata PAS ‘bongkak dan sukar bekerjasama.” Tindakan parti Islam yang membelakang sentimen sokongan pengundi bukan Islam yang memberikan kemenangan kepada PR boleh melemahkan kerajaan gabungan itu, kata Tony Pua.

Tony mengulas laporan akhbar-akhbar berbahasa Cina hari ini yang menyebut PAS sedang memperkenalkan langkah sedemikian di restoran, kedai runcit dan kedai serbaguna 24 jam melalui anggota-anggotanya yang berada di majlis-majlis pihak berkuasa tempatan.


Bagi saya langkah MBSA ini memang sangat baik. Inilah antara perkara yang saya inginkan dari PR, terutamanya PAS di Selangor.
Saya kira Tony Pua jangan cepat melatah. Apa yang ingin dilaksanakan ialah, sekali lagi, untuk kebaikan umat Islam. Lagipun MBSA hanya “membataskan jualan minuman keras”, bukannya tidak membenarkan terus.

Ambil contoh di Kelantan, bukti sudah menunjukkan bahawa isu menghadkan penjualan arak ini bukan susah sangat. Jika mahu boleh buat. Cuma jangan jadikan perkara ini terlalu payah untuk dilaksanakan.


Saya tidak setuju dengan pandangan Tony Pua yang katanya “membelakang sentimen sokongan pengundi bukan Islam”.
Ini kan untuk kepentingan orang Islam. Cuma hadkan jualan di kedai runcit, restoran dan kedai serbaguna 24 jam. Dalam masa yang sama masih banyak kedai-kedai yang diusahakan oleh kaum Cina dan premis lain yang diusahakan oleh orang bukan Islam yang masih menjualnya.

PAS FOR ALL!




Terengganu tempat orang bunuh diri??


KES PERTAMA (BESUT)

Jumaat 14 November, seorang remaja berusia lingkungan 20-an telah membunuh diri dengan mengantung diri di atas pokok di halaman rumahnya di Jerteh.

KES KEDUA (Kuala Terengganu)

Pada Jumaat, 21 November, seorang gadis berusia 18 tahun cuba membunuh diri dengan mengugut terjun dari tingkap 10 sebuah hotel di Bandar Kuala Terengganu. LAGI>>>


KES KETIGA ( Hulu Terengganu)

AHAD 23 November, seorang wanita berusia 39 tahun yang juga isteri kedua cuba membunuh diri dengan terjun dari sebuah bangunan empat tingkat di bandar kuala berang. LAGI....


Sembelih Binatang

azhar1


1. Supaya daging tidak berlemak

  1. Ada wudhu’ ketika sembelih binatang
  2. Mata pisau disapu terlebih dahulu dengan minyak yang ada dibahagian hidung kita
  3. Hulu pisau dibungkus dengan kertas atau sebagainya
  4. Mata pisau dikilir atau digerakkan dengan belakang tapak tangan


2. Supaya daging binatang menjadi lembut


a. Mata pisau diletak dekat butir halkum binatang


b. Kedudukan seluruh badan kita jangan berbetulan dengan mata pisau


c. Tahan nafas sewaktu hendak sembelih dan semasa sembelih maka nafas dilepas secara perlahan-lahan


3. Bacaan ketika mahu sembelih binatang supaya daging tidak berbau busuk


بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ وَلِلَّهِ الحَمْدُ

اللّهُمَّ هَذَا هَذَا مِنْكَ وَإِلَيْكَ فَتَقَبَّلْ مِنَّا كَمَا تَقَبَّلْتَهُ مِنْ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيْمَ خَلِيْلِكَ وَمِنْ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ عَبِيْدِكَ وَرَسُوْلِكَ اللّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ رِضَاكَ وَالجَنَّةَ


4. Selesai sembelih binatang maka sapukan hujung mata pisau kepada pipi binatang tadi supaya lalat tidak datang menghurungi daging


5. Supaya mencukup atau memadai daging bagi setiap jamuan


بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ ِلإِيْلاَفِ قُرَيْشٍ إِيلاَفِهِمْ رِحْلَةَ الشِّتَاءِ وَالصَّيْفِ

Hembus dan sapu kepada badan binatang bermula bahu hingga punggungnya

6. Jangan basuh tangan dan mata pisau sehingga binatang sembelihan benar-benar telah mati

Sebaiknya tukang sembelih tidak menjadi tukang yang memandikan mayat kerana biasanya boleh membawa kepada daging menjadi keras.


Petua ini diamalkan oleh Tuan Guru Hj Hashim Mudir Pondok Pasir Tumboh




Keadaan politik tidak izinkan saya berundur - Nik Aziz

Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini berkata, keadaan politik semasa masih tidak membolehkan beliau untuk melepaskan jawatan yang disandangnya selama lebih 18 tahun.

Namun sekiranya terdapat desakan yang jelas di kalangan ahli Pas agar dirinya berundur, Nik Abdul Aziz menegaskan, beliau tidak akan menunggu lebih lama dan tidak teragak-agak berbuat demikian.

Malah katanya, ia boleh dilakukan sekarang kerana sudah lama berhasrat untuk berundur atas faktor kesihatan tetapi beliau tetap mengutamakan kepentingan perjuangan parti.

''Tiada sampai ke telinga saya setakat ini (desakan) untuk berbuat demikian (berundur) disebabkan saya selalu uzur.

''Kalau betul ada orang Pas mahukan saya undur, saya undur selalu (sekarang), petang ini juga saya buat. Dah lama saya nak buat begini (berundur) tapi orang tak bagi," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas laporan kononnya ada kalangan pemimpin Pas yang mahukan Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am Pas berundur tetapi tidak berani menyatakan secara terbuka.

Soal beliau bakal berundur dan siapa bakal penggantinya sudah beberapa kali mencetuskan isu termasuk semasa pilihan raya umum Mac lalu.

Menurut Nik Abdul Aziz, selain desakan agar beliau tidak berundur, ada beberapa faktor lain yang masih menjadi halangan baginya untuk melepaskan jawatan itu.

''Masalah-masalah baru timbul sekarang seperti keadaan politik yang tidak mengizinkan. Dalam keadaan bergelora, angin kencang, saya sebagai kapten, mana boleh saya tidur.

''Kerajaan pimpinan UMNO sekarang juga dalam keadaan separuh sedar, lagi saya tak boleh tinggal. Kalau UMNO dah tak kuat lagi, baru boleh saya tinggal, sebab masa itu dah tak ada musuh lagi," ujarnya.

Katanya, tidak timbul kesukaran bagi Pas mencari pengganti tetapi beliau tidak akan menyebut siapa yang bakal mengambil alih kelak.

''Saya tak boleh sebut siapa pengganti saya, sama macam ketika Datuk Asri dulu, tak ada siapa jangka saya yang ganti.

''Kalau saya sebut, bermaknanya hanya seorang, bagaimana yang lain. Tiap-tiap seorang ada kelebihan sendiri dan saya serahkan kepada Perhubungan. Timbalan-timbalan saya semua berkebolehan," jelas beliau.


Terengganu Negeri Terakhir Bentang Bajet 2009

http://buletinonline.net/images/berita14/wahiddun.jpgKuala Terengganu – Terengganu merupakan negeri terakhir membentangkan bajet untuk tahun 2009 kerana pihak kerajaan negeri tidak pasti berapa pendapatan yang akan diterima.


Bendahari PAS Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut berkata Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama,

Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedua Belas akan diadakan pada 14 hingga 18 Disember depan.

Beliau yang juga anggota DUN yang mewakili Wakaf Mempelam sejak tahun 1986 berkata kerajaan negeri terpaksa mememilih tarikh tersebut kerana sudah terlalu lewat.

“Semua negeri-negeri lain baik yang diperintah oleh Pakatan Rakyat atau pun Barisan Nasional telah selesai membentangkan bajet 2009 masing-masing,


“Terengganu terpaksa buat terlalu lewat sehingga minggu kedua bulan Disember dan ia tidak pernah berlaku sebelum ini,

“Ini berlaku kerana tidak pasti berapakah ‘penerimaan bukan hasil’ dari dana ehsan yang akan diterima dari kerajaan pusat,”katanya ketika ditemui selepas mesyuarat pra-sidang DUN wakil-wakil PAS di pejabat PAS Terengganu baru-baru ini.


http://buletinonline.net/images/berita14/sidangdunlewat.jpg
Oleh itu, menurutnya kerajaan negeri tidak dapat menyediakan bajet tersebut kerana hasil yang dijana dalam negeri sendiri tidak mampu untuk menampung perbelanjaan.

Katanya kerajaan negeri memperolehi hasil cukai dan bukan cukai sebanyak RM140 juta pada tahun 2006 dan RM162 juta pada tahun 2007 berbanding perbelanjaan sebanyak RM 1.4 bilion pada tahun 2006 dan RM1.5 bilion pada tahun 2007. (Jadual dibawah)

“Bila tak pasti berapa banyak kerajaan pusat akan beri, Terengganu tak dapat buat bajet kerana perbelanjaan Terengganu terlalu banyak, 10 kali ganda berbanding hasil,”ujarnya.

Menyentuh tentang soalan-soalan yang akan dikemukakan dalam sidang DUN akan datang, beliau berkata sebanyak 74 soalan lisan dan 35 soalan bertulis yang dikemukakan.

“Sidang DUN kali ini agak panjang, kita (PAS) harap soalan-soalan yang dikemukakan tidak ditolak kerana ia melibatkan kepentingan rakyat,

“kita juga berharap kerajaan menjawab dengan jujur dan memberikan jawapan yang telus ada penanggungjawaban, bukan hanya sekadar menjawab tetapi ‘susup’ (sembunyikan) fakta,”tambahnya

Hasil dan Prbelanjaan Terengganu 2006 - 2007
http://buletinonline.net/images/berita14/hasiltrg20062007.gifhttp://buletinonline.net/images/berita14/belanjatrg20062007a.gif



Harga minyak RM2, rakyat bayar cukai 38 sen seliter - Mahfuz

KUALA LUMPUR, 25 Nov - Kerajaan disifatkan seperti 'Along' yang memungut hutang apabila hanya menurunkan harga minyak pada kadar RM2 walaupun harga pasaran di pam ialah RM1.62 sen.

Menurut Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar kerajaan berbuat demikian hanya untuk mengutip kembali rebat tunai minyak yang pernah diberikan ketika harga minyak melambung beberapa bulan lalu.

"Kini kerajaan umpama Along, turunkan harga minyak jadi RM2, sedangkan Menteri KPDNHEP, Dato' Shahrir Samad mengakui harga sepatutnya di pam ialah RM1.62 sen tanpa subsidi kerajaan," kata Mahfuz.

Menurut Mahfuz, dengan harga minyak RM2 juga, rakyat terpaksa membayar cukai kepada kerajaan sejumlah 38 sen seliter, dan inilah cara kerajaan mengutip kembali rebet yang pernah diberikan.

Tidak dinafikan kerajaan masih terus memberikan rebet tersebut hari ini apabila rakyat memperbaharui cukai jalan, namun sedikit demi sedikit kerajaan mengutipnya dengan cara cukai 38 sen seliter, dakwa Mahfuz.

Beliau melahirkan rasa kecewanya terhadap sikap kerajaan yang tidak bertindak menurunkan kadar harga minyak kepada harga yang sepatutnya tatkala ekonomi rakyat semakin parah.


Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .