Ikuti Blog ini
Pemangku Raja terharu sambutan rakyat , at 14.1.10,


PENGKALAN CHEPA, 14 Jan: Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra petang ini penuh sesak dengan kebanjiran orang ramai bagi menyambut keberangkatan pulang Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra.
Baginda tiba jam 4.28 petang dan ketika keluar dari bilik istirehat diraja, Pemangku Raja melambaikan tangan sambil mengucapkan terima kasih berulang kali kepada orang ramai.
Wajah Tengku Muhammad Faris jelas terharu dan kelihatan mengalir air mata dengan kehadiran rakyat jelata.
Baginda berpakaian baju Melayu berona merah terang.
Sebelum baginda berangkat ke istana, baginda dan pemimpin negeri mengaminkan doa dibaca Timbalan Mufti Kelantan, Datuk Che Rahim Jusoh.
Keberangkatan pulang baginda disambut oleh Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, timbalannya, Datuk Ahmad Yakob, Speaker Dun, Nasuruddin Daud, anggota-anggota Exco, wakil-wakil rakyat dan pegawai kerajaan.
Pengelola Istana D’raja Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad bersama pegawai kanan istana juga kelihatan.
Dianggarkan lebih 5,000 berhimpun di terminal tersebut yang terdiri pelbagai lapisan rakyat. Turut kelihatan masyarakat Cina, India dan Siam.
Alim ulama termasuk pelajar pondok yang berpakaian jubah putih juga ramai. Anggota pasukan keselamatan yang diketuai Ketua Polis Kelantan, Datuk Rahim Hanafi mengawal keadaan.
Suasana agak tenang biar pun kesesakan berlaku di luar dan dalam bangunan terminal.
Turut dilihat banyak sepanduk yang bertulis ‘Rakyat Menjunjung Kasih dan Taat Setia Kepada Pemangku Raja’.
Ada juga sepanduk ‘Daulat Tuanku’ yang bertulis lambang Umno.
Difahamkan, sebaik tiba Pemangku Raja dijangka bertitah kepada orang ramai yang hadir menyambut keberangkatan baginda.
Pentas khas disediakan di luar bangunan terminal.
Orang ramai mulai tiba di lapangan terbang tersebut kira-kira jam 2.30 petang tadi.
Ketika jam menghampiri 4 petang bilangan rakyat tambah ramai dianggarkan hampir 5,000 orang berkumpul di lapangan terbang.
Anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Takiyuddin Hassan memberitahu majlis sambutan Pemangku Raja dianjurkan kerajaan negeri dengan kerjasama NGO.
Katanya, semua pegawai kerajaan negeri di peringkat jajahan, pihak berkuasa tempatan dan parti-parti politik turut menyambut keberangkatan pulang baginda bagi menzahirkan rasa kasih serta taat setia yang tidak berbelah bagi.
“Biar pun penerimaan rakyat terhadap baginda begitu baik, namun taat setia dari mereka dan kerajaan perlu diperjelaskan.
“Malam ini sekali lagi kita akan berhimpun di Stadium Sultan Muhammad Ke-1V untuk menunaikan solat sunat hajat dan kita minta rakyat hadir pada majlis itu yang bermula solat Maghrib,” ujarnya.
Tok Guru Nik Aziz: Politik suku agama suku punca Melayu lemah , at 14.1.10,
KOTA BARU – Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengulangi pendiriannya amalan agama suku politik suku menjadi punca kekuatan orang Melayu terhakis, sekali gus menyebabkan banyak kecelaruan di kalangan masyarakat dalam negara. “Dasar, ataupun prinsip itu ternyata bercanggah dengan apa yang dilakukan Nabi. Bercanggah dengan al-Quran dan bercanggah juga dengan sirah Nabi Muhammad SAW.
“Disebabkan percanggahan-percanggahan sedemikianlah timbulnya pelbagai kecelaruan. Dan kecelaruan itu sebenarnya berpunca dari kelemahan orang Melayu sendiri, orang Melayu yang memperlekehkan agamanya sendiri.
“Masyarakat sebenarnya celaru dengan apa yang dikatakan agama suku dan politik suku ini... bahkan disebabkan itu juga orang beragama lain cuba mencuri peluang untuk mencelarukan kita,” kata beliau.
Mursyidul Am PAS ini mengulas ancaman gejala sosial di kalangan masyarakat yang sanggup bertindak ganas membakar gereja ekoran kontroversi isu penggunaan kalimah ‘Allah’ bagi penerbitan akhbar mingguan Herald.
Padah ajaran agama suku politik suku, Nik Aziz mengingatkan kembali salah seorang pemimpin kerajaan sanggup berkata Islam sesuai dan munasabah pada zaman unta.
“Seolah-olah baginya Islam sudah tidak sesuai pada zaman ini. Ini juga satu kecelaruan.
“Jadi apa peliknya kalau orang lain pun cuba untuk mencelarukan kerana kelemahan kita sendiri,” katanya.
Mengulas lanjut penggunaan kalimah ‘Allah’ oleh Herald, Nik Aziz sebaliknya bertanya “kenapa tidak ambil Islam terus?”
“Pada asasnya saya telah jawab. Perkataan itu boleh digunakan tapi oleh kerana ada mainan di belakang, usul fekah menyebut, benda harus melibatkan perkara bahaya ia hendaklah disekat. Benda harus juga, tapi kalau ada manfaatnya, wajib.
“Kalau orang nak kalimah Allah dengan ikhlas, betul... lebih baik dia naik setangga lagi iaitu agama Allah sendiri, Islam. Ambil agama-Nya,” jelasnya.
Keputusan Mahkamah Rayuan, Nizar MB Perak yang sah? , at 14.1.10,

Merujuk kepada isu yang disebarkan melalui sms mengenai keputusan Mahkamah Rayuan yang berpihak kepada MB Pakatan Rakyat Perak, Ds. Hj. Muhammad Nizar Jamaluddin, maka saya suka untuk memberi beberapa kenyataan media seperti dibawah ;-
1. Saya menafikan bahawa pihak Mahkamah Rayuan telah mengumumkan bahawa siapakah MB Perak yang sah.
2. Namun begitu, pendengaran kes dihadapan 5 hakim pada 5hb November, 2009 telah pun lengkap dan habis bagi peguam dipihak MB Pakatan Rakyat dan MB Kudeta Perak, namun sehingga kenyataan ini dikeluarkan saya mengesahkan bahawa Ds. Nizar masih belum dipanggil ke mahkamah yang sama bagi mendengar keputusan yang telah ditentukan. Oleh itu isu dan berita angin siapakah pemenangnya tidak berbangkit.
3. Namun begitu, Pakatan Rakyat Perak mengambil sikap dan suka menghebahkan kepada umum dimana kami berpendirian bahawa besar kemungkinan keputusan adalah memihak kepada Ds. Nizar sebagai MB Perak yang sah, sehingga telah melebihi dua bulan masih tidak diumumkan oleh hakim mahkamah rayuan. Satu tempoh yang begitu lama dan tidak munasabah yang diambil oleh hakim mahkamah rayuan bagi menentukan siapakah MB yang sah menguatkan lagi jangkaan itu.
4. Selain itu sekiranya keputusan mahkamah memihak kepada Zambry, kenapakah ianya tidak diumumkan dan mengambil masa yang begitu lama untuk disahkan. Satu persoalan yang pada pandangan kami menyebabkan wajar timbul isu dan cakap-cakap yang mengatakan keputusan memihak kepada Ds. Nizar.
5. Kerana itu saya menyeru kepada seluruh penyokong dan pendokong Pakatan Rakyat di Perak supaya terus mempertingkatkan usaha untuk menyusun seluruh kekuatan melalui semua jentera di semua Parti PAS, DAP dan PKR serta pada gabungan sekretariat Pakatan Rakyat di peringkat Parlimen bagi menghadapi sebarang kemungkinan pembubaran DUN Perak.
6. Segala langkah yang perlu bagi memastikan semua calon Pakatan Rakyat yang bertanding menang adalah keutamaan yang mesti didahulukan. Seterusnya merialisasikan hasrat Parti dan rakyat untuk melihat Pakatan Rakyat kembali memegang tampuk pemerintahan di Negeri Perak yang kita cintai.
Kenyataan Media 14hb Januari, 2010
YB.Drs. Khalil Idham Lim
Sekretariat Pakatan Rakyat Perak.
Berita yang tak diberitahu pada orang kampung dan orang felda , at 14.1.10,
DS Nizar lebih popular berbanding Najib , at 14.1.10,

KUALA LUMPUR : Google.com meletakkan Menteri Besar Pakatan Rakyat Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaludin sebagai antara insan yang paling banyak mencetuskan berita atau diberitakan di Malaysia sepanjang tahun 2009.
Tokoh PAS itu turut mengatasi populariti Perdana Menteri, Najib Razak dan Menteri Pengangkutan, Ong Tea Keat yang masing-masing berada di tangga ke 8 dan ke 9.
“Ini merupakan penghargaan kepada rakyat khususnya di Perak yang selama ini kekal bersama dengan harapan ke arah perubahan dalam negara yang lebih baik,” katanya ketika dihubungi erapakatan.com.
Menurut Ahli Parlimen Bukit Gantang itu, rakyatlah yang mencetuskan berita selama ini kerana mereka yang dahagakan keamanan dan keadilan yang semakin cuba dikuburkan oleh Umno dan Barisan Nasional.
Terdahulu, Nizar yang diamanahkan sebagai MB Perak selepas Pakatan Rakyat berjaya menawan negeri itu digugat oleh Umno dan BN yang melakukan rampasan kuasa setahun lalu sehingga mencetuskan pelbagai masalah dalam negara khususnya di Perak.
Rampasan kuasa itu turut meletakan ekonomi negeri Perak terganggu selain menyaksikan perlembagaan negara di atur sesuka hati oleh kerajaan Umno dan BN.
Nizar menambah, beliau tidak faham mengapa sehingga kini Mahkamah sukar menetapkan tarikh untuk menetapkan perbicaraan bagi menentukan siapakah Menteri Besar Perak yang sah.
Google turut meletakan Nizar sebagai lelaki paling popular dalam carian mereka sepanjang tahun 2009.
Turut tersenarai dalam 10 tangga teratas itu ialah Fasha Sandha, Zakiah Anas, Sufiah Yusof, Kartika, Elizabeth Wong, Manohara Odelia Pinot dan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad di tempat ke-2.
UMNO Juara Slogan sebenarnya...!!! , at 13.1.10,
Sejak dari dulu kini dan mungkin selamanya Umno akan 'menjual' slogannya kepada rakyat semata-mata untuk mengabui dan mempengaruhi rakyat menyokong mereka.
nukilan oleh SOFI WAHAB
Terengganu Darul Runtuh , at 13.1.10,
Taat setia kepada Pemangku Raja - TG Nik Aziz , at 13.1.10,

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di sini, hari ini.
Menurutnya, kerajaan negeri yakin Pemangku Raja telah bertindak dengan sebaik mungkin untuk melaksanakan tugas-tugas yang diamanahkan iaitu menjalankan segala kuasa dan tanggungjawab Sultan Kelantan mengikut perlembagaan.
Tegasnya lagi, selaras dengan tataurus dan pentadbiran kerajaan negeri yang dijalankan berlandaskan undang-undang, terutamanya Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan, maka kerajaan negeri sentiasa mematuhi serta menjalankan segala perkara yang dititah termasuk segala arahan baginda selaras dengan peruntukan Perkara 4 Fasal 1 Perlembagaan.
“Antara lain perlembagaan menyebut Kebawah Duli Yang Maha Mulia, maknanya Sultan bagi negeri dan termasuk Waris Gantinya dan, jika kebetulan dengan maknanya termasuk Al-Marhum Raja-Raja yang memerintah yang dahulu daripadanya dan jika ada Pangkuan Raja, termasuk Pemangku Raja atau jika ada Majlis Pangkuan Raja, termasuk majlis itu,” ujarnya.
Jelasnya, kerajaan negeri adalah sebuah kerajaan yang sah dan dipilih oleh rakyat mengikut saluran undang-undang, sistem demokrasi berparlimen dan Raja Berpelembagaan mengikut Perkara 10 Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan, dengan jelas memperuntukkan undang-undang berkenaan.
“Kuasa memerintah hendaklah diserah kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia tetapi tanggungan-tanggungannya bolehlah di bawah undang-undang, dikurniakan kepada mana-mana orang atau mana-mana kuasa,” jelasnya.
Beliau mewakili kerajaan negeri turut menyeru rakyat seluruhnya berdoa kepada Allah semoga Sultan Kelantan bertambah sihat dari kegeringan dan menyertai solat sunat hajat yang diadakan di Stadium Sultan Muhammad IV malam esok.
Katanya, majlis bermula dengan solat Maghrib akan dihadiri Pemangku Raja.
“Solat sunat hajat ini diadakan bertujuan untuk memohon pada Allah semoga Kelantan yang sentiasa aman bertambah makmur tanpa sebarang kacau-bilau,” ujarnya.
Antara Nama Allah dan Kelab Malam.... di mana UMNO???? , at 13.1.10,
Lima buah kelab malam terkemuka di Jalan P. Ramlee di sini yang sebelum ini lesen hiburannya dibatalkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kerana menghasilkan bunyi bising melebihi had kini dibenarkan untuk memperbaharui lesen berkenaan.
Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, beliau membuat keputusan itu setelah pengusaha-pengusaha kelab itu merayu dan berjanji untuk mengawal paras bunyi berkenaan.
“Setelah berbincang dengan pengusaha-pengusaha kelab ini, saya dah buat keputusan untuk memberi laluan kepada pengusaha-pengusaha kelab ini memperbaharui lesen mereka.
“Mereka telah menulis surat rayuan, di mana mereka telah merayu dan mohon maaf kepada Datuk Bandar dan juga DBKL atas tindakan lalu iaitu berkenaan dengan pengawalan paras bunyi dan mereka berjanji akan mengambil tindakan sewajarnya selepas ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Kelab malam yang terlibat ialah Rum Junggle, Bar & Restaurant, Beach Club Cafe, Thai Club & Bistro, Passion atau Padi House serta Aloha. Beliau berkata, kelima-lima pengusaha kelab berkenaan memberi jaminan kepadanya bahawa tidak akan wujud paras bunyi yang lebih daripada had ditetapkan.
Menurutnya, standard bunyi pada waktu siang tidak melebihi 55 desibel dan pada waktu malam tidak melebihi 65 desibel.
Sementara itu, di Petaling Jaya, Menteri Pelancongan Datuk Seri Ng Yen Yen berkata, beliau menemui Raja Nong Chik meminta agar DBKL menimbangkan tindakan mereka.
Ng berkata, penutupan premis hiburan tidak sepatutnya berlaku kerana sepanjang Jalan P.Ramlee dikenali sebagai kawasan hiburan di waktu malam.
Beliau berkata, Raja Nong Chik juga mempunyai pandangan sama dan bersetuju mengkaji semula garis panduan dan peraturan mengenai gangguan ketenteraman awam disebabkan bunyi daripada premis hiburan.
–BERNAMA-
Sehari sebelum demontrasi NGO Umno bagi membantah penggunaan nama Allah di Masjid Negara 8 Januari lepas, Menteri Umno di Wilayah Persekutuan, Nong Chik Zainal Abidin telah meluluskan rayuan memperbaharui lesen 5 kelab malam. Sebelum ini lesen-lesen kelab berkenaan telah dibatalkan kerana bunyi bising melebihi had.
Nampaknya, pemimpin Umno juga tidak lupa untuk mempertahankan pusat-pusat pesta arak dan gejala sosial ini. Baguslah tu, siang berdemo bela nama Allah, malam pi pulak layan demo kat kelab malam….bila PPIM dan NGO nak pi berdemo kat Kelab Malam?
Kisah kemalangan - DS Nizar menulis ! , at 13.1.10,
Terlebih dahulu saya bersyukur ke hadrat Allah SWT yg melindungi saya dan seisi keluarga sepenuhnya dalam satu musibah kemalangan jalan raya pada 7 Jan 2010(khamis) , jam 9.20 pagi. Ianya berlaku sewaktu dalam perjalan ke klinik pergigian di Silibin apabila tiba-tiba sebuah kereta masuk trus kelorong laju dari persimpangan jalan Seruan yg mana saya terpaksa mengelak dari melanggarnya secara direct kerana ketika itu saya sedang memandu agak laju.
Alhamdulillah, kereta Volvo yg dielak itu hanya tergesel dibahagian hadapan kanan tetapi kereta Camry yg saya pandu terpaksa naik dan melanggar pembahagi jalan di tengah dan trus tercampak dan terbalik 4 roda keatas di pembahagi jalan tersebut.
Sekonyong seorang pemuda menaiki Satria merah berhenti (mungkin kenal saya atau kereta saya) dan terus bertanya sama ada saya mahu di bawa ke hospital atau klinik pakar. Saya minta dibawa ke hospital Permaisuri Bainun dan kami terus menaiki keretanya yg terlihat saya anak kecilnya sedang berbaring dibelakang. Dalam perjalanan saya sempat bertanya asalnya dan tempat tinggal serta berkerja dimana.
Saya juga sempat menalipon sdr Amran dan petugas. Sampai di hospital jam 9.30 pagi saya terus ke unit kemalangan dan kecemasan untuk menerima rawatan dan terus dimasukan ke wad 8 Teratai.
Saya berada selama 4 hari di wad tersebut dan menerima rawatan sepenuhnya dari doktor, jururawat, matron dan kesemua petugas hospital. Ramai pelawat dan pengunjung juga hadir termasuk sanak saudara jauh dan dekat.
Penerangan Kerja Rasul Dan Nabi ,Selasa, Januari 12, 2010 at 12.1.10,
Penerangan adalah kerja mulia dan penerangan ialah kerja Rasul-Rasul dan Nabi-Nabi, demikian ditegaskan oleh YAB Tuan Guru Dato' Nik Aziz bin Nik Mat Mursyidul Am Pas dan juga Menteri Besar Kelantan ketika menutup Majlis Penerangan Isu-Isu Semasa di Bangunan MBSA. Oleh kerana penerangan kerja Rasul dan Nabi penerangan hendaklah perkara yang benar dan membawa kepada kebaikan, tambahnya.Beliau menjelaskan sebagai contoh ayat-ayat Quran yang bermula dengan 'Qul' bermaksud, 'Katakan' atau 'Sebutkan' atau 'Nyatakan' yang melibatkan berbagai persoalan seperti akidah, akhlak, sayariat, keilmuan, pendidikan dan berbagai-bagai lagi. Cara menyampaikan penerangan pula hendaklah secara berhikmah dan nasihat yang baik sesuai dengan tuntutan al-Quran (al-Nahl:125).
Tuan Guru Dato' Nik Aziz juga mengingatkan, bahawa manusia adalah datang dari turunan yang satu, iaitu dari Adam. Mereka akan mati dan dikembalikan ke tempat yang sama (tanah).Adam diturunkan dari Syurga. Bererti kita berhak mewarisi sama tempat asal Adam sebelum diturunkan. Sebab itu antara tugas kita ialah mengingatkan, memperbaiki dan menyelamatkan manusia agar dapat kembali sama ke tempat asal secara sejahtera.
Tuan Guru juga mengingatkan cara menyampaikan penerangan hendaklah sesuai. Contoh menyampaikan ilmu oleh orang yang berilmu. Yang menyampaikan pula hendaklah kena dengan sifat dan keadaan. Beliau memberi contoh, kalau orang mengajar keagamaan dan kerohanian secara bergondol kepala dan memakai tali leher adalah tak kena dengan suasana dan penerimaan khalayak. Sepatutnya dia berpakaian sebagai tokoh agama dan ilmuan. Dalam hal pakaian ini juga, kalau seorang imam yang menjadi imam dan mendidik sesuai dengan cara berjubah dan berserban. Pendapat kita jika bersongkok hitam kurang kena dan kurang sesuai, bukan saja dari segi budaya pakaian agama, tetapi kerana songkok boleh meragukan dari segi kebersihan. Songkok yang dibuat dari baldu tidak dibersih dengan air sepanjang hayat songkok itu dipakai. Dalam masa bertahun diguna bukan saja ianya dikotori oleh daki dan peluh, tetapi kemungkinan kena najis dan sebagainya. Jadi ianya pakaian meragukan di dalam ibadat.
Tuan Guru menekankan perlunya diberi penerangan berbagai-bagai aspek baik politik, pentadbiran, sosial dan kehidupan yang tidak terpisah dari Islam. Islam membawa kesejahteraan yang kita perlu tawarkan kepada semua, agar semua pihak dapat menikmati sama kesejahteraan di dunia dan akhirat.dr shafie abu bakar
SKM Convent turut menjadi sasaran.. , at 12.1.10,
Taiping : Petang semalam bertempat di Taiping Dato Seri Nizar dan beberapa Pimpinan PR telah sama-sama hadir untuk lawatan ke 2 buah Gereja di Taiping yang mengalami serangan dari tindakan individu yang tidak bertanggungjawab. Berkata kepada pihak media Dato Seri menyifatkan ia sebagai tindakan yang jahat dan tidak wajar juga menyatakan bahawa mereka yang melakukannya mempunyai pemikiran yg sempit dan tidak bertanggungjawab. Ia menunjukan bahawa apa yang berlaku adalah akibat dari fahaman asobiyah dan rasict yang disemai kepada rakyat.
Dato Seri menambah bahawa di dalam pakatan rakyat kami tidak pernah menyemai perasaan tersebut. Kita dari Pas telah dari awal menolak akan tindakan seperti ini dan kami mengkritik tindakan ini dengan sekeras-kerasnya. Dato Seri turut menasihatkan media di bawah UBN untuk tidak memainkan isu ini kerana tindakan mereka yang cuba memperbesarkan isu ini telah menyebabkan timbulnya semangat perkauman kepada rakyat .Beliau juga mengatakan bahawa Pakatan Rakyat menolak tindakan ini yang dianggap tidak beretika dan bertamadun kerana ia sebenarnya menambah keruh keadaan yang ada.
Dato Seri turut dibawa melawat ke Sek Men Convent yang mana kami diberitahu bahawa ia turut menjadi sasaran akibat dari kekeliruan dari penyerang yang menyangka bahawa ia adalah gereja dan pondok pengawal disitu turut dibaling dengan batu dan mengakibatkan kerosakan kecil. Turut sama dalam rombongan tersebut ialah pimpinan-pimpinan Pakatan Rakyat.
Mustapa Khianati Kelantan, Wang Ehsan diguna untuk kempen Umno Juara Rakyat , at 12.1.10,
Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menganggap Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri sebagai pengkhianat kepada rakyat Kelantan dan Sultan kerana enggan memperjuangkan isu Royalti Minyak untuk negeri berkenaan.
Kenyataan Mustapa bahawa tuntutan Kerajaan PAS Kelantan terhadap hasil minyak yang diperoleh di pelantar Bintang yang telah beroperasi sejak 1984 tidak berasaskan kenyataan merupakan satu penafian yang nyata untuk kali kedua.
Sebelum ini beliau juga menafikan hak Kelantan terhadap minyak yang diteroka di kawasan Kawasan bertindih atau di kenali sebagai Joint Development Area (JDA) Malaysia – Thailand.
Penafian beliau ini tidak selari dengan fakta Jabatan Perangkaan Negara yang melaporkan pada 2004 bahawa Kelantan bersama negeri Terengganu dan Sabah telah mengeluarkan minyak bernilai lebih dari RM 46 Billion (Nilai Kiraan Kasar) iatu 76 peratus dari nilai keseluruhan minyak dalam negara.
Fakta itu jelas menyatakan bahawa minyak dari Kelantan telah diambil oleh Petronas, tetapi kenapa masih dinafikan oleh Mustapa.
Pemberian wang ehsan, membuktikan bahawa kerajaan BN dan Umno di Kelantan berdendam dengan rakyat dan Sultan kerana sudah 20 tahun menolak BN. Ketika PAS Menang di Terengganu pada tahun 1999, serta merta Kerajaan BN menarik balik wang royalti dan mengantikannya dengan wang ehsan sebagai satu hukuman kepada rakyat Terengganu yang memilih PAS. Baru-baru ini selepas BN berjaya menguasai Terengganu untuk penggal kedua, BN mulai cuba merubah taraf perjanjian itu kepada wang royalti semula.
Paling tidak disukai rakyat, wang ehsan yang selama ini diberikan telah disalurkan kepada Jabatan Pembangunan Persekutuan, bukan kepada Kerajaan Negeri.
Hal sama akan berlaku di Kelantan jika wang ehsan diberikan. Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan yang merupakan ‘Kerajaan Hantu BN’ di Kelantan akan bermaharajalela mengunakannya untuk meraih sokongan rakyat sebagai persiapan pilihanraya akan datang.
Kenyataan Mustapa bahawa Kerajaan BN menawarkan wang ehsan hanya kerana ingin menolong rakyat Kelantan yang tidak layak menerima royalti lantaran tiada minyak dikeluarkan merupakan satu pembohongan yang besar. Jika benar BN ingin tolong rakyat kenapa dinegeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Pahang, Melaka, Negeri Sembilan dan Johor yang jelas tiada minyak tidak diberikan wang ehsan?
Kenyataan Mustapa yang mengakui bahawa wang ehsan itu akan dipergunakan sepenuhnya untuk kempen ‘Umno Juara Rakyat’ menjelaskan lagi bahawa inilah agenda sebenar mereka hingga sanggup mensabotaj Kerajaan PAS yang dipilih rakyat Kelantan.
PAS mendesak supaya rakyat Kelantan terus menolak Umno, dan bangkit untuk menuntut hak mereka dalam bentuk royalti, bukannya wang ehsan. Mustapa dan Umno merupakan pengkhianat rakyat bukan juara rakyat! kembalikan hak rakyat!









