Ikuti Blog ini
Anwar: Lawan Tetap Lawan !! ,Khamis, Ogos 21, 2008 at 21.8.08,
"Nama Anwar Ibrahim sudah sinonim dengan masalah besar yang di hadapi dalam hidupnya, seolah sudah menjadi identiti dirinya dengan semua cabaran ini dari dahulu lagi, semasa zaman pelajar, musibah sepuluh tahun dahulu sehinggalah sekarang. Berjuang mempertahan nasib bangsa tetap didahulukan menjadi prinsip kepimpinan beliau, kesusahan dan kemiskinan rakyat menjadi tanggungjawap atas sifat kemanusiaan demi rakyat dan negaranya.
Timbulnya masalah dan tuduhan terbaru dalam isu beliau meliwat seorang pemuda berumur 23 tahun telah meletakkan dirinya pada badi fitnah berulang kembali seperti tahun 1998, zaman kejatuhan era politiknya di bawah kuasa kerajaannya sendiri.
Sebagai manusia biasa, Anwar berhak untuk marah, melawan dan mempertahankan maruah diri serta keluarganya. Beliau masih waras dan masih lagi ada kesabaran dalam menahan serangan bertubi-tubi dari musuh politknya yang tidak putus-putus dari setiap peringkat.
Berilah Anwar ruang dan peluang untuk melawan fitnah yang datang, biarlah dirinya menentukan sendiri akan kebenaran sebenarnya, seseorang yang tidak melakukan tuduhan tidak harus takut menghadapinya, seandainya kita takut sudah pasti selama-lamanya di dunia kita akan dituduh melakukannya. Anwar boleh melawan fitnah ini dengan tindakkan perundangan mempertahan diri di mahkamah kelak, Anwar boleh menjelajah seluruh negara, Anwar boleh menerangkan kepada seluruh rakyat Malaysia kerana beliau ada hak sebagai rakyat dan sebagai mangsa fitnah. Beliau juga tahu akan azab bakal diterimanya sekiranya beliau berdusta.
Ada juga suara-suara yang meminta beliau bersumpah dengan Al Quran, lihatlah begitu jauh sekali harapan rakyat mahu melihat Anwar tidak melakukan tuduhan itu. Ini bukanlah cadangan yang baik, kerana masih ada ruang untuk menyelesaikan masalah ini. Kenapa kita begitu mudah meletakkan Al Quran menjadi bahan politik dan permainnan dalam isu ini, seharusnya kita tidak mudah melatah dengan cadangan ini.
Pasti Allah juga tidak suka manusia begitu mudah mempermainkan kitabNya untuk tujuan yang tidak sepatutnya dan bukan juga tujuan utamanya Al Quran diturunkan. Ceritanya selepas selesai acara bersumpah nanti setiap diri yang memegang Al Quran dengan lafaz tertentu itu dikatakan akan menerima azab jika tidak berkata benar, itu kita tidak nafikannya tetapi biarlah kita berfikiran lebih rasional berhubung kitab Allah ini untuk tujuan yang lebih penting.
Al Quran sebagai panduan hidup manusia di dunia dan akhirat dan wajib untuk dihayati ayat-ayatNya untuk dilaksanakan. Sebalik jika kita salah gunakan Al Quran dengan tujuannya, kita semua juga akan terima balasan Allah kerana tidak menjaga ketinggian kedudukan Al Quran itu sendiri. Wajib kita melaksanakan ajaran Al Quran barulah segala masalah fitnah memfitnah ini tidak timbul dalam masyarakat islam, kita wajib kembalikan diri kita kepada ajaran Allah.
Suasana masih belum segawat dan seteruk mana, masih boleh dikawal dan diselesaikan dengan undang-undang yang ada, tidak perlu kita kecoh dengan cabaran sekecil ini. Yang paling penting harus diperbetulkan ialah diri manusia yang sudah tidak ada Islam dan Quran dalam dirinya.
Biarlah masalah ini mereka selesaikannya dahulu, dan kepada para Mufti dan Ulamak perlulah memantau membetulkan dan memberi panduan sekiranya bertambah kusut.